AHLAN WASAHLAN

Thursday, December 4, 2008

CUS 3251


Iman yang mantap bagaikan bebunya yang mewangi

PENGENALAN

Subjek Pengajian Islam disediakan untuk melahirkan warganegara khususnya pelajar Islam yang faham tasawwur Islam sebagai satu cara hidup yang bersepadu dan seimbang serta mampu menyelesaikan sebarang masalah dan cabaran. Peringkat pengajian semester ini pelatih akan belajar mengenai institusi Islam yang merangkumi kekeluargaan dan kemasyarakatan, pendidikan, pemerintahan dan pentadbiran, perundangan, ekonomi dan kewangan Islam, serta Islam dan cabaran semasa.


OBJEKTIF PEMBELAJARAN

1. Memahami dan mengenali beberapa institusi yang terdapat dalam Islam.
2. Memberikan gambaran yang jelas tentang konsep kekeluargaan dan kemasyarakatan, pendidikan, pemerintahan dan pentadbiran, perundangan serta ekonomi dan kewangan dalam Islam.
3. Mempunyai kesedaran dan keinsafan untuk sentiasa bersiap-sedia bagi menghadapi segala bentuk cabaran ke atas Islam dan umat Islam.

HASIL PEMBELAJARAN

1. Menerangkan konsep kekeluargaan dan kemasyarakatan dalam Islam yang merangkumi peranan, hak dan tanggungjawab.
2. Menerangkan konsep masyarakat majmuk dan konsep ummah pertengahan serta ummah terbaik.
3. Menerangkan konsep pendidikan dalam Islam yang merangkumi peranan, hak dan tanggungjawab serta abab-adab dalam pengajaran dan pembelajaran.
4. Menjelaskan konsep pemerintahan dan pentadbiran dalam Islam serta beberapa sistem dan institusi yang berkaitan.
5. Menghuraikan konsep perundangan dalam Islam dan pengenalan tentang beberapa mazhab.
6. Menjelaskan konsep ekonomi dan kewangan Islam yang meliputi produk-produk dan beberapa institusi kewangan Islam.
7. Menghuraikan beberapa bentuk salah faham terhadap Islam dan cabaran-cabaran ke arah perpaduan ummah.


BAB 1: KEKELUARGAAN DAN KEMASYARAKATAN


HASIL PEMBELAJARAN


Di akhir sesi pengajaran dan pembelajaran pelatih seharusnya dapat:


1. Menerangkan konsep kekeluargaan dalam Islam.
2. Membezakan makna hak dan tanggungjawab.
3. Mengenalpasti hak dan tanggungjawab suami, isteri, ibu bapa, anak-anak dan hak serta tanggungjawab bersama.
4. Menyenaraikan tanggungjawab setiap anggota masyarakat.
5. Menyatakan pengertian masyarakat majmuk.
6. Menjelaskan peranan dan tanggungjawab setiap anggota masyarakat.
7. Menyatakan ciri-ciri umat terbaik.
8. Menjelaskan konsep ummah pertengahan dan ummah terbaik.

1.1 PEMBINAAN INSTITUSI KELUARGA

1.1.1 FALSAFAH & KONSEP KEKELUARGAAN ISLAM

Menurut Islam keluarga merupakan sebuah institusi yang amat penting kerana keluarga merupakan kesatuan masyarakat kecil yang menjadi asas dalam pembentukan masyarakat. Kepentingan institusi ini jelas apabila Allah S.W.T mengadakan undang-undang dalam urusan kekeluargaan yang disebut sebagai munakahat مناكحات . Keluarga memainkan peranan penting dalam membentuk peribadi individu yang baik kerana daripada peribadi yang baik akan terbina keluarga yang baik, daripada keluarga yang baik akan lahir masyarakat yang berdisplin dan mantap, seterusnya daripada masyarakat yang berdisplin akan tertegak negara yang cemerlang dan diredhai oleh Allah s.w.t. Selain itu, pembentukan keluarga juga penting untuk:

i. Mengekalkan kesinambungan generasi manusia kerana pengabaian pembentukan institusi keluarga akan membawa kepada kehancuran sesebuah masyarakat.
ii. Memelihara akhlak, tata susila dan kemuliaan manusia melalui ikatan perkahwinan.
iii. Mencapai kebahagiaan, keharmoniaan, kebaikan, kasih sayang sesama manusia, kepuasan rohani serta jasmani.
iv. Membentuk umat yang kuat dan mantap kerana individu yang kukuh dan kuat dibentuk oleh ibu bapa.
v. Mencetus dan memupuk semangat pengorbanan, tolong-menolong, kerjasama dan perpaduan dalam jiwa setiap anggota keluarga.

1.1.2 HAK DAN TANGGUNGJAWAB DALAM KELUARGA

a. Pengertian Hak & Tanggungjawab

Hak bermaksud milik atau kepunyaan , manakala tanggungjawab pula bermaksud kewajipan, yang dipikul oleh seseorang, segala yang wajib ditanggung.

Hak Suami Terhadap Isteri

1. Isteri wajib mengiktiraf suami sebagai ketua di dalam rumahtangga. Pengiktirafan ini penting bagi membolehkan dan memudahkan suami menjalankan tugas dan tanggungjawab. Seperti firman Allah s.w.t yang berbunyi:

‏ الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاء
(Surah al-Nisaa::34)

Maksudnya: “Lelaki itu adalah pemimpin yang bertanggungjawab ke atas wanita.”

Sekalipun suami sebagai ketua, tetapi pihak isteri mempunyai tugas dan tanggungjawab lain yang seimbang, ini kerana suami isteri memainkan peranan yang sama penting di dalam sesebuah rumahtangga.

2. Ketaatan isteri kepada suaminya haruslah tidak berbelah bagi. Seorang isteri seharusnya memberikan ketaatan dan kesetiaan kepada suami yang melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya sebagai ketua di dalam rumahtangga. Ini dijelaskan oleh Allah s.w.t berbunyi:

فَالصَّالِحَاتُ قَانِتَاتٌ حَافِظَاتٌ لِّلْغَيْبِ بِمَا حَفِظَ اللّهُ

(Surah al-Nisaa’ ayat 34)

Maksudnya: “Maka para wanita yang baik itu ialah yang berlaku taat dan memelihara diri ketika suaminya tiada di rumah sebagaimana Allah memeliharanya.”

Antara kepatuhan kepada suami ialah menjaga maruah suaminya, menguruskan hal ehwal kerja- kerja rumah dan menjaga anak- anak. Walaubagaimanapun ketaatan dan kesetiaan di dalam hal- hal yang tidak bertentangan dengan akidah, syarak dan akhlak sahaja.

3. Memelihara amanah, iaitu wajib keatas isteri menjaga dirinya, rumah suami, harta suami dan anak-anaknya semasa ketiadaan suami. Ini berdasarkan kepada Hadith Ibn al-Ahwas yang bermaksud:

“Adapun hak kamu ke atas isteri-isterimu, bahawa ia tidak membenarkan hamparan kamu ditiduri oleh orang yang kamu tidak sukai dan tidak mebenarkan mereka yang kamu tidak suka memasuki rumahnya.”

Seorang isteri mestilah juga menjaga kehormatan dirinya semasa ketiadaan suaminya, seperti tidak membenarkan lelaki bukan muhrimnya atau lelaki yang tidak disukai oleh suaminya memasuki rumahnya ketika ketiadaan suaminya. Rasullullah s.a.w telah bersabda yang mafhumnya:

“Sebaik-baik perempuan ialah apabila engkau pandang menyenangkan engkau, apabila perintah ia taat dan jika tinggalkan di belakang ia menjaga pada dirinya dan hartanya.”

4. Isteri menggauli suami dengan baik, tidak menyakiti hati, menghina dan sebagainya, sebagaimana wajib atas suami menggauli isteri dengan baik. Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud:

“Tidak menghina seorang perempuan akan suaminya di dunia melainkan isteri bidadarinya berkata: Jangan kamu menghinanya, Allah akan murka kepadamu. Sesungguhnya ia disisimu dibawa masuk, takut nanti ia berpisah daripada kamu untuk datang kepada Kami.”


5. Memberi pengajaran kepada isteri jika isteri tidak mematuhi suami pada perkara-perkara yang baik. Allah s.w.t menyuruh suami memberi pengajaran kepada isteri dengan memulaukannya dan memukul ketika ia tidak mentaati suami, jika ia taat kembali, maka wajib dihentikan daripada menyakitinya kerana Allah s.w.t berfirman

فَإِنْ أَطَعْنَكُمْ فَلاَ تَبْغُواْ عَلَيْهِنَّ سَبِيلاً

(Surah al-Nisaa ayat 34)

Maksudnya: “Jika mereka taat kepada kamu,maka janganlah kamu mencari cari jalan untuk menyusahkan mereka..”

Manakala perempuan yang salih tidak perlu diajar adab kerana Allah s.w.t berfirman

فَالصَّالِحَاتُ قَانِتَاتٌ حَافِظَاتٌ لِّلْغَيْبِ بِمَا حَفِظَ اللّهُ

(Surah al-Nisaa’ ayat 34)

Maksudnya: “Perempuan-perempuan yang salih itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemeliharaan Allah”.

Perempuan yang tidak salih, iaitu perempuan yang tidak menyempurnakan hak-hak perkahwinan dan tidak mematuhi suami, maka dialah yang perlu diberi pengajaran. Cara memberi pengajaran kepada isteri yang nushuz ialah dengan memberi nasihat oleh suami dengan kata-kata yang baik dan cara yang lembut pada kesalahan.



Hak Isteri Terhadap Suami

1. Isteri berhak mendapat mahar dari suaminya. Mahar merupakan hak isteri sebagai suatu pemberian yang wajib dari suami. Perkara ini ada disebutkan di dalam al-Quran yang berbunyi :

وَيُؤْتِ مِن لَّدُنْهُ أَجْراً عَظِيماً

(Surah al-Nisaa’ ayat 40)

Maksudnya: “Berikanlah mas kahwin kepada wanita (yang kamu nikahi) sebagai pemberian yang wajib.”

Namun tiada ketentuan berkaitan dengan mahar. Apa sahaja yang berharga boleh dijadikan mahar. Ayat al-Quran juga wajar dijadikan mahar jika tiada apa-apa pada diri calon suami tersebut. Ini ada berlaku pada zaman Rasullullah saw yang mana seorang lelaki telah mengahwini seorang perempuan dengan memberi mahar ayat al-Quran yang dihafaznya.

2. Suami bertanggungjawab memberikan nafkah zahir dan batin. Ia merupakan hak isteri yang perlu dipenuhi oleh suami mengikut kadar kemampuan, dan isteri perlu redha di atas kemampuan suami. Nafkah zahir iaitu makanan, pakaian dan tempat tinggal yang sederhana dan sesuai dengan kemampuan kepada isteri dan anak-anaknya. Hal ini dijelaskan oleh Allah s.w.t :

لِيُنفِقْ ذُو سَعَةٍ مِّن سَعَتِهِ وَمَن قُدِرَ عَلَيْهِ رِزْقُهُ فَلْيُنفِقْ مِمَّا آتَاهُ اللَّهُ لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْساً

(Surah al-Talaaq: Ayat 7)

Maksudnya: “Wajiblah orang berkesanggupan memberi nafkah menurut kemampuannya dan orang yang sempit rezekinya itu ketika memberi nafkah menurut apa yang diberikan Allah kepadanya.”


Nafkah wajib diberikan jika isteri memenuhi syarat-syarat berikut seperti menjadi isteri yang sah (nikah), suami menikmati penyerahan diri isteri, isteri menikmati penyerahan diri suami dan taat kepada suami dalam hal kebajikan. Apabila seseorang isteri memenuhi syarat-syarat tersebut maka tidak ada sebab seseorang suami tidak mahu memberikan nafkah. Islam memberi amaran keras kepada suami yang gagal memberikan nafkah kepada isterinya. Hal ini dijelaskan oleh Rasullullah saw di dalam hadis yang bermaksud:

“Cukup berdosa orang mengabaikan orang yang ditanggungnya.”

3. Memimpin dan mendidik isteri merupakan satu tanggungjawab yang cukup berat bagi seorang suami. Suami bertanggungjawab memberikan pendidikan agama kepada isterinya. Terutama dalam hal ibadat seperti pelaksanaan rukun Islam yang lima. Isteri berhak mendapat didikan dan bimbingan daripada suami. Ini kerana suami sewajarnya mendidik isterinya sehingga mencapai tahap boleh menjauhkan ahli keluarganya daripada seksaan api neraka. Dalam ayat 6, surah al-Tahrim, Allah s.w.t. menegaskan bahawa orang yang beriman hendaklah bukan sahaja memelihara dirinya daripada api neraka, tetapi juga memelihara ahli keluarganya daripada terjerumus sama ke dalam api neraka. Jika tidak berkesempatan, ia harus menggalakkan isterinya menghadiri kelas-kelas atau ceramah- ceramah fardu ain di masjid dan sebagainya. Suami juga bertanggungjawab untuk memberi nasihat dan tunjuk ajar kepada isteri dalam segala hal untuk kebajikan dan kesempurnaaan rumahtangga mereka. Namun demikian suami mestilah menggunakan cara yang terbaik iaitu nasihat yang baik dan cara yang lemah- lembut. Rasullullah saw telah bersabda,

“Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari kiamat maka janganlah ia menyakiti jirannya. Dan berilah nasihat kepada wanita (isteri) secara yang baik. Kerana sesungguhnya mereka itu diciptakan daripada tulang rusuk iaitu satu tulang yang bengkok bahagian atasnya. Apabila kamu hendak meluruskannya tetap jua ia bengkok. Sebab itu berilah nasihat pada wanita dengan cara yang baik.”



4. Isteri berhak mendapat penjagaan yang sempurna dari suaminya. Suami mestilah mengambil tahu tentang kesihatan, pakaian, makanan dan hal-hal yang berkaitan dengan peribadi isterinya. Termasuklah di dalam hal berhak untuk menaruh cemburu kepada suaminya dalam kadar yang sederhana dan munasabah. Ini dijelaskan oleh Rasullullah s.a.w. dalam sabdanya yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah mempunyai rasa cemburu. Dan sesungguhnya seorang mukmin mempunyai rasa cemburu pula. Dan rasa cemburu Allah iaitu supaya seseorang hamba tidak melakukan perbuatan haram.”


5. Suami juga wajib menjaga rupa diri dan kebersihan diri. Jika seorang suami suka melihat isterinya bersolek dan kemas, demikian juga sebaliknya. Suami yang kemas dan rupa diri yang terurus serta bersih merupakan salah satu tarikan terhadap isterinya. Begitu juga kehormatan diri, suami perlu menjaga kehormatan dirinya apabila berjauhan atau berpisah lama dengan isterinya. Kehormatan diri suami adalah perlu dijaga apabila mereka berhadapan dengan wanita cantik dan godaan yang boleh menjerumuskannya ke lembah maksiat. Sabda Rasullullah saw daripada Jabir r.a,

“Apabila seseorang kamu melihat seorang wanita yang mempersonakan perasaannya, maka lebih baik sahaja isterinya, sebab apa yang ada pada wanita cantik itu ada pula pada isterinya sendiri.”


Hak Anak Dalam Keluarga

1. Diberi Nama Yang Baik

Ibubapa perlu menamakan anak mereka dengan nama yang baik. Ini kerana nama itu bukannya hanya digunakan di dunia sahaja tetapi juga di akhirat. Nama yang elok diberikan kepada anak-anak ialah nama-nama nabi dan nama-nama malaikat. Manakala nama yang paling disukai Allah ialah seperti Abdullah dan Abdul Rahman.

2. Diaqiqahkan Selepas Kelahiran

Ibubapa yang dikurniakan anak hendaklah melakukan aqiqah untuk anak tersebut kerana ia merupakan suatu perkara sunat mu’akkad iaitu sunat yang dituntut kita melaksanakannya. Ia biasanya dilakukan pada hari ke tujuh selepas kelahiran anak. Aqiqah bagi anak lelaki afdhalnya ialah dua ekor kambing manakala anak perempuan satu ekor kambing. Pada hari tersebut juga anak tersebut diberikan namanya.

3. Mendapat Pendidikan Al-Quran.

Antara kewajipan yang utama kepada anak-anak ialah mengajar anak-anak Al-Quran agar anak-anak dapat membaca dengan sempurna dari segi bacaan tajwid untuk memudahkan anak-anak melakukan ibadah-ibadah lain yang dituntut dalam Islam

4. Mendapat Pendidikan Agama Yang Sempurna

Ibubapa hendaklah memberi didikan agama yang sempurna kepada anak-anak supaya mereka menjadi anak yang soleh dan memahami akan tanggungjawab mereka sebagai hamba Allah di muka bumi ini

5. Mendapatkan Nafkah Daripada Ibu Bapa

Anak-anak merupakan amanah yang diberikan kepada pasangan suami isteri untuk menyerikan lagi sebuah keluarga. Oleh yang demikian menjadi suatu kewajipan bagi ibubapa untuk memberi nafkah kepada anak-anak daripada sumber yang halal kerana ia mempengaruhi pembesaran anak-anak untuk menjadi orang-orang mulia.

6. Mendapat Keadilan Daripada Ibu Bapa.

Dalam Islam ibubapa dianjurkan supaya memberi kasih sayang kepada anak-anak dari kecil sehingga dewasa agar anak-anak tidak akan menjadi liar dan bertindak sesuka hati kerana tanpa perhatian dan kasih sayang daripada ibubapa boleh membawa anak-anak ke arah perkara-perkara negatif. Ibubapa juga hendaklah berlaku adil terhadap anak-anak dengan tidak membeza-bezakan antara anak lelaki dengan anak perempuan, anak yang cacat dengan anak yang sempurna, anak kandung dengan anak tiri. Menjadi tanggungjawab ibubapa untuk berlaku adil terhadap anak-anak mereka setiap masa.

7. Diuruskan Perkahwinan Oleh Ibu Bapa

Setelah meningkat dewasa ibubapa hendaklah menguruskan perkahwinan anak-anak mereka sebagaimana saranan Rasulullah agar ibubapa mengahwinkan anak-anak mereka yang sudah matang agar anak-anak tersebut tidak terjebat dengan maksiat dan perkara-perkara terkutuk.

Tanggungjawab suami

i. Pembayaran mahar semasa berkahwin / mas kahwin
ii. Menggauli isterinya dengan cara yang baik.
iii. Hendaklah sentiasa menjaga kesihatan tubuh badan selain menunjukkan perwatakan yang kemas dan rapi di hadapan isteri.
iv. Mencari nafkah untuk keluarga bagi menyediakan segala keperluan rumahtangga dari segi makanan, pakaian dan tempat tinggal yang sesuai dengan kemampuan suami.
v. Mendidik isteri dan anak mengikut lunas-lunas Islam.
vi. Layanan yang munasabah dan kasih sayang, termasuk zahir dan batin kepada isteri.
vii. Bersikap adil dikalangan isteri-isteri jika mengamalkan poligami.
viii. Suami bertanggungjawab merahsiakan kecacatan isteri kepada orang lain.
ix. Suami berhak menghalang isteri keluar rumah dengan menunjukkan perhiasannya kepada orang lain, mencegah dari bercampur gaul dengan lelaki bukan muhrim serta tidak boleh membiarkan akhlak dan agama isterinya rosak

Tanggungjawab isteri

i. Mengakui kepimpinan suami.
ii. Taat kepada semua kehendak suami selagi tidak bertujuan maksiat.
iii. Menjaga maruah, akhlak dan harta samada berada di hadapan ataupun di belakang suami.
iv. Meminta keizinan daripada suami sebelum keluar daripada rumah.
v. Bertanggungjawab merahsiakan kecacatan suami kepada orang lain.
vi. Meminta keizinan suami terlebih dahulu untuk berpuasa sunat andaikata suami berada di rumah.
vii. Tidak membenarkan lelaki lain masuk ke rumah semasa ketiadaan suami.
viii. Hendaklah sentiasa menjaga kesihatan tubuh badannya dengan mengambil makanan yang seimbang disamping menjaga kebersihan tempat tinggal, pakaian, suami dan anak-anak.
ix. Berusaha memahami suami dari segi rohani dan jasmani.
x. Mendidik anak-anak mengikut lunas-lunas Islam.
xi. Mengelakkan diri dari nusyuz terhadap suami.


Tanggungjawab anak kepada ibu bapa

i. Mentaati ibu bapa dalam segala hal selagi tidak bertentangan dengan ajaran Islam.
ii. Menyahut seruan dan panggilan mereka dan segera hadir apabila diperlukan.
iii. Jangan meninggi suara apabila bercakap dengan kedua-duanya.
iv. Berdoa untuk kedua-duanyanya sama ada ketika hidup mahupun sesudah meninggal dunia.
v. Melaksanakan wasiat yang ditinggalkan oleh ibu bapa.
vi. Menyebut segala kebaikan ibu bapa dan melupakan segala kesilapan dan kekurangannya.



Tanggungjawab Bersama

i. Mendalami ilmu fardhu ain.
ii. Selalu berbincang dalam segala hal untuk kebaikan bersama.
iii. Tolong menolong dalam hal kebajikan dan meninggalkan kemungkaran.
iv. Bersikap jujur dan menepati janji.
v. Saling memaafkan jika berlaku kesilapan dan nasihat menasihati.
vi. Digalakkan sembahyang berjemaah.
vii. Bertawakal kepada Allah s.w.t setelah berusaha untuk mencapai kebahagiaan.
viii. Suami dan isteri sama-sama bertanggungjawab mengeratkan hubungan silaturrrahim dengan keluarga kedua-dua belah pihak.


1.2 PEMBENTUKAN MASYARAKAT

1.2.1 FALSAFAH & KONSEP MASYARAKAT

Masyarakat Islam ialah kelompok manusia yang beragama dan mengamalkan ajaran Islam, tetapi realitinya masyarakat Islam ialah orang Islam yang hidup bersama-sama golongan bukan Islam dalam satu kelompok masyarakat. Masyarakat itu terlaksana melalui kehidupan yang berlandaskan nilai-nilai Islam.

Mendirikan sesebuah masyarakat yang melaksanakan nilai-nilai keislaman merupakan suatu kewajipan yang dibebankan ke atas bahu semua orang Islam. Masyarakat islam yang pertama terbentuk ialah masyarakat yang didirikan oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabatnya di Madinah, sebaik sahaja baginda berhijrah dari Makkah ke Madinah pada tahun 622 Masehi.

Umat Islam yang berada di bawah pimpinan Nabi Muhammad s.a.w. pada ketika itu telah melaksanakan tugas mendirikan masyarakat yang berlandaskan nilai-nilai Islam dengan cekal, gigih dan jujur sehingga berjaya membentuk sebuah masyarakat yang ideal dan menjadi contoh dan model bagi masyarakat selepasnya.
1.2.2 PERANAN, HAK & TANGGUNGJAWAB DALAM MASYARAKAT

Setiap anggota masyarakat bertanggungjawab untuk menjaga keamanan, kedamaian serta kesejahteraan masyarakat secara kolektif. Setiap anggota masyarakat berhak mendapat kebebasan hidup setakat yang dibenarkan, dan menjalankan aktiviti yang tidak mengganggu orang lain. Maruah dan nilai diri setiap ahli tidak boleh dihina atau dicela.

Antara hak-hak anggota masyarakat ialah :

1. Setiap orang mempunyai hak untuk hidup dengan aman dan damai. Tidak ada seorang pun yang dibenarkan menggangu ketenteraman orang lain, sama ada gangguan fizikal, emosi ataupun kebisingan.
2. Hak untuk bercakap dan mengeluarkan pendapat. Tidak patut seseorang itu ditegah daripada bercakap atau mengeluarkan pendapat kecuali percakapan yang berbentuk fitnah.
3. Hak untuk memiliki harta. Setiap orang boleh bekerja dan memiliki harta benda, khasnya rumah tempat tinggal dan kenderaan yang sesuai. Menafikan hak ini adalah salah pada pandangan Islam.
4. Hak untuk mendapat pendidikan. Pemerintah wajib menyediakan kemudahan pendidikan dan pelajaran kepada ahli masyarakat atau warganegara.
5. Hak untuk mendapat pertolongan di kala kecemasan. Setiap ahli masyarakat mesti prihatin kepada anggota masyarakat lain, lebih-lebih lagi jiran yang terdekat.
6. Hak untuk mendapat pembelaan jika dituduh di mahkamah. Pihak pemerintah haruslah menyediakan kemudahan guaman untuk pembelaan orang yang tertuduh atau teraniaya.

Antara tanggungjawab anggota masyarakat ialah:

1. Setiap orang mesti menjaga nama baik masyarakatnya. Tidak boleh melakukan sesuatu yang boleh menjatuhkan nama baik masyarakat, atau menyebabkan negaranya diserang.
2. Memberi pertolongan kepada anggota masyarakat, lebih-lebih lagi jiran apabila keadaan memerlukan pertolongan.
3. Bekerjasama membangun dan memajukan masyarakat.
4. Menegakkan kebaikan dan mencegah kemungkaran dan kezaliman.


Ajaran Islam sangat menekankan kewajiban memelihara persaudaraan Islam, serta memupuk kasih-sayang antara anggota keluarga seterusnya sesama masyarakat. Apa jua halangan yang menggugat hubungan ini, haruslah ditepis segera sebelum keadaan melampaui batas-batas kesederhanaan yang menjadi lambang keadilan Islam. Terdapat banyak ayat al-Quran dan hadisth menjelaskan kewajipan ini.

Firman Allah s.w.t.:



Maksudnya: “Sesungguhnya orang mukmin adalah bersaudara, maka damaikanlah antara saudara kamu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat.”

Al-Hujurat (49): 10


Hidup di bawah naungan persaudaraan Islam sungguh nikmat dan sangat membahagiakan, ia tidak dapat dinilai dengan harta benda dan emas perak. Hidup dalam permusuhan pula sangat sulit dan mencelakakan. Memupuk persaudaraan merupakan agenda penting dalam Islam. Agenda ini dimulakan oleh Rasulullah s.a.w sejak baginda tiba di Madinah. Baginda menganjurkan supaya hubungan persaudaraan Islam diikat kukuh, bukan sahaja antara Muhajirin dan Ansar, tetapi juga antara umat manusia seluruhnya.

Nilai-nilai murni yang perlu ada bagi setiap individu untuk mewujudkan sebuah masyarakat penyayang ialah sifat rajin, sabar, tekun, berusaha, amanah, jujur, benar, merendah-diri, sopan-santun, tolong-menolong dan lain-lain sikap yang positif.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :

“Perbandingan orang mukmin dengan orang mukmin yang lain dalam soal kasih mengasihani, sayang menyayangi, hubung menghubungi dan hormat menghormati adalah seperti satu jasad.. Apabila salah satu anggota badannya mengadu sakit, seluruh anggota yang lain sama-sama merasai kesakitannya dengan demam dan berjaga malam.”


(Riwayat Bukhari dan Muslim)


Masyarakat yang dibina berasaskan perpaduan sentiasa mengutamakan kasih-sayang. Suami mengasihi isteri, isteri mengasihi suami, ibu dan bapa mengasihi anak anaknya, anak-anak pula mengasihi ibu dan bapa mereka, jiran mengasihi jiran, sahabat mengasihi sahabat, kaum kerabat mengasihi antara satu sama lain, pemimpin mengasihi rakyat, rakyat mengasihi pemimpin, pekerja mengasihi majikan, majikan mengasihi pekerja dan seterusnya. Sifat inilah yang bertanggungjawab mengikat dan memperkukuhkan perpaduan masyarakat Islam buat selama-lamanya.


Dalam masyarakat moden sekarang, ramai anak yang terpelajar sanggup menghantar ibu-bapa mereka yang telah tua dan uzur ke rumah orang tua dengan alasan di sana mereka akan lebih terjaga. Mereka sebenarnya tidak sanggup menjaga dan memelihara serta merawat ibu-bapa mereka yang tua, sakit, uzur dan memerlukan bantuan. Anak-anak yang sebegini tidak mempunyai ciri-ciri masyarakat dan nilai-nilai murni. Sifat seperti ini bercangah dengan konsep hidup bermasyarakat dan berkeluarga yang mengutamakan kasih sayang.
Kewajiban dan tanggungjawab setiap anggota masyarakat dalam pergaulan juga perlu ditekankan bagi mematuhi tatacara pergaulan yang dikehendaki oleh negara yang hidup dalam masyarakat pelbagai kaum. Untuk membentuk sebuah masyarakat yang penyayang, antara yang ditekankan dalam pergaulan ialah:


i. Anggota masyarakat tidak boleh memandang rendah dan menghina sesiapa jua.
ii. Tidak ada sebarang pertentangan atau permusuhan kecuali sekiranya ingin menentang seseorang yang melakukan kemungkaran.
iii. Sentiasa berusaha untuk mendapatkan sesuatu dengan cara yang baik. jangan terlalu mengharapkan sesuatu yang dimiliki oleh orang lain kerana ini akan menyebabkan hilang kepercayaan anggota masyarakat yang lain.
iv. Sifat suka membalas dendam terhadap orang yang pernah menyakiti hati tidak boleh diamalkan.
v. Dalam pergaulan, masyarakat hendaklah sentiasa berjaga-jaga daripada pelbagai kejahatan, tipu-daya dan peras ugut, kecurian dan sebagainya.


1.3 ISLAM DAN MASYARAKAT MAJMUK

1.3.1 FALSAFAH & KONSEP

Menurut ahli sains sosial, masyarakat majmuk ditakrifkan sebagai masyarakat yang berlainan bangsa, bahasa, kebudayaan dan agama. Negara Islam Madinah merupakan sebuah negara yang mengandungi komponen masyarakat Islam dan masyarakat majmuk dan ini telah dilaksanakan dan dibuktikan di Madinah oleh Rasulullah s.a.w.

1.3.2 PERANAN, HAK & TANGGUNGJAWAB

Masyarakat Islam wajib tunduk kepada semua peruntukan dalam sistem perundangan Islam dan kewajipan ini ditentukan oleh dua faktor terpenting. Pertama, kewajipan terhadap Allah s.w.t. iaitu apabila ia mengiktiraf Islam sebagai agamanya (tanggungjawab akidah atau agama) melalui pengucapan dua kalimah syahadah. Kedua, tanggungjawab individu kepada pemerintah atau pemimpin yang mengambil dan melaksanakan sistem perundangan Islam sebagai dasar pemerintah negara (tanggungjawab politik), dan selagi tidak bertentangan dengan ajaran Islam.Ini menunjukkan bahawa semua masyarakat Islam mesti tunduk kepada undang-undang Islam secara menyeluruh tanpa mengira aliran mazhab dan tidak terdapat kebebasan untuk memilih hukum selain daripada hukum Islam. Bagi masyarakat bukan Islam, mereka yang tinggal dengan aman di bawah pemerintahan menurut system Islam dan menurut undang-undang Islam, maka ia bertanggungjawab untuk tunduk kepada undang-undang Islam kerana ia tertakluk kepada tanggungjawab politik, bukan tanggungjawab akidah atau agama.


1.4 UMMAH PERTENGAHAN (UMMATAN WASATAN) & TERBAIK (KHAYRU UMMAH)

Pembentukan keluarga Islam (Usrah Muslimah) yang merealisasikan ajaran Islam menjadi asas pembinaan masyarakat sebagai satu kesatuan ummah di bawah ikatan ukhuwah Islamiyah. Umat Islam dijadikan oleh Allah s.w.t sebagai Umat Pertengahan (Ummatan Wasatan) dan Umat Terbaik (Khair Ummah).

a. Umat Pertengahan (Ummatan Wasatan)

Islam adalah satu agama yang memiliki keistimewaan dengan sifat ummatan wasatan iaitu umat pertengahan dengan maksud umat yang mengamalkan kesederhanaan dalam semua aspek kehidupan. Kesederhanaan adalah perkara yang paling baik, paling betul dan paling wajar diikuti.

Firman Allah s.w.t:



Maksudnya: “ Demikianlah kami telah menjadikan kamu (umat Islam) umat yang adil dan pilihan agar kalian menjadi saksi atas (perbuatan) manusia, dan agar Rasul menjadi saksi atas (perbuatan kamu).”

Surah al Baqarah (2) :143
Perkataan wasat (tengah-tengah) mempunyai makna yang banyak, di antaranya ialah:

i. Bahagian Yang Paling Mulia Atau Paling Baik Dan Paling Aman

Bahagian tengah daripada segala sesuatu adalah bahagian yang paling mulia atau paling baik dan paling aman, kerana terkawal oleh yang berada disekelilingnya, dan bahagian tengah juga merupakan pusat kekuatan. Pemimpin sesuatu kaum sentiasa ditengah-tengah dan para pengikutnya disekelilingnya.

Sabda Rasulullah s.a.w (bermaksud) :

“ Sebaik-baik perkara adalah yang paling tengah daripadanya.”

ii. Adil

Iaitu tidak memihak kepada salah seorang dari mereka yang sedang berselisih, hanya berpegang atau memihak kepada kebenaran.

Firman Allah s.w.t :


Maksudnya: “Telah berkata orang yang paling adil di antara mereka: Bukankah aku telah mengatakan kepadamu hendaklah kamu bertasbih kepada Tuhanmu?”
Al-Qalam (68) : 28

iii. Sederhana Atau Seimbang Antara Dua Sifat Atau Sikap Yang Melampau

Iaitu tidak terlalu keras dan tidak juga terlalu lembut, tidak terlalu boros dan tidak kedekut, tidak berlebihan dan tidak juga kekurangan, tidak terlalu mementingkan material sehingga mengabaikan masalah kerohanian sehingga mengabaikan masalah kerohanian.
iv. Jalan Yang Lurus Iaitu Jalan Yang Tidak Menyimpang Atau Menyeleweng

Garis yang paling tengah dari garis-garis yang menghubungkan dua titik adalah garis yang paling lurus dan merupakan juga garis yang paling pendek dan paling singkat. Maka jalan yang lurus bererti jalan yang tidak menyimpang atau menyeleweng.

Umat Islam sebagai umat pertengahan ialah umat yang mengamalkan kesederhanaan dalam semua aspek. Di bawah ini akan dinyatakan beberapa contoh kesederhanaan Islam:

i. Akidah: Islam berada ditengah-tengah antara akidah komunisme yang tidak percaya kepada adanya tuhan dan akidah yang percaya kepada banyak tuhan. Dalam Islam konsep ketuhanan adalan berdasarkan ketauhidan (Tuhan Yang Maha Esa).

ii. Ibadah: Islam berada ditengah-tengah antara kumpulan yang hidup mereka hanya untuk beribadah di rumah-rumah ibadah dan kumpulan yang hidup mengejar keduniaan tanpa ikatan langsung dengan ibadah. Islam mengajar umatnya agar sentiasa beribadah dan juga mengajar mereka supaya jangan lupa habuan mereka di dunia.

iii. Halal-haram: Islam berada di tengah-tengah golongan yang mengharamkan semua benda kecuali sedikit sahaja dan golongan yang menghalalkan semua perkara.
iv. Perkahwinan: Islam berada di tengah-tengah antara golongan yang mengharamkan kepada mereka perkahwinan dan golongan yang bebas berkahwin sebanyak mana yang mereka inginkan.

v. Pemilikan harta: Islam berada di tengah-tengah antara golongan komunis yang tidak membenarkan rakyat memiliki harta dan golongan kapitalis yang bebas memiliki harta sebanyak mana yang mereka mahu dengan apa cara sekalipun walaupun melalui penindasan.

b. Umat Terbaik (Khayru Ummah)

Allah s.w.t tuhan alam semesta yang Maha Bijaksana menjadikan umat Islam sebagai umat yang terbaik dengan perintah amar makruf dan nahi mungkar serta beriman dengan jujur sehingga terhindarnya perbuatan-perbuatan keji dan sebaliknya terus melakukan perbuatan baik. Di antara kewajiban yang fundamental (asas) dalam Islam adalah kewajiban melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar. Ini merupakan kewajiban yang dijadikan Allah s.w.t sebagai salah satu daripada dua unsur fundamental tentang keutamaan dan kebaikan umat ini.

Firman Allah s.w.t :



Maksudnya: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik, dan melarang dari segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).

Surah Ali Imran (3): 110


Demikianlah kemuliaan dan keistimewaan yang telah diberikan oleh Allah s.w.t kepada umat Muhammad (umat Islam) selagi mereka tetap setia menjalankan 3 dasar Islam yang utama iaitu, menyuruh berbuat kebaikan (amar makruf), mencegah kemungkaran (nahi mungkar) dan beriman kepada Allah Azzawajalla dengan sebenar-benarnya. Dasar tersebut merupakan medium yang membawa umat Islam ke arah kemuliaan. Perintah amar makruf dan nahi mungkar didahulukan daripada ungkapan keimanan kepada Allah kerana kedua hal tersebut merupakan pagar dan benteng keimanan. Oleh itu, mendahulukan penyebutan keduanya menepati dengan kebiasaan yang diketahui manusia bahawa membuat sesuatu pagar itu perlulah didahului daripada yang dipagar.

Tanggungjawab melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar terletak di atas bahu semua umat Islam. Kewajiban ini bukan hanya tanggungjawab waliyul amri (pemimpin) sahaja. Setiap umat Islam bertanggungjawab melaksanakan kedua perintah ini berdasarkan kemampuan masing-masing.

Sabda Rasulullah s.a.w seperti di bawah ini:

“Barangsiapa di antara kalian melihat suatu kemugkaran, maka hendaklah dia merubahnya dengan tangan. Jika tidak mampu, hendaklah dengan lidah. Jika tidak mampu, hendaklah dengan hatinya, yang demikian itu adalah selemah-lemah iman.”
(Riwayat Muslim)

Unsur kebaikan yang paling penting adalah memiliki keimanan dan mempercayai sifat keesaan Allah s.w.t dan kenabian Rasul s.a.w Manakala aspek kemungkaran yang paling jahat ialah kufur kepada Allah s.w.t Oleh kerana itu, kewajiban berjihad dalam agama merupakan satu usaha membawa orang lain kepada manfaat yang lebih mulia dan juga menyelamatkan mereka dari kejahatan yang keji.

Islam memperkenalkan konsep amar makruf yang berlawanan dengan nahi mungkar agar manusia berlumba-lumba melakukan kebaikan dan meninggalkan keburukan serta kerosakan. Malahan setiap kebaikan dan kejahatan meskipun sekecil mana, tetap ada perhitungan di sisi Allah.

Kesimpulannya, Allah s.w.t. telah menjadikan umat Islam sebagai umat pertengahan dan terbaik (ummatan wasatan wa khairu ummah) selagi prinsip kesederhanaan dalam semua perkara terus diamalkan, bukan golongan yang melampaui batas. Begitu juga gelaran umat terbaik (khairu ummah) ini akan teruskan dilabelkan kepada umat Islam dengan pelaksanaan perintah amar makruf dan nahi mungkar. Dari prinsip kesederhanaan serta amar makruf dan nahi mungkar inilah terbinanya umat Islam, binaan ini akan kekal selagi prinsip ini dilaksanakan. Apabila prinsip ini diabaikan maka retaklah binaan itu seluruhnya dan terdedah kepada kemusnahan. Adalah mustahil bagi sesuatu umat untuk mendapat penghormatan jika sekiranya berlaku pemisahan antara tuntutan rohani dan jasmani serta meninggalkan amar makruf dan nahi mungkar disamping penolakan kepada keimanan yang bertunjangkan konsep ketauhidan.

BAB 2: PENDIDIKAN


HASIL PEMBELAJARAN


Di akhir sesi pengajaran dan pembelajaran pelatih seharusnya dapat:


1. Menyatakan pengertian pendidikan.
2. Menerangkan adab murid terhadap guru dan guru terhadap murid.
3. Menjelaskan tanggungjawab individu dalam pendidikan secara umum.
4. Membezakan antara tanggungjawab keluarga dan masyarakat.
5. Mengenalpasti tanggungjawab pemerintah dan ulama dalam pendidikan.

2.1 PENGERTIAN, FALSAFAH & KONSEP PENDIDIKAN ISLAM

a. Pengertian Pendidikan

Pendidikan didefinisikan oleh al Jamali sebagai membentuk tabiat dan sikap seseorang manusia dalam pelbagai aspek kehidupan, sama ada jasmani, rohani, akal, akhlak mahupun sosial supaya dapat mengabdikan diri kepada Allah. Walau apapun pengertian dibuat matlamat terakhir daripada pendidikan ialah menjadikan manusia sebagai seorang yang mengabdikan diri kepada Allah.


b. Falsafah Pendidikan

Islam sebagai cara hidup yang sempurna, sesuai untuk semua tempat, peringkat dan zaman, telah menggariskan falsafah pendidikannya yang tersendiri. Manusia ditugaskan untuk memakmurkan seluruh alam berdasarkan kesepaduan dan kesempurnaan hidup di dunia dan akhirat.Hakikat ini serasi dengan objektif penciptaan manusia sebagai khalifah Allah s.w.t dan hamba untuk berbakti. Firman Allah s.w.t dalam surah al-Dhariyat, ayat 56 yang mafhumnya: "Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada-ku".


c. Konsep Pendidikan

Konsep pendidikan Islam menyentuh dua aspek penting yang perlu dibincangkan. Pertama aspek teras Islam iaitu aspek yang menekankan fahaman akidah kepada Allah s.w.t, fahaman syariat dan didikan akhlak. Kedua aspek hubungan ilmu teras Islam dengan reality kahidupan di mana aspek ini memberi pelbagai cara dan kaedah berkaitan hubungan dengan pergolakan kehidupan manusia.


Dalam proses pendidikan, kaedah pengajaran adalah antara rukun terpenting kerana dianggap sebagai jambatan yang menghubungkan antara guru dengan murid dalam menyampaikan ilmu, fikiran dan kemahiran. Kejayaan pendidikan amat bergantung pada keberkesanan penggunaan sesuatu kaedah. Di samping itu juga, kaedah yang baik dapat menghilangkan rasa jemu ketika belajar.


2.2 ADAB DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

Islam mengaturkan adab-adab ini supaya ilmu yang dipelajari itu berkesan, berkat dan memberi manfaat kepada dirinya di dunia dan akhirat.

2.2.1 ADAB SEORANG PELAJAR

i. Mengutamakan kesucian zahir dan batin serta ketinggian budi pekerti dan menjauhkan diri dari sifat tercela.

ii. Menumpukan perhatian terhadap pelajaran dan aktiviti yang bermanfaat serta tidak melakukan perkara yang sia-sia.

iii. Tidak berbangga dengan ilmu yang dimilikinya kerana ilmu pengetahuan tidak akan tercapai melainkan dengan kerendahan budi.

iv. Mengelakkan dirinya dari mendengar pelbagai pendapat yang tidak berasas kerana perkara tersebut boleh menyebabkan keraguan dalam fikiran dan boleh membawa kepada sikap bosan untuk mengkaji hakikat limu yang sebenarnya.

v. Mengutamakan ilmu yang lebih penting dahulu dan barulah diikuti oleh keperluan lain mengikut maksud dan tujuan sesuatu ilmu. Contohnya: mengutamakan mempelajari ilmu fardhu ‘Ain daripada fardhu kifayah.


2.2.2 ADAB SEORANG GURU

i. Memiliki rasa sayang dan belas kasihan kepada pelajar-pelajar dan menganggap mereka seperti anak sendiri.

ii. Mengikut jejak langkah Rasulullah s.a.w dengan tidak menganggap ilmu yang dicurahkan adalah untuk mengaut keuntungan.

iii. Pengajaran yang diberi hendaklah secara berperingkat-peringkat kemudian menjelaskan bahawa maksud menuntut ilmu adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t

iv. Pengajaran guru hendaklah berlandaskan konsep psikologi, contohnya tidak mengherdik kesalahan yang dilakukan oleh pelajar secara terang-terangan sebaliknya dengan cara kasih sayang.

v. Seorang guru yang intelek tidak akan membezakan antara satu pelajaran dengan pelajaran yang lain, contohnya seorang guru bahasa memandang rendah terhadap ilmu feqah. Sikap yang sedemikian menunjukkan kerendahan jiwa seorang guru.

2.3 PERANAN DAN TANGGUNGJAWAB

2.3.1 PERANAN INDIVIDU

Individu dalam masyarakat mestilah mempunyai kesedaran diri tentang kepentingan ilmu pengetahuan. Menuntut ilmu merupakan satu kewajipan kepada setiap individu muslimin dan muslimat. Justeru itu setiap individu perlu berusaha mendapatkan ilmu pengetahuan sebagai memenuhi tuntutan agama disamping mendapat kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat.

Islam mewajibkan umatnya untuk menuntut ilmu sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Menuntut ilmu adalah fardhu ke atas setiap muslim samada lelaki atau perempuan”

Berdasarkan kepada sabda Rasulullah s.a.w., maka setiap individu perlu sedar bahawa ilmu memainkan peranan yang besar dalam pembentukan seseorang manusia dari segi rohani, jasmani, akal dan akhlak.

Menjadi suatu kewajipan bagi setiap individu untuk mencari ilmu selagi mana ilmu tersebut tidak bercanggah dengan ajaran Islam dan memberi kebaikan kepada diri mereka khususnya dan umat Islam umumnya.


2.3.2 PERANAN KELUARGA

Institusi kekeluargaan memainkan peranan penting dalam pendidikan anak-anak, terutamanya bagi menyuntik pendidikan awal agama, al-Quran dan akhlak Islam.

Ibubapa haruslah memberi didikan awal kepada anal-anak bagi tujuan mendedahkan anak-anak tersebut kepada dunia pendidikan. Misalnya, pembacaan buku-buku cerita teladan kepada anak-anak. Mereka juga hendaklah mengajar asas-asas ilmu seperti asas Fardhu ain, membaca, menulis dan mengira kepada anak-anak. Selain itu ibubapa juga hendaklah menghantar anak-anak mereka ke sekolah apabila sampai umur persekolahan sehinggalah ke peringkat yang lebih tinggi dalam sistem pendidikan negara.

Di samping itu juga, satu lagi perananan dan tanggungjawab keluarga ialah mengawasi pelajaran anak-anak sepanjang masa. Pada masa yang sama keluarga juga perlu menunjukkan nilai-nilai yang baik kepada anak-anak supaya mereka belajar untuk berjaya dalam hidup.


2.3.3 PERANAN MASYARAKAT

Semua umat Islam bersaudara oleh itu perlulah mendidik sesama ahli masyarakatnya.Perlu ada usaha dakwah yang berterusan dalam masyarakat bagi mengajak ke arah kebaikan dan memperdalami soal-soal agama.

Firman Allah s.w.t:


Maksudnya: “Mengapakah tiada berjalan sebahagian di antara tiap-tiap puak supaya mempelajari ilmu agama? Apabila mereka kembali bolehlah mereka memberi peringatan kepada kaumnya, mudah-mudahan mereka akan sentiasa berhati-hati.”

Surah al-Taubah (9):22

Masyarakat seharusnya menghapuskan sikap mendiamkan diri sahaja atau seperti ‘enau dalam belukar, yang melepaskan pucuk masing-masing’ apabila berhadapan dengan situasi kemungkaran dalam masyarakat. Keadaan yang sedemikian lama kelamaan hanya akan membawa kehinaan dan kelemahan kepada umat Islam sendiri.
2.3.4 PERANAN ILMUAN ATAU ULAMAK

Golongan ini bukan sahaja bertanggungjawab menyampaikan ilmu pengetahuan malahan memastikan setiap ajaran yang disampaikan diterima dengan baik dan mampu memupuk keperibadian yang tinggi dalam diri insan. Oleh itu golongan ini perlu mempamerkan tingkah laku yang menjadi contoh kepada masyarakat.

Peranan ilmuan juga adalah untuk menyemaikan perasaan cinta dan taat kepada Allah serta menguatkan iktiqad yang benar dalam jiwa pelajar. Golongan ini juga perlu bersifat berani dan tegas dalam menerang dan memberi penjelasan ketika menyampaikan ilmu. Ulamak dan ilmuan juga perlu menyebarkan kebenaran Islam agar ianya mampu membangkitkan minat masyarakat terhadap penyelidikan ilmu Islami. Apabila banyak kajian yang dibuat, maka ia secara tidak langsung akan menunjukkan ketinggian ilmu Allah s.w.t. berbanding dengan pengetahuan manusia yang bersifat lemah.

Golongan ini bukan sahaja bertanggungjawab menyampaikan ilmu pengetahuan malahan memastikan setiap ajaran yang diberi diterima dengan baik dan mampu memupuk keperibadian yang tinggi dalam diri insan. Oleh itu golongan ini perlu mempamerkan tingkahlaku yang mampu menjadi ikutan atau idola dalam masyarakat.

Peranan para ilmuan juga adalah untuk menanamkan perasaan cinta dan taat terhadap Allah s.w.t. serta menggalurkan iktiqad yang benar dalam jiwa pelajar. Golongan ini juga perlu bersifat berani dan tegas dalam memberi penerangan yang jitu dalam mendidik. Ulama dan ilmuan juga perlu menyuluh kebenaran Islam agar ianya mampu membangkitkan minat dan mengocak jiwa masyarakat dengan menyelidiki konsep dan teori-teori. Agar apabila terhasil kajian-kajian yang dibuat, mampu untuk menunjukkan ketinggian ilmu Allah s.w.t. berbanding dengan pengetahuan melalui ciptaan manusia yang bersifat.

2.3.5 PERANAN PEMERINTAH

Pemerintah memainkan peranan penting dalam institusi pendidikan untuk memelihara kesinambungan perkembangan pendidikan, antara tanggungjawab yang perlu dipelihara ialah:

i. Tidak memisahkan antara Islam dan urusan hidup seharian dengan cara mengukuhkan peraturan dan kefahaman kapada masyarakat.
ii. Membentuk falsafah dan matlamat pendidikan yang seiring dengan kehendak Islam.
iii. Menyediakan prasarana dan kemudahan samada tenaga atau kewangan untuk membangunkan pendidikan.

BAB 3: PEMERINTAHAN DAN PENTADBIRAN ISLAM


HASIL PEMBELAJARAN


Di akhir sesi pengajaran dan pembelajaran pelatih seharusnya dapat:


1. Menyatakan pengertian pemerintahan dan pentadbiran menurut Islam.
2. Mendefinisikan istilah khalifah, imamah dan imarah.
3. Menjelaskan ciri-ciri pemerintahan dan pentadbiran Islam.
4. Menerangkan syarat-syarat pemimpin Islam.
5. Menerangkan kisah-kisah Khulafa’ ar-Rasyidin.
6. Menyenaraikan nama-nama Khulafa’ ar-Rasyidin dan jasa-jasa mereka.
7. Mendefinisikan keadilan, kesamarataan, kebebasan dan ketelusan.
8. Memberi contoh-contoh keadilan, kesamarataan, kebebasan dan ketelusan.
9. Menjelaskan maksud syura dan demokrasi.
10. Membezakan sistem syura dan demokrasi.
11. Memberikan maksud hisbah.
12. Menyatakan prinsip hisbah.
13. Mengenalpasti peranan institusi hisbah.

3.1 PEMERINTAHAN DAN PENTADBIRAN

Kekuasaan dan pemerintahan ialah hak dan milik mutlak Allah s.w.t. dan dikurniakan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan mengambilnya kembali daripada sesiapa yang diingini-Nya.

3.1.1 KONSEP

Menurut takrifan yang diberikan ulama, negara Islam ialah negara yang dibangunkan atas dasar akidah Islam. Ini bererti bahawa seluruh sistem yang ditegakkan dalam negara tersebut adalah berdasarkan sistem Islam. Negara yang berteraskan konsep Islam yang memberi jaminan kepada setiap muslim untuk menunaikan ibadah kepada Allah dan hidup sesuai dengan tuntutan akidah Islam. Seluruh urusan negara dilaksanakan atas dasar undang-undang Islam.

Walaupun terdapat sebahagian ulama yang mentakrifkan negara Islam sebagai negara yang berada di bawah kekuasaan orang-orang Islam, namun ia tidak dapat lari daripada definisi yang pertama kerana orang Islam wajib melaksanakan hukum-hukum Islam di negara yang mereka kuasai.

Manakala pemerintah dan pemimpin ialah Khalifah Allah SWT di bumi yang diamanahkan Allah untuk memerintah dan memimpin rakyat,mentadbir alam dan mengurus sumber tabii.Kuasa merupakan amanah Allah kepada manusia yang perlu digunakan secara betul serta menepati kehendak syariah.


3.1.2. PRINSIP

Dalam hal ini, Islam telah menggariskan bahawa sesuatu pemerintahan dan pentadbiran Islam mestilah berdiri di atas tiga (3) prinsip iaitu:


i. Prinsip Tauhid: Prinsip ini menghendaki seseorang itu mengakui bahawa Allahlah pemilik dan pentadbir alam ini. Ini sekaligus menafikan kedaulatan manusia sama ada dalam bentuk individu atau kelompok.
ii. Prinsip Risalah: Prinsip ini pula menentukan seseorang itu menerima ajaran Allah atau syariat Allah s.w.t yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w sama ada melalui Al Quran atau As Sunnah.
iii. Prinsip Khilafah: Prinsip ini menghendaki seseorang itu sedar bahawa dia adalah khalifah Allah s.w.t atau wakil Allah dalam mentadbir bumi milik Allah ini. Ini bermakna manusia memiliki sesuatu sebagai melaksanakan amanah kerana semuanya milik Allah s.w.t Oleh itu manusia mesti mengikut panduan dan arahan Allah. Mereka tidak boleh bertindak sesuka hati dan melampaui batas-batas yang ditetapkan. Ini bermakna segala tindak-tanduknya mestilah bermatlamatkan untuk mendapat keredaan Allah s.w.t


3.1.3 CIRI-CIRI PEMERINTAHAN ISLAM

Terdapat beberapa ciri pemerintahan sesebuah negara yang digariskan oleh Islam seperti yang dihuraikan oleh para ulama. Antaranya ialah:

a. Negara Madani Dengan Islam Sebagai Rujukan

Negara Islam bukan negara teokrasi yang dikuasai oleh pemimpin agama, yang mengakui mewakili tuhan dengan membuat undang-undang sesuka hati dan didakwa sebagai undang-undang tuhan. Bukan juga negara sekular yang memisahkan agama dari pentadbiran negara bahkan memusuhi dan menghalang pelaksanaannya. Negara Islam ialah negara yang menegakkan hukum yang diturunkan Allah dan menyuruh rakyat melaksanakan kehendak dan perintah Allah.

b. Bersifat Antarabangsa

Ia tidak berdiri atas dasar bangsa dan perkauman serta sempadan negara. Ia adalah negara yang terbuka bagi semua orang beriman dan ajarannya yang tidak memaksa. Namun ia juga menerima orang bukan Islam dan melindungi mereka dengan syarat mereka juga tunduk kepada syariat Islam.

c. Negara Islam Adalah Negara Hukum

Undang-undang Negara berbentuk prinsip dan hukum syariah yang meliputi seluruh aspek kehidupan manusia. Dalam melaksanakan hukum tersebut, ia tidak mencari alternatif lain selain yang ditetapkan oleh Allah. Pelaksanaan hukum dan undang-undang itulah yang menjadi ukuran keislaman dan bukti keimanan sesebuah negara kepada Allah.

Firman Allah s.w.t.:

*******************

Maksudnya: “Dan sesiapa yang tidak menghukum menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu ialah orang-orang kafir.”

(Al-Maidah 5:44)

d. Negara Islam Diasaskan Oleh Syura

Ia bukan negara yang berdasarkan sistem warisan tanpa mengira seorang itu salih atau tidak. Negara Islam menjalankan sistem terbaik yang terdapat dalam demokrasi, tetapi tidak bermakna ia merupakan negara demokrasi sebagaimana barat kerana demokrasi memiliki banyak kelemahan. Negara Islam adalah negara berdasarkan syura yang meletakkan batas dalam pemerintahan. Akidah dan nilai akhlak serta hukumnya menjadi tunjang negara.
e. Negara Hidayah

Negara Islam sentiasa memberi perhatian kepada pengembangan dakwah dan menyampaikan risalah agar rakyat mendapat hidayah Allah. Ia mestilah sentiasa mengelakkan berlaku salah faham terhadap Islam dan perbuatan yang mencemarkan ajaran Islam. Rasulullah dan khalifah setelah baginda sentiasa berusaha menyebar dakwah kepada masyarakat dunia. Tugas negara menunjukkan manusia jalan Islam dan menyingkirkan segala halangan kearah tujuan itu.

f. Melindungi Kaum Yang Lemah

Membantu fakir miskin, anak yatim dan golongan yang lemah melalui zakat. Menolong mereka yang ditindas dan teraniaya dengan pembelaan yang sewajarnya daripada kezaliman. Membela kanak-kanak, ibu bapa, wanita dan golongan buruh bahkan binatang pun mendapat pembelaan dalam negara.

Firman Allah s.w.t.:

************

Maksudnya: “Supaya harta itu tidak beredar di kalangan orang kaya sahaja di kalangan kamu”

Surah al Hasyr (59): 7

Kata Saidina Abu Bakar:

“Orang yang paling kuat di kalangan kamu adalah lemah pada pandanganku sehingga aku dapat mengambil hak daripadanya. Orang yang paling lemah di kalangan kamu pula kuat pada pandanganku sehingga aku menyerahkan hak kepadanya.”



g. Melindungi Hak Dan Kebebasan

Islam melindungi hak dan memberikan kebebasan kepada rakyat dalam negara. Masyarakat bukan Islam diberi kebebasan beragama dan mengamalkan ajaran mereka. Kebebasan memberikan pendapat selagi tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Bagi yang melakukan kemungkaran pula, ia telah melanggar kebebasan yang diizinkan maka orang lain bebas untuk menegur dan mencegah kemungkaran yang dilakukannya.

Firman Allah s.w.t.:

*****************************

Maksudnya: “Tidak ada paksaan untuk memasuki agama (Islam). Sesungguhnya telah jelas jalan yang benar dariapada jalan yang salah”

Al-Baqarah (2): 252

h. Negara Berprinsip Dan Berakhlak

Negara Islam tidak bersikap talam dua muka. Islam tidak mahu suatu matlamat yang baik dicapai dengan cara yang buruk (matlamat tidak menghalalkan cara). Nabi tidak pernah memungkiri janjinya walaupun dengan orang kafir Quraisy dan musuh seperti dalam perjanjian Hudaibiyah. Negara Islam menjaga prinsip dan akhlak dengan menetapkan peraturan dalam peperangan.

Firman Allah s.w.t.:

***************************

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, jadilah kau semua penegak keadilan, menjadi saksi kerana Allah, walaupun terhadap dirimu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabatmu.”

(Surah al Nisa’ 4: 135)
Inilah beberapa kriteria negara menurut pandangan Islam. Jelas negara yang berasaskan ajaran Islam jauh lebih unggul dan memelihara kepentingan semua masyarakat. Sentiasa menyeru dan membawa rakyat kearah kebaikan dan menolak sebarang bentuk cubaan serta usaha yang boleh mengundang kemurkaan Allah.


3.1.4 ISTILAH-ISTILAH SISTEM PEMERINTAHAN ISLAM

i. Khilafah

Khilafah ialah kepimpinan negara Islam dan khalifah pula merupakan pemimpin tertinggi dalam sebuah negara Islam.

a. Hukum Melantik Khalifah

Ijma’ para ulama (bersepakat) mengatakan bahawa hukum melantik khalifah bagi menguruskan kepentingan umat Islam adalah wajib. Menurut Imam al Nasafi Kaum muslimin mesti mempunyai pemimpin yang melaksanakan hukum dan pemerintahan Islam. Imam al Jurjani pula mengatakan bahawa melantik Imam merupakan kewajipan untuk menyempurnakan kehendak-kehendak agama.

b. Tugas Khalifah

Tugas khalifah dan kerajaan Islam telah digariskan oleh para ulama seperti berikut:

(1) Mendaulatkan hukum Allah, menyebarkan agama dan menegakkan syiarnya.
(2) Menegakkan kebaikan, keadilan dan ketinggian akhlak serta nilai-nilai kemanusiaan melalui amar makruf nahi munkar.
(3) Membasmi kemungkaran, kejahatan dan kezaliman daripada membelenggu kehidupan masyarakat.
(4) Melindungi keamanan dan kesejahteraan seluruh rakyat dari sebarang ancaman dalam ataupun luaran.
(5) Melaksanakan pembangunan Negara dengan mengeluarkan kekayaan yang dimiliki untuk kepentingan bersama, Negara dan rakyat agar dapat mengecap kemakmuran.

c. Bidang Kuasa Khalifah

Walaupun tugas khalifah besar dan berat, namun mereka tidak boleh melampaui beberapa batas bidang kuasa iaitu:

(1) Khalifah mesti tunduk kepada perundangan Islam. Melaksanakan hukum dan peraturan atau akta bersesuaian dengan prinsip dan kaedah Islam.
(2) Khalifah tidak mempunyai kuasa perundangan. Beliau boleh melakukan ijtihad dan memberi kuasa kepada mujtahid melakukan ijtihad hanya dalam batas yang dibenarkan al Quran dan Hadith.
(3) Khalifah dan pegawai-pegawainya mesti bertanggungjawab terhadap kaedah hukum Islam. Prinsip Islam ini diterangkan secara umum dan pemerintah hendaklah menyesuaikan tindakannya agar tidak bertentangan dengan prinsip tersebut.

ii. Wizarah

Perkataan wizarah adalah berasal dari kata wazir yang bererti menteri. Daripada sini lahir perkataan wizarah yang bererti kementerian. Menteri atau kementerian sebenarnya telah wujud pada zaman Nabi s.a.w Cuma ia tidak dinamakan menteri tetapi fungsi tetap sama seperti menteri iaitu sebagai pembantu dalam pemerintahan atau kepimpinan Nabi s.a.w dan juga khalifah selepas kewafatan Nabi s.a.w


Peranan wizarah ini lebih ketara lagi pada zaman kerajaan Abbasiah dengan munculnya Perdana Menteri yang berwibawa dan diserahkan kuasa yang lebih luas kepadanya oleh khalifah seperti yang berlaku kepada menteri-menteri daripada keluarga Al-Barmaki.
iii. Imarah

Perkataan imarah adalah berasal daripada perkataan amir yang bererti raja atau pemerintah. Perkataan imarah bererti pemerintahan atau sebuah kerajaan yang dipimpin oleh seseorang amir.

Kerajan Islam yang memakai gelaran amir biasanya lahir dari kerajaan kecil seperti kerajaan Islam di Sepanyol yang diasaskan oleh Abdul Rahman Ad-Dakhili.Walaupun kerajaan ini kecil tetapi ia telah memberi sumbangan yang besar kepada tamadun dunia khususnya masyarakat Eropah.


3.2 KEPIMPINAN KHULAFA’ AL-RASYIDIN

Empat orang khalifah yang mentadbir negara setelah kewafatan Nabi SAW dikenali sebagai Khulafa’ al-Rasyidin bermaksud (Yang Biajksana). Pemerintahan khulafa’ al-Rasyidin berlangsung selama tiga puluh tahun iaitu pada zaman pemerintahan Saidin Abu Bakar al-Siddiq (11H-13H/ 632M-634M), Saidina Umar bin al Khattab (13H-23H/634M-644M), Saidina Uthman bin Affan (23H-35H/644M-655M) dan Saidina Ali bin Abi Talib (35H-40H/655M-661M).

Setelah itu, pemerintahan Islam bertukar kepada bentuk warisan (monarki) bermula zaman Muawiyah bin Abi Sufyan yang menubuhkan kerajaan Bani Umayyah. Seterusnya kepimpinan Islam bertukar tangan kepada pemerintahan Bani Abbasiyah. Kerajaan Islam berakhir di Turki dengan kejatuhan kerajaan Bani Uthmaniyah pada tahun 1924M di tangan Kamal Attarturk. Beliau telah menghapuskan sistem khalifah dan menggantikannya dengan fahaman sekular yang diceduk dari Barat.

3.2.1 PERLANTIKAN KHULAFA’ AL-RASYIDIN SERTA JASA-JASA MEREKA

Saidina Abu Bakar r.a

Perlantikan Abu Bakar sebagai khalifah, dicalonkan oleh Saidina Umar setelah berlaku perbincangan yang hangat di antara golongan Muhajirin dan Ansar di Saqifah Bani Saadah tentang pengganti Nabi dalam urusan kenegaraan. Pencalonan beliau dipersetujui oleh kalangan para sahabat termasuklah Saidina Ali.

Selepas kewafatan Nabi SAW, beberapa kalangan suku Arab bertemu dengan Khalifah Abu Bakar untuk meminta pengecualian daripada membayar zakat. Pada waktu yang sama juga, muncul beberapa orang yang mengaku sebagai nabi seperti Musailamah al Kazzab dan Sajah. Mereka berusaha melebarkan pengaruh ke daerah-daerah sekitar semenanjung Arab yang menjadi ancaman kepada kesucian ajaran Islam.

Bagi mengatasi gerakan-gerakan ini, Abu Bakar telah menghantar pasukan tentera yang dipimpin oleh Khalid bin al Walid untuk memerangi kumpulan-kumpulan tersebut. Akhirnya tentera Islam berjaya mencapai kemenangan setelah mendapat tentangan yang hebat. Beliau telah berjaya mempertahankan akidah umat Islam dengan memerangi golongan murtad dan Nabi-nabi palsu.

Saidina Umar r.a.

Saidina Umar dilantik sebagai khalifah berdasarkan cadangan berupa wasiat oleh Saidina Abu Bakar setelah baginda mendapat pandangan dari ahli syura. Para sahabat bersetuju dengan cadangan ini, lalu memberikan bai’ah kepada Umar dengan diketuai oleh Saidina Uthman.


Sungguh besar perhatian beliau terhadap kebajikan rakyatnya sehinggakan pada zamannya bermula sistem pentadbiran yang teratur. Dengan berdasarkan prinsip syura, Majlis Tertinggi dan Majlis Umum. Majlis Tertinggi adalah merupakan jawatankuasa kabinet yang dianggotai oleh sahabat-sahabat besar seperti Uthman bin Affan r.a., Ali bin Abi Talib r.a., Zaid bin Thabit r.a, Abdul Rahman bin Auf r.a. dan lain-lain lagi. Manakala Majlis Umum pula, sifatnya terbuka untuk rakyat dengan masjid sebagai tempat pertemuannya.

Untuk melicinkan pentadbiran wilayah-wilayah Islam, Saidina Umar r.a. telah menjalankan dasar disentralisasi dengan membahagikan wilayah kepada lapan bahagian dan diketuai oleh seorang gabenor. Sebelum gabenor itu dilantik, mereka dikehendaki mengisytihar harta masing-masing untuk mengelakkan rasuah.

Satu langkah Saidina Umar r.a. yang nampak terkehadapan dan boleh dianggap sebagai mendahului zaman apabila beliau menjalankan sistem pentadbiran dalam istilah perundangan moden dipanggil ‘prinsip perasingan kuasa’ (separation of power). Meskipun caranya agak berbeza dengan amalan masa kini, tetapi Saidina Umar r.a. telah berjaya melaksanakannya apabila para kadi diberi kebebasan untuk menjalankan tugasnya tanpa takutkan kuasa politik. Pernah terjadi seorang muslim meminta fatwa dari seorang hakim dan hakim itu telah mengeluarkan fatwa yang bertentangan dengan pendapat Saidina Umar r.a. sendiri, namun beliau tidak bertindak memaksa pendapatnya dipakai dan jauh sekali untuk berindak terhadap hakim tersebut.

Dalam bidang pentadbiran tanah pula, khalifah Umar bin Al-Khattab r.a. telah menghapuskan pemerasan tuan-tuan tanah terhadap petani-petani. Beliau juga menggalakkan pembukaan tanah-tanah baru dengan memberikan hak milik kepada mereka yang mengusahakannya.






Dalam soal ketenteraan, beliau telah membahagikan tentera Islam kepada dua bahagian:

i. Tentera sepenuh masa di mana mereka dibayar gaji tetap dan mendapat kemudahan-kemudahan sampingan yang lain. Namun mereka tidak diberikan habuan tanah untuk mengelakkan mereka menetap di sesuatu tempat.
ii. Orang-orang awam yang dapat dikerahkan pada masa-masa tertentu dan mereka ini layak untuk mendapat habuan tanah.

Beliau juga telah menubuhkan bandar tentera yang dinamakan masalih seperti Kufah, Basrah, Damsyik dan Fustat. Tujuannya, setelah tentera selesai melakukan operasi, mereka akan kembali berehat di situ dan tidak perlu kembali ke Madinah yang terlalu jauh.

Selain dari itu Umar juga telah membuat perubahan dalam pengurusan negara seperti:

i. Mewujudkan takwim hijrah. Kiraan dibuat berdasarkan tahun berlakunya hijrah Nabi SAW ke Madinah.
ii. Memperluaskan wilayah-wilayah Islam antaranya ke Syria, Mesir dan Afrika Utara.
iii. Mengasaskan al Diwan atau buku catatan Negara. Asalnya dibuat catatan nama-nama tentera serta keluarga dengan jumlah sara hidup untuk diberi gaji.
iv. Menubuhkan baitul mal yang mendapat sumber daripada zakat, ghanimah, fay’, jizyah, kharaj, cukai perniagaan dan harta orang mati yang tiada waris.



Dengan adanya perubahan-perubahan pentadbiran seperti yang dilakukan oleh khalifah Umar bin Al Khattab r.a. seperti di atas serta sumbangan-sumbangan lain yang tidak disebutkan, maka tidak hairanlah jika Umar bin Al - Khattab r.a. digelar sebagai Amirul Mukminin bahkan di kalangan rakyat, istilah ‘keadilan’ begitu sinonim dengan nama Umar r.a. itu sendiri. Ini terbukti dalam beberapa kejadian termasuklah beliau sanggup menghukum anaknya sendiri kerana telah disabitkan melakukan kesalahan.

Saidina Uthman r.a.

Sebelum wafat, Saidina Umar telah melantik enam orang sebagai ahli syura bagi membincangkan masalah pengganti baginda. Mereka ialah Saidina Ali, Saidina Uthman, Zubair bin Awwam, Abd Rahman bin ‘Auf, Talhah bin ‘Ubaidillah dan Saad bin Abi Waqqas. Setelah perbincangan dilakukan, persetujuan diambil untuk melantik Saidina Uthman bin Affan sebagai khalifah.

Jasa besar yang telah dilakukan oleh Uthman bin Affan ialah pengumpulan al-Quran dalam satu mashaf. Ini dilakukan bagi menyatukan bentuk bacaan al Quran kerana wilayah Islam yang semakin luas menyebabkan timbul perlbagai versi bacaan mengikut dialek masyarakat yang berbeza. Dengan usaha yang dilakukan, umat Islam kembali bersatu dengan hanya satu bentuk bacaan sahaja.

Dalam pentadbiran beliau melantik wakil pemerintahannya di Mesir untuk melancarkan sistem pemerintahan.

Saidina Ali r.a.

Golongan Muhajirin dan Ansar telah memberikan bai’ah kepada Saidina Ali di Masjid Nabawi secara terbuka bagi mengelakkan tersebarnya fitnah yang lebih besar akibat pembunuhan Saidina Uthman.


3.2.2 CONTOH PERLAKSANAAN PRINSIP DALAM PEMERINTAHAN ISLAM

i. Keadilan

Dalam satu peperangan, saidina Ali telah kehilangan baju besi miliknya. Kemudian beliau mendapati baju tersebut ada pada seorang Yahudi. Kes ini dibawakan kepada hakim Syuraih. Hakim meminta Saidina Ali sebagai pendakwa memberikan bukti baju besi itu miliknya. Malangnya Saidina Ali tidak dapat mengemukakan sebarang bukti.

Maka Syuraih telah memutuskan baju besi tersebut adalah milik Yahudi bukan milik Saidina Ali walaupun baginda seorang khalifah. Akhirnya Yahudi yang menjumpai baju besi tersebut, memulangkannya kepada Saidina Ali yang merupakan pemilik sebenar. Beliau juga memeluk Islam kerana melihat keadilan yang ditunjukkan oleh pemerintah Islam.

ii. Kesamarataan

Sabda Nabi “…Jika sekiranya Fatimah binti Muhammad SAW mencuri nescaya aku akan potong tangannya”.

Hadith ini menggambarkan bahawa, dalam pemerintahan Islam yang dijalankan oleh Nabi, semua orang tidak tanpa mengira kedudukannya adalah sama pada pandangan undang-undang. Tidak dilebihkan seseorang kerana kedudukannya yang tinggi sekiranya melakukan kesalahan, tetap akan dihukum seperti orang bawahan.

Saidina Umar pernah menghukum seorang seorang amir dari keturunan Ghassan kerana beliau telah memukul seorang pemuda suku Fazzarah yang terpijak jubahnya ketika sedang bertawaf. Saidina Umar memberikan keizinan kepada pemuda tadi untuk memukul balas amir tersebut.

Kedua-dua ksiah di atas menunjukkan hukuman dalam kerajaan Islam sama rata. Tidak ada rakyat kelas dua dalam negara.

iii. Kebebasan

Dalam satu perhimpunan Saidina Umar menyeru agar masyarat memberikan ketaatan kepada beliau. Bangun seorang pemuda menghunuskan pedang dengan menyatakan beliau akan membetulkan khalifah dengan pedangnya. Saidina Umar mengucapkan terima kasih kepada beliau kerana bersedia dan berani menegur khalifah. Umar memberikan kebebasan kepada masyarat untuk membuat teguran kepada beliau secara terbuka. Umar juga pernah bercadang menetapkan mas kahwin agar tidak terlalu tinggi.Tindakan baginda ditegur oleh seorang wanita kerana mas kahwin adalah hak wanita bukan hak pemerintah menentukannya. Umar akhirnya menerima teguran tersebut dengan baik.

iv. Ketelusan

Kerajaan Yaman telah menghadiahkan kain kepada kerajaan Islam di Madinah. Kain itu telah diagihkan kepada seluruh penduduk Madinah. Saidina Umar yang menjadi khalifah ketika telah ditanya oleh rakyat tentang baju yang dipakainya, kerana baginda mendapat dua bahagian kain sedangkan orang lain hanya satu bahagian sahaja. Anak baginda bernama Abdullah, menjelaskan satu bahagian lagi adalah miliknya yang diserahkan kepada ayahnya kerana saiz Umar yang besar perlu kepada kain yang lebih.

Kisah ini menggambarkan ketelusan yang diamalkan dalam pemerintahan. Tidak ada perkara yang disembunyikan dari pengetahuan rakyat apabila mereka ingin mendapatkan penjelasan.







3.3 SISTEM SYURA

3.3.1 PENGERTIAN SYURA DAN DALIL

Syura dari segi bahasa bererti mesyuarat. Manakala dari segi istilah pula ia bermaksud permesyuaratan, perbincangan, pertukaran fikiran atau pengumpulan pandangan dan pendapat matang oleh sekumpulan manusia dari kalangan pemimpin yang bertanggungjawab dalam segala hal dan urusan berkaitan kepentingan dan kebajikan bersama menyentuh agama, bangsa, organisasi dan negara demi mencari hak dan kebenaran atau menentukan keputusan atau ketetapan yang terbaik berasaskan kepada disiplin ilmu, iman, takwa dan ihsan.

Firman Allah s.w.t :


Maksudnya: “Dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat menyukai orang yang bertawakal kepadanya.”
Ali ‘Imran (3): 159


3.3.2 PRINSIP DAN AMALAN SYURA

Syura adalah prinsip fitrah yang sememangnya wujud dalam jiwa manusia. Manusia suka apabila urusan mereka dibincangkan dengan meneliti pandangan yang pelbagai. Manusia tidak suka dipaksa dengan cara zalim dan menekan kepentingan mereka. Syura adalah prinsip asas dalam khilafah insaniah yang juga prinsip asas khilafah ummah dalam masyarakat dan negara.

Firman Allah s.w.t:
Maksudnya: “....dan (ingatlah) ketika Tuhan berfirman kepada malaikat: sesungguhnya aku hendak menjadi seorang Khalifah di bumi...”

Al-Baqarah (2): 30

Allah s.w.t tidak menurunkan Khalifah insaniah ke dunia di atas bahu individu tertentu sahaja, malah dipertanggungjawabkan bersama kepada semua manusia. Ini dijelaskan dalam al-Quran. Firman Allah s.w.t :

Maksudnya: “Allah menjanjikan orang beriman dan beramal soleh di antara kamu (wahai umat Muhammad s.a.w) bahawa ia akan menjadikan mereka Khalifah yang memegang kuasa pemerintah di bumi, sebagaimana ia menjadikan orang yang sebelum mereka: Khalifah yang berkuasa, dan ia akan menguat dan mengembangkan Agama mereka (agama Islam) yang diredhainya untuk mereka, dan ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan selepas mereka mengalami ketakutan (daripada ancaman musuh) mereka terus beribadah kepadaku dan tidak diutus ke muka bumi menyekutukan sesuatu yang lain denganku.
Al-Nur (24): 55

Ayat tersebut jelas menunjukan bahawa syura berkait rapat dengan akidah. Selepas segala urusan dapat disusun dengan baik menurut syura, hasilnya adalah kehidupan aman, damai dan sejahtera. Dengan itu manusia hendaklah sentiasa menyembah Allah s.w.t dan tidak menyekutukannya dengan segala sesuatu, kerana itulah tujuan utama manusia diciptakan.




a. Syura Pada Zaman Rasulullah s. a. w.

Rasulullah s.a.w. mengamalkan syura dengan sahabat mengenai kepentingan umat Islam, antara yang dapat dilihat, semasa berada di Mekah, baginda sentiasa bertemu dengan para sahabat untuk menyampaikan mesej dakwah Islam dan mengatur gerak kerja dakwah ke atas penduduk Mekkah. Dengan konsep syura ini umat Islam di Mekah bertambah bilangan dan bersatu dalam tindakan sehingga mereka terpaksa berhijrah apabila terdapat tentangan kuat daripada masyarakat Quraisy. Sebelum berhijrah ke Yathrib (Madinah) dan mengasaskan kerajaan Islam yang pertama, baginda mengadakan rundingan dengan penduduk Yathrib iaitu Aus dan Khazraj yang menerima baik agama Islam. Rundingan tersebut dilakukan dalam dua perjanjian iaitu perjanjian Aqabah yang pertama dan perjanjian Aqabah yang kedua.

Dalam situasi genting juga, baginda sanggup berlapang dada untuk berunding dengan para sahabat seperti yang berlaku semasa keberangkatan baginda dan para sahabat untuk menunaikan ibadah haji yang pertama dalam Islam. Kedatangan tentera Islam untuk menunaikan haji seara aman tidak dibenarkan oleh kaum Quraisy. Malahan wakil rundingan tentera Islam yang dihantar untuk merundingkan kebenaran tersebut juga ditawan oleh mereka. lalu, baginda mengambil sikap berunding dengan para sahabat untuk mendapatkan penyelesaian. Keputusan perang telah dicapai untuk menyerang dan membebaskan tawanan Islam iaitu Ali. Walau bagaimanapun Kaum Quraisy telah membebaskan tawanan tersebut.

Dari segi merangka perundangan dan membahaskannya, pada zaman Rasulullah tidak wujud, ini disebabkan semua permasalahan perundangan Islam boleh dirujuk secara langsung dengan Rasulullah. Baginda akan menyelesaikan segala kemuskilan agama dengan memberi jawapan berdasarkan sama ada dari wahyu atau al-Quran atau hadis.

Rasulullah s.a.w sentiasa mengadakan perbincangan, perundingan, meminta pendapat dan pandangan serta bermesyuarat dengan para sahabat setiap kali sebelum melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang besar dan penting. Rasulullah s.a.w sentiasa menghormati semua pendapat, pandangan dan cadangan semua sahabat tanpa mengira kedudukan mereka. Contohnya baginda menerima cadangan Salman al-Farisi agar menggali parit (khandak) untuk menghadapi tentera kafir Makkah dalam peperangan Al-Ahzab atau Khandak.

b. Syura Pada Zaman Khulafa’ Al- Rasyidin

Semasa pemerintahan khalifah berikutnya, fungsi syura yang dapat dikaitkan dengan dewan rakyat dan dewan senat mula terserlah, tetapi bukan dalam bentuk institusi. Ini disebabkan sumber perundangan langsung iaitu al-Quran dan hadis sudah mencapai tahap kemuncaknya dengan kewafatan Rasulullah s.a.w. Sehubungan itu ulama Islam yang pernah mendampingi dan mendalami ilmu pengetahuan agama dengan baginda berperanan menghuraikan permasalahan hukum yang dihadapi oleh pemerintah dan juga rakyat.

Majlis Syura merupakan satu kaedah bagi orang-orang Islam dalam mempertahankan kedaulatan sistem khalifah di zaman Khulafa’ al-Rasyidin. Khalifah Umar r.a. pernah menyatakan beberapa kali bahawa tertegaknya sistem demokrasi Islam adalah dengan adanya syura. Ahli-ahli Majlis Syura tidak ditetapkan dan ia bergantung kepada keperluan pentadbiran sesebuah negara. Setiap ahli dalam Majlis Syura bebas mengemukakan pendapat atau pandangan mereka masing-masing sama ada mereka bersetuju atau tidak dengan cadangan khalifah. Mereka juga bertanggungjawab menasihati khalifah dalam hal-hal yang bersangkutan dengan tugas-tugas yang telah ditetapkan di dalam syura


Para sahabat yang menggantikan Rasullah s.a.w iaitu para Khulafa’ Al- Rasyidin semuanya mengikut jejak langkah Rasulullah s.a.w yang mengutamakan amalan syura dengan para sahabat dalam menjalankan pemerintahan dan pengurusan negara Islam. Contohnya Khalifah Umar bin Al-Khattab tetap mengutamakan syura dengan menyatakan: “Tiada Khalifah tanpa mesyuarat.”

Ia membuktikan bahawa para Khulafa’ Al-Rasyidin mementingkan dan mengutamakan amalan bermesyuarat untuk melaksanakan sesuatu tugas dan bertanggungjawab untuk kepentingan umat sejagat.


3.3.3 DEMOKRASI

Seringkali syura dikelirukan dengan demokrasi. Mengikut pengertian Kamus Dewan, demokrasi adalah pemerintahan oleh rakyat atau wakil yang dipilih dalam pilihanraya. Secara jelasnya ia merupakan sistem politik yang membolehkan rakyat sesebuah negara mempunyai pilihan ke atas persaingan di antara pertubuhan-pertubuhan dan para pemimpin politik. Rakyat diberi hak untuk mengawal kerajaan dan menentukan bentuk perkembangan sistem politik menerusi kuasa mengundi yang dimilik oleh mereka. Dalam sistem demokrasi, pegawai-pegawai yang dipilih oleh golongan majoriti berkuasa ke atas peraturan-peraturan yang dibuat untuk rakyat. Pemilihan ketua-ketua dan penamaan calon ditentukan oleh pengundi.

3.3.4 PERBEZAAN ANTARA SYURA DENGAN DEMOKRASI
SYURA DEMOKRASI

1. Sistem yang memberi kuasa kepada sekumpulan pemimpin Ahlul Halli Wa Al-‘Aqdi yang bertanggungjawab menentukan sesuatu keputusan atau peraturan negara.
1. Sistem yang memberi kuasa kepada rakyat jelata untuk membuat keputusan secara terbuka.

2. Konsep pemerintahan syura diamanahkan kepada manusia supaya berjihad demi mendaulatkan agama Allah s.w.t
2. Konsep pemerintahan demokrasi untuk mendaulatkan kuasa manusia atau rakyat.

3. Sistem pemerintahan ini adalah dari Allah untuk Allah dan demi kerana syariat Allah s.w.t

3. Sistem pemerintahannya mengikut dasar dari rakyat untuk rakyat dan demi kerana rakyat

4. Konsep syura dilaksanakan bagi menjauhi masyarakat daripada dosa dan menjamin kesejahteraan dunia dan akhirat.
4. Sistemnya menjalankan pemerintahan tanpa mengira dosa atau pahala serta tidak menjamin kesejahteraan akhirat.

5. Kekuasaan bukan terletak ditangan seseorang pemimpin tetapi adalah hak mutlak Allah s.w.t

5. Kekuasaan itu ada pada penguasa atau pemerintah yang berjaya dalam sesuatu pihanraya.

6. Pemilihan pemimpin mestilah mengikut syarat-syarat dan ciri-ciri yang ditentukan oleh syarak.
6. Pemilihan pemimpin adalah berasaskan kepada pengaruh atau popularitinya dalam masyarakat.
3.4 INSTITUSI HISBAH

3.4.1. PENGERTIAN DAN DALIL

Hisbah dari segi bahasa bererti pengawasan dan pertimbangan atau ‘check and balance’. Dari segi istilah pula ia bermaksud suatu institusi yang menjalankan usaha untuk negara bagi menjamin kesejahteraan, keadilan dan segala peraturan atau undang-undang dilaksanakan dengan adil dalam seluruh aktiviti kehidupan.

Hisbah merupakan suatu sistem yang ditegakkan atas dasar tanggungjawab seseorang muslim untuk melaksanakan yang maaruf dan membasmi kemungkaran.
Firman Allah s.w.t:



Maksudnya: ”Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan dan menyuruh berbuat segala perkara yang ma’ruf (baik) serta melarang daripada segala yang mungkar (buruk) ; merekalah orang-orang yang beruntung .”

Ali ‘Imran (3): 104

Berdasarkan kepada ayat di atas, hisbah merupakan suatu fardhu kifayah tetapi adakalanya menjadi fardhu ain apabila hisbah tertentu ke atas seseorang untuk melaksanakannya seperti orang yang dilantik oleh pihak yang berkuasa menjadi Muhtasib. Muhtasib bermaksud orang yang melaksanakan hisbah.


3.4.2 PRINSIP HISBAH

Dari segi prinsipnya, Institusi Hisbah ini bertanggungjawab untuk memastikan seseorang pemimpin atau kerajaan melaksanakan tugas dengan amanah dan adil dengan cara membuat laporan, memberi nasihat dan panduan sekiranya berlaku unsur-unsur khianat dan penindasan. Di samping itu, badan ini juga berfungsi sebagai pemberi cadangan untuk penambahbaikan sesuatu perkara yang sedang dilakasanakan atau akan dilaksanakan.


3.4.3 TUGAS DAN PERANAN INSTITUSI HISBAH

Antara tugas dan peranan institusi hisbah ialah:

i. Menyiasat segala dakwaan penyelewengan dan penyalahgunaan
kuasa para penjawat awam dalam semua kategori.
ii. Membuat laporan sekiranya dakwan itu benar.
iii. Memberi cadangan untuk mengatasi penyelewengan tersebut.
iv. Meneliti segala peraturan atau undang-undang supaya tiada unsur
khianat dan penindasan.
v. Memberi cadangan untuk memperbaiki segala kelemahan untuk
menjamin keselesaan rakyat dan keberkesanan pemerintahan.

Hisbah dapat dilaksanakan seperti berikut:

i. Menghukum yang zahir dan bukan mencari yang tersembunyi.Jika terdapat tanda-tanda maksiat, hendaklah bertindak setelah yakin
ii. Bertindak tanpa menunggu aduan kerana tugas mereka mewakili masyarakat umum.
iii. Jika terdapat pertelingkahan, hendaklah diserahkan kepada hakim untuk menyelesaikannya
iv. Jika kes yang tidak perlu kepada saksi, mereka boleh mentajuhkan hukuman, sebaliknya kes yang perlukan saksi hendaklah dirujuk kepada hakim.

....bersambung/

CUS 2151

Dalam Flight ke IKM KK -Gubal soalan

BAB 1

KONSEP PERADABAN DAN TAMADUN

1.1 Pengertian Tamadun

Perkataan tamadun dari segi bahasa memberi makna yang sama dengan istilah civilization dalam bahasa Inggeris. Ia berasal dari istilah bahasa Perancis yang merujuk kepada proses perundangan yang mengubah perbicaraan jenayah kepada perbicaraan sivil. Pada akhir abad ke 18, ia mula berkembang kepada makna yang lebih luas daripada proses perundangan. Istilah ini mula digunakan di England pada tahun 1772, kemudiannya digunakan untuk menerangkan perkembangan sesebuah masyarakat yang mencapai suatu tahap dalam sesuatu aspek kehidupan mereka1.

Dalam bahasa Arab pelbagai istilah digunakan yang membawa makna yang hampir sama. Antaranya berasal daripada perkataan ad-deen yang bermaksud agama atau gambaran kehidupan beragama. Wujud pula perkataan maddana yang merujuk kepada pembukaan bandar serta perlakuan sopan dan halus yang kemudian lahir pula perkataan madani yang bermaksud pembangunan bandar dan kehalusan budi pekerti. Perkataan lainnya ialah hadarah iaitu perbuatan duduk di bandar atau keadaan kehidupan yang berada pada tahap maju atau perilaku kehidupan yang tinggi. Dalam bahasa Melayu perkataan peradaban adalah sama dengan istilah tamadun.

Namun dari sudut mana sekali pun takrif tamadun ia tidak lari dari meliputi aspek-aspek pencapaian tatasusila dan moral yang tinggi, kemajuan kebendaan, kemajuan penempatan, kemajuan kebudayaan dan kemudahan yang sempurna. Pengertian ini juga boleh dilihat dari semua aspek pandangan iaitu pandangan barat dan pandangan Islam. Kedua-dua pandangan ini membawa pengertian yang berbeza.

Pandangan Sarjana Barat2

Antara sarjana barat yang memberikan takrif tamadun:

i) Jacqeuta Hawks menjelaskan tamadun merujuk kepada kualiti tinggi yang dimiliki oleh sesebuah masyarakat. Ekoran daripada pengertian inilah orang-orang Greek menganggap masyarakat yang tidak mempunyai bandar adalah masyarakat yang tidak bertamadun.

ii) Collingwood mendefinisikan tamadun sebagai satu proses bagi mencapai suatu tahap kehidupan sivil atau proses untuk menjadi sivil (sopan). Hasil daripada proses ini akan melahirkan ciri-ciri masyarakat Bandar iaitu masyarakat yang mempunyai kehalusan budipekerti.

iii) Gordon Cholde memberi penekanan kepada pencapaian material sebagai lambang ketamadunan sesebuah masyarakat.

iv) Edward L. Farmen mendefinisikan tamadun sebagai unit budaya besar yang mengandungi norma-norma, sosial, tradisi dan institusi yang dikongsi bersama dan diwarisi dari generasi ke generasi.

v) Dr. Albert Schwetzer seorang ahli falsafah Jerman mendefinisikan tamadun sebagai keseluruhan kemajuan yang dibuat oleh manusia dalam setiap tindakan dan pemikiran selagi kemajuan ini membawa kepada penyempurnaan kerohanian individu.

Pandangan Sarjana Islam3

Antara pandangan sarjana Islam pula ialah:

i) Ibn Khaldun memperkenalkan dua terminologi al-umran dan al-hadharah yang membawa maksud sekumpulan manusia yang tinggal kekal di sesuatu tempat atau kota atau wilayah dan tanah pertanian yang akhirnya merintis kemajuan, kemakmuran dan pencapaian yang bersumberkan agama.

ii) Abu Nasir al-Farabi telah memperkenalkan istilah al-madaniah dalam abad ke 11 Masihi iaitu pencapaian umat Islam di kota yang berasaskan wahyu iaitu aqidah, syarak dan akhlak.

iii) Prof Syed Naquib pula menjelaskan keadaan kehidupan insan dalam masyarakat yang telah mencapai taraf susila dan kebudayaan yang luhur bagi seluruh masyarakatnya.

iv) Jurji Zaidan memperkenalkan al-tamadun dalam abad ke 19 yang didefinisikan sebagai pencapaian umat Islam yang berpusat di kota dalam bidang kerohanian dan kebendaan yang berasaskan agama.

v) Ismail al-Faruqi mendefinisikan tamadun sebagai pencapaian kesempurnaan syarat-syarat sebagai sebuah organisasi sosial yang maju dan bersesuaian dengan sebuah bandar berbanding dengan penduduk desa.

vi) Saiyid Qutb pula mendefinisikan tamadun sebagai segala bentuk kemajuan yang dihasilkan oleh sekumpulan masyarakat seperti sistem sosial, pemerintahan, politik, ekonomi dan kebudayaan yang berteraskan syariat Allah serta bercirikan nilai-nilai moral Islam.

Kesimpulannya takrif-takrif yang diberikan oleh sarjana Islam adalah lebih tepat dan menyeluruh daripada sarjana barat. Ini adalah kerana sarjana barat kurang menekankan unsur keagamaan sebagai asas dan sumber pembinaan sesuatu tamadun. Manakala sarjana Islam meletakkan unsur ad-deen atau agama sebagai asas dan sumber utama yang membentuk tamadun, bukan manusia yang membentuknya.

1.2 Ciri-Ciri Tamadun

Sesebuah masyarakat dikatakan bertamadun dinilai berdasarkan beberapa ciri-ciri penting yang dimiliki oleh semua tamadun awal dunia. Ia merangkumi beberapa aspek berikut:[1]

1.2.1 Penempatan Kekal

Penempatan tetap atau kekal adalah ciri utama kepada pembentukan sesebuah tamadun. Dalam erti kata lain penduduk yang tidak lagi menjalankan aktiviti perpindahan atau mengembara dari satu tempat ke satu tempat (nomad) bagi meneruskan kehidupan.Apabila mereka mendapat tempat yang sesuai, mereka akan tinggal tetap di situ dan menjalankan aktiviti mereka. Kebiasaannya mereka akan mencari kawasan-kawasan yang boleh membekalkan hasil makanan. Pemilihan kawasan ini adalah langkah pertama mereka kearah pembentukan masyarakat yang bertamadun.

Kawasan yang strategik yang akan dibangunkan adalah kawasan lembah sungai yang subur bagi membolehkan mereka melakukan aktiviti pertanian dan penternakan. Ini dapat dibuktikan melalui beberapa contoh tamadun awal seperti Tamadun mesir di lembah Sungai Nil, Tamadun Sumeria di lembah Sungai Euphrates dan Tigris, Tamadun Shang di Lembah Sungai Kuning dan Tamadun Mahenjo Daro-Harappa di Lembah Sungai Indus. Hasil penempatan kekal ini membawa kepada perubahan masyarakat kepada hidup yang lebih bertamadun dan bersistematik.

1.2.2 Revolusi Pertanian

Masyarakat yang bertamadun tidak hanya menumpukan kepada bidang pertanian cara lama semata-mata seperti mana awal perpindahan mereka. Masyarakat semakin bijak menguruskan sumber alam semulajadi melalui kaedah-kaedah pertanian secara saintifik dan moden.Selain daripada aktiviti pertanian, mereka telah memperkembangkan lagi sumber ekonomi mereka melalui bidang pertukangan, perdagangan dan sebagainya.Hasil-hasil yang dikeluarkan bukan sahaja untuk kegunaan sendiri malah untuk keperluan masyarakat seluruhnya bahkan diperluaskan hingga ke peringkat antarabangsa.

Dengan adanya kepelbagaian ini juga memberi ruang kepada masyarakat bergiat aktif dalam bidang kepakaran masing-masing dan memberi ruang pekerjaan di kalangan anggota masyarakat. Dengan adanya revolusi pertanian ini akhirnya membawa kepada perkembangan kemajuan dan kemakmuran sesuatu tamadun.

1.2.3 Stratifikasi Sosial

Masyarakat bertamadun juga berasaskan kepada ciri dengan wujudnya sistem pengkelasan dalam masyarakat berdasarkan kelas dan status. Sistem pengkelasan dalam masyarakat awal mempunyai kaitan rapat dengan pemilikan kekayaan. Kekayaan yang paling penting pada masa masyarakat mula mencari penempatan kekal ialah tanah. Oleh sebab itulah pada peringkat permulaan kearah mencapai tamadun stratifikasi sosial berasaskan kepada pemilikan tanah pertanian. Golongan yang memiliki tanah pertanian mempunyai kedudukan yang tinggi dalam masyarakat. Manakala golongan yang tidak mempunyai tanah pertanian akan menjadi golongan pekerja. Dengan itu status seseorang atau sesebuah keluarga pada zaman awal kemunculan tamadun adalah ditentukan berdasarkan pemilikan tanah tersebut.

Kalau dilihat pada peringkat awal tamadun, kebanyakannya berasal dari masyarakat petani. Seterusnya wujud pemimpin atau ketua bagi mengepalai sesuatu aktiviti, seterusnya menjadi ketua penduduk disitu. Pada peringkat ini juga, wujudnya tiga kelas masyarakat itu iaitu pemerintah, rakyat dan golongan hamba. Contohnya dalam Tamadun China dibahagikan kepada empat bahagian iaitu golongan cerdik pandai, petani, buruh dan pedagang. Manakala dalam tamadun India pula dibahagikan mengikut sistem kasta. Dalam tamadun-tamadun lain pula ia dikelaskan kepada kumpulan pemerintah, ahli agama, cerdik pandai, rakyat biasa dan hamba. Tetapi dalam Tamadun Islam, ia tidak menitikberatkan perbezaan antara penganut Islam, semuanya adalah sama antara satu sama lain.

1.2.4 Kehidupan Beragama

Agama juga merupakan salah satu elemen penting dalam tamadun manusia. Pada peringkat awal, pokok, batu, matahari, sungai serta laut dipercayai mempunyai semangat dan harus dipuja kerana memberi rezeki kepada mereka. Kemudian kepercayaan ini ditukar dengan kepercayaan kepada tuhan-tuhan atau dewa. Maka muncullah pelbagai tuhan yang mempunyai watak tersendiri. Selepas itu timbul pula kepercayaan bahawa terdapatnya suatu kuasa agong yang lebih berkuasa telah membawa kepercayaan kepada dewa-dewa. Pada peringkat ini agama memainkan peranan sebagai pembentuk masyarakat bersatu dan mengajar mereka mengenai cara-cara mengorganisasikan masyarakat serta mendisiplinkan diri dari hawa nafsu. Upacara-upacara keagamaan dijalankan sebelum atau selepas sesuatu aktiviti dilaksanakan contohnya sebelum menanam atau selepas menuai padi. Mereka percaya bahawa dewa-dewa boleh memberikan kuasa-kuasa ajaib kepada mereka.

Kehidupan beragama juga merupakan ciri penting. Ini kerana pemikiran tentang wujudnya kuasa ghaib yang mengawal kehidupan manusia menunjukkan manusia sebenarnya sudah berfikir mengenai keperluan spritual (jiwa) meraka. Agama dan kepercayaan ini bukan sahaja memberi kesan kepada wujudnya manusia yang bersopan santun atau baik tetapi juga dimanifestasikan melalui pembinaan bangunan-bangunan keagamaan yang kemudiannya menjadi pusat kepada urbanisasi dalam tamadun tersebut.

Secara ringkasnya agama memberi satu cara bagaimana manusia itu diajar kepada kebaikan dan adanya panduan hidup apabila mengalami kesusahan. Contohnya masyarakat Arab sebelum Islam berada dalam kegelapan, jahiliyah, berpecah belah dan sering bermusuhan. Kehadiran Islam sebagai agama mereka selepas itu telah membantu mencipta Tamadun Arab lebih gemilang.

1.2.5 Urbanisasi

Apabila menyebut tentang tamadun, ia berkait rapat dengan urbanisasi atau perbandaran. Maka sebab itulah ciri yang jelas dapat dilihat dalam tamadun ialah kewujudan sesebuah bandar yang menjadi pusat kegiatan tamadun yang utama seperti bidang agama, pemerintahan, ekonomi dan sebagainya. Bandar juga adalah merupakan pusat pertemuan penduduk dan orang asing yang akhirnya dapat membantu kelancaran proses urbanisasi sesebuah bandar. Keadaan ini akan bertambah pesat sekiranya ia mempunyai pemimpin-pemimpin yang berkebolehan dan kepakaran untuk memajukan dan membangunkan bandar-bandar.

1.2.6 Pengkhususan Kerja

Kewujudan sesebuah tamadun tidak boleh lari daripada kemajuan teknologi. Ini kerana perkembangan dan kemakmuran sesebuah tamadun banyak ditentukan oleh teknologi. Pada peringkat awal manusia menggunakan batu sebagai alat penting. Maka zaman itu dikenali sebagai Zaman Batu. Kemajuan semakin meningkat dengan wujudnya Zaman Logam di mana manusia menggunakan alatan diperbuat dari logam. Dengan adanya pembaharuan seperti ini, anggota masyarakat dapat bergiat aktif dalam pelbagai bidang pengkhususan kerja dan aktiviti ekonomi seperti kerja-kerja pertukangan, senibina, peleburan logam dan lain-lain yang bersesuaian dengan kemahiran dan kepakaran yang dimiliki.

Di samping itu juga, aktiviti perdagangan dan perindustrian juga merangsangkan pelbagai perkembangan lain dalam sesebuah tamadun seperti bidang perkapalan, pembinaan, pelabuhan dagang dan lain-lain. Perkembangan perdagangan ini seterusnya membawa kepada penggunaan matawang dalam masyarakat.

Dalam bidang estatik pula, muncul golongan-golongan pengukir patung, pembuat barang perhiasaan, penenun kain, pembuat tembikar dan lain-lain. Pengkhususan kerja dalam kemahiran dan kepakaran tertentu ini secara tidak langsung dapat mengubah struktur sosial dalam masyarakat yang mana akhirnya dapat melahirkan sebuah masyarakat yang mencapai tahap kecekapan yang tinggi.

1.2.7 Sistem Tulisan

Dalam perkembangan tamadun, sistem tulisan juga merupakan salah satu ciri yang tidak dapat dipisahkan. Ini adalah kerana ia dapat membantu masyarakat dapat menyimpan rekod-rekod, menulis undang-undang, sastera, bidang intelektual dan sebagainya. Tulisan dalam tamadun awal mempunyai pelbagai bentuk yang dapat difahami oleh komuniti setempat, contohnya di Sumeria, Mesir dan China sistem tulisannya berbentuk piktograf yang mana gambar-gambar dilukis bagi mewakili sesuatu makna. Kewujudan sistem tulisan ini dapat menjadi panduan kepada masyarakat dalam sesebuah tamadun kerana melalui sistem tulisan, komunikasi dan perhubungan dalam masyarakat menjadi lebih luas dan efektif.

Ilmu Astronomi contohnya merupakan ilmu yang berkembang seiring dengan sistem tulisan dan angka kerana ia akan membantu ahli-ahli astronomi membuat pengiraan masa-masa tertentu berdasarkan pergerakan bintang. Pengiraan ini penting bagi menentukan tarikh-tarikh penting dalam sesebuah masyarakat. Penciptaan tulisan dan angka juga secara tidak langsung telah memperkembangkan lagi bidang penulisan dan ilmu pengetahuan dalam masyarakat.

1.2.8 Kesenian

Kesenian juga melambangkan kegemilangan dan keunggulan sesebuah tamadun. Ia meliputi kesemua jenis seni seperti senibina, senilukis, seni sastera dan seni ukir. Setiap tamadun mempunyai keistimewaan tersendiri dalan bidang kesenian. Contohnya binaan-binaan seperti Taj Mahal, Piramid, Tembok Besar China dan Taman Tergantung Babylon menunjukkan betapa tingginya pencapaian yang diperolehi oleh tamadun awal. Begitu juga penciptaan hasil-hasil lukisan, sastera dan ukiran. Contohnya di Zaman Abbasiyyah, Baghdad bukan sahaja menjadi pusat ilmu pengetahuan tetapi juga telah menghasilkan karya-karya popular sehingga kini seperti Hikayat Seribu satu Malam.

1.2.9 Organisasi Politik dan Pemerintahan

Sesebuah tamadun mestilah mempunyai satu sistem pemerintahan yang tersusun dan teratur. Ini adalah kerana banyak perubahan dan perkembangan telah tumbuh dengan pesatnya. Dalam kebanyakan tamadun klasik dunia, raja merupakan tiang utama kuasa pemerintahan.Contohnya dalam Tamadun Greece mempunyai pemerintahan yang dinamik dengan berlakunya sistem pemerintahan dari sistem beraja kepada demokrasi umum.

Kewujudan suatu sistem politik dan pentadbiran yang kompleks menjadi simbol atau lambang kepada ketamadunan sesebuah masyarakat. Dalam masyarakat yang belum mencapai tamadun tinggi, sistem keketuaan merupakan sistem politik dan corak pentadbiran yang paling tinggi. Apabila tamadun telah mencapai tahap yang tinggi segala-galanya telah berubah di mana tonggak kuasa dan pemerintahan bukan lagi pada seorang ketua tetapi seorang pemerintah yang mempunyai kedudukan yang lebih tinggi, contohnya raja atau sultan dalam Tamadun Melayu.

Organisasi politik dan pemerintahan juga mengandungi pelbagai bentuk pentadbiran seperti kehakiman, perkhidmatan awam, suruhanjaya dan badan-badan keselamatan seperti polis dan tentera. Badan-badan ini amat penting dalam melicinkan pentadbiran sesebuah negara. Ia juga menunjukkan kesempurnaan dalam sistem pemerintahan negara bagi menjamin kemakmuran dikecapi oleh rakyat secara berterusan dan menjadikan masyarakat lebih tersusun dengan terdapatnya puncak kuasa yang menyatukan rakyat.

Kesimpulannya kesemua ciri-ciri yang disebutkan ini seperti penempatan kekal, revolusi pertanian, stratifikasi sosial, kehidupan beragama, urbanisasi, pengkhususan kerja dan inovasi teknologi, sistem tulisan, kesenian dan organisasi politik dan pemerintahan adalah merupakan faktor-faktor penting yang membawa kepada peningkatan kualiti kehidupan yang lebih sempurna berbanding sebelumnya. Ia juga membawa kepada perubahan yang lebih baik dalam sesebuah tamadun.

1.3 Sumber Tamadun Islam

Ada dua sumber yang memberi kekuatan kepada pencapaian tamadun Islam. Pertama sumber wahyu dan kedua sumber sokongan.

1.3.1 Sumber Wahyu5

Wahyu secara langsung, iaitu al-Quran, kitab-kitab dan suhuf-suhuf para nabi (tamadun yang berteraskan akidah Tauhid pada zaman awal). Manakala wahyu secara tidak langsung ialah al-Sunnah. Wahyu ini bertindak sebagai sumber tamadun dalam dua dimensi. Pertama, al-Quran dan al-Sunnah sebagai penggerak budaya ilmu. Kedua, al-Quran dan al-Sunnah memberi sumber langsung ilmu.

Pertama: Al-Quran dan al-Sunnah sebagai penggerak budaya ilmu boleh diterangkan secara berikut:

a) Melalui sumpahan tentang kepentingan ilmu. Dapat dilihat dalam surah

berikut:

- Al-`Alaq (96:1) yang bermaksud :

‘’Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan”

- Al-Qalam (68:1) yang bermaksud :

“Nun.Demi qalam dan apa yang mereka tulis”

- Al-Thur (52:1,2,3) yang bermaksud:

“Demi bukit Thur. Dan kitab yang ditulis. Pada lembaran yang terbuka”.

b) Pernyataan kelebihan ilmu dan ilmuan.Dapat dilihat dalam surah berikut:

- Al-Zumar (39:9) yang bermaksud:

“Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui”.

Al-Sunnah juga membayangkan bahawa ilmuan adalah pewaris Nabi.

c) Anjuran berusaha mencari ilmu. Al-Quran mewajibkan orang yang tidak mengetahui ,mempelajari ilmu adalah seperti firman Allah dalam surah berikut:

-Al-Nah l(16:43) yang bermaksud :

“Maka hendaklah kamu bertanya kepada mereka yang pakar,kiranya mereka tidak mengetahui.”

-Rasulullah s.a.w. pula menambahkan lagi motivasi mencari ilmu dengan sabdanya yang bermaksud :

“Sesiapa yang keluar untuk mencari ilmu maka ia berjuang fi sabilillah sehinggalah ia kembali”

-Quran menyarankan agar manusia…surah Taha (20:114)

“Berdoalah dengan berkata, wahai Tuhanku, tambahlah ilmuku”

-Ransangan agar menggunakan akal merenung fikir. Contoh surah Al-Nah l(16:17) yang bermaksud:

“Apakah yang mencipta sama dengan yang tidak mencipta? Mengapa kamu tidak mengerti?”

Kedua: Al-Quran dan as -Sunnah sebagai sumber langsung ilmu.

Peranan ini dapat dilihat dalam dua bahagian iaitu:

1. Ilmu asasi atau fardhu ain seperti hubungan dengan akidah, alam ghaib, syariah dan akhlak.

2. Ilmu-ilmu pelengkap atau fardhu kifayah seperti ilmu perubatan, kejuruteraan, matematik, astronomi, biologi, botani, politik pemerintahan dan lain-lain.

Ketiga: Al-Quran dan kisah kaum `Ad serta kerajaan Iram.

Kaum `Ad adalah salah satu suku kaum Arab yang tertua. Mereka mempunyai pemerintahan yang besar merangkumi dari pantai barat Yaman dan Hadramaut hingga ke Iraq. Kehebatan mereka dirakamkan oleh al-Quran sebagaimana firman Allah s.w.t yang bermaksud6 :

“Apakah kamu tidak memperhatikan bagaimana tuhanmu berbuat terhadap kaum `Ad ? Iaitu penduduk Iram yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi yang belum pernah dibangun suatu kota seperti itu di negeri-negeri lain.”

(Surah al-Fajr : 6-8)

Menurut Ibn Khaldun bahawa Shaddad bin Aad bin Ush Ibn Iram telah berusaha membina kota idaman seperti syurga yang digambarkan kepadanya dengan mengambil masa selama 300 tahun. Kota tersebut dibangunkan di Padang Pasir Aden, diperbuat daripada emas dan perak dan tiang-tiang daripada batu zamrud. Di bawah kota tersebut dibina sungai-sungai yang mengalir. Namun sebaik sahaja kota tersebut siap dibina, Allah s.w.t. telah menurunkan bala secara tiba-tiba.

Walau bagaimana pun kaum `Ad ingkar terhadap ajaran yang disampaikan oleh Nabi Hud a.s. dan mereka tetap syirik kepada Allah s.w.t, lalu Allah s.w. tmemusnahkan mereka dengan angin yang sangat dingin selama 7 malam 8 hari secara berterusan.

Keempat: Al-Quran dan kisah kaum Thamud

Kaum Thamud adalah kaum yang termaju pada zaman mereka. Al-Quran menggambarkan kehebatan tamadun mereka sebagaimana firman Allah s.w.t yang bermaksud9 :

“Dan kaum Thamud yang memotong batu-batu besar di lembah.”

(surah al-Fajr : 9)

Walau bagaimana pun kaum Thamud ingkar ajaran Nabi Salleh a.s. dan Allah s.w.t, musnahkan mereka dengan gempa bumi yang amat dahsyat diserta dengan letupan gunung berapi yang memuntahkan lahar batu ke atas penduduk Thamud.

Kelima: Al-Quran dan kisah kaum Saba`

Firman Allah s.w.t. dalam surah Saba` ayat 15 yang bermaksud :

“Sesungguhnya bagi penduduk Saba` di negeri mereka ada suatu ayat (tanda kekuasaan Allah), iaitu dua bidang kebun, di sebelah kanan dan di sebelah kiri (dikatakan kepada mereka) : Makanlah rezeki Tuhanmu dan berterima kasihlah kepadaNya. (Inilah) negeri yang baik dan Tuhan Yang Pengampun.”

Dalam ayat di atas terdapat kemajuan yang dicapai oleh kaum Saba`. Sebagaimana yang tercatat Saba` itu ialah suatu kaum, negerinya Yaman sekarang (Arab) dizaman Ratu Balqis dan Nabi Sulaiman a.s.mencapai saat kegemilangannya. Negeri itu sangat subur tanahnya, kerana mereka mengadakan bendungan air yang dapat dialirkan ke kebun-kebun dan sawah-sawah sepanjang tahun. Bendungan air ini dinamakan sad Maarib. Oleh sebab itu penduduk negeri itu menjadi kaya raya, mempunyai kebun-kebun kiri dan kanan.Tetapi mereka tidak berterima kasih kepada Allah s.w.t., lalu terjadilah perselisihan sesamanya, sehingga bendungan air itu tidak diperbaiki lagi, akhirnya roboh. Selain daripada itu Allah s.w.t. telah mengalirkan air bah yang besar sehingga musnah kebun-kebun dan rumah. Kemudian tidak ada lagi kebun-kebun mereka, selain dari pohon-pohon kayu yang tidak berbuah atau ada buah tetapi pahit rasanya, sedangkan yang berbuah elok hanya sedikit sahaja.

Tegasnya Al-Quran menjelaskan semua perkara daripada sekecil-kecil hingga sebesar-besar perkara secara prinsip-prinsip umumnya. Allah s.w.t. berfirman dalam surah al-An’am (6:38) yang bermaksud:

“Tidak kami alpakan di dalam kitab al-Quran suatu apa pun (kecuali dicatatkan)”.

1.3.2 Sumber Sokongan

1.3.2.1 Sumber Sokongan Daripada Tamadun Silam

Sumber sokongan bermaksud sumber luar dari Islam itu sendiri, iaitu sumber atau ilmu dari tamadun lain seperti Yunani, China, India dan lain-lain.

i. Sumbangan Tamadun China

Terdapat banyak sumbangan Tamadun China dalam mengangkat sebuah ketamadunan Islam yang unggul seperti :

a) Mengamalkan sistem pemerintahan monarki dan pemerintahan mutlak.

b) Menggunakan gelaran maharaja (Dinasti Chin).

c) Memperkenalkan peperiksaan awam China.

d) Sumbangan dalam bidang seni bina (Tembok Besar China)

e) Sumbangan dalam bidang falsafah (Legalisme).

f) Memperkenalkan ajaran Confucianisme dan Taoisme.

ii. Sumbangan Tamadun Mesir Purba ( Tahun 700 s. m.)

a) Pembinaan piramid di Mesir bermula daripada ilham Imhotep seorang saintis, arkitek dan ahli fizik. Binaan pertama ialah Piramid Sakkara yang tertua dan binaan batu yang pertama di dunia. Piramid ini dibina untuk Firaun Djoser iaitu Firaun ke 2 pada dinasti ketiga.

b) Kemajuan penggunaan kertas oleh orang-orang Mesir, di mana kertas dicipta daripada pokok Papyrus.

c) Kemajuan tulisan Hieroglif diperkenalkan iaitu tulisan awal Mesir dan merupakan tulisan bergambar serta diukir pada batu dan kayu. Kemudian muncul pula tulisan Hieratik iaitu tulisan berangkai dan tulisan Demotik.

d) Kemajuan pendidikan ilmu geometri, matematik dan sains untuk melahirkan golongan terlatih.

e) Ilmu perubatan berkembang sehingga terhasilnya proses memumiakan mayat. Mereka percaya ilmu memumiakan mayat dengan kehidupan selepas mati dan mayat mestilah dijaga dengan baik.

f) Ilmu sistem pengairan yang berjaya dicipta menukarkan kawasan padang pasir menjadi kawasan tanah pertanian. Firaun Senuusret III telah membina sebuah tembok pengairan sepanjang 123km bagi menebusguna kawasan padang pasir dan membina terusan untuk mengairkan tanah seluas 10,000 hektar.

g) Memperkenalkan sistem kalendar 365 hari berdasarkan 12 bulan setahun.

iii. Sumbangan Tamadun Babylon

Babylon terletak di bahagian selatan Bandar Baghdad Iraq meliputi kawasan sungai Tigris dan Sungai Eupharates yang hamper bercantum. Di sana wujudnya Taman Tergantung Babylon iaiatu salah satu tujuh benda ajaib di dunia. Taman ini dibina pada zaman pemerintahan Nebuchadnezzar II untuk isterinya. Senibina taman ini dibina bertingkat-tingkat, berbentuk teres dan dipenuhi pokok buah-buahan, pokok bunga, air terjun dan binatang.

1.3.2.2 Sumber Sokongan Dari Akal

Akal / fikiran merupakan sumber pembinaan tamadun Islam selepas wahyu10. Akal mempunyai fungsi yang besar iaitu kebolehan mengamati sesuatu yang bermakna, kefahaman, menerangkan dan menggambarkan sebab dan akibat sesuatu serta membuat keputusan atau pertimbangan, mereka cipta, berkreativiti dan berinovasi.

Contohnya manusia genius di kalangan umat Islam seperti Ibnu Khaldun yang merupakan tonggak pembinaan dan pencapaian tamadun manusia dan ramai lagi. Mereka yang telah berkembang inteleknya ialah mereka mampu mencipta seribu satu alat teknologi canggih, mikro dan tinggi di sepanjang sejarah tamadun Islam. Itulah puncak tamadun atau kemajuan. Namun jika akal ini tidak dibimbing oleh wahyu ia boleh merosakkan dan memusnahkan tamadun manusia apabaila akal digunakan untuk mencipta alat teknologi yang boleh merosakkan keselamatan agama, akal, maruah, keturunan, tubuhbadan dan harta benda.

Bagaimanapun, wahyulah sumber sebenar ilmu dalam tamadun Islam, manakala sumber sokongan adalah proses untuk menyebarluaskan ilmu sahaja.

BAB 2

KEUNIKAN DAN KEISTIMEWAAN TAMADUN ISLAM

Antara ciri-ciri keunikan dan keistimewaan tamadun Islam ialah:11

2.1 Agama Melahirkan Tamadun

Kehidupan masyarakat awal manusia berada dalam keadaan sesat dan bercelaru. Ini adalah kerana tiadanya panduan hidup yang boleh memimpin mereka ke arah yang bertamadun. Mereka melakukan sesuatu perkara mengikut undang-undang yang mereka sendiri cipta.

Kedatangan agama baru iaitu Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. membawa berbagai-bagai perubahan kepada semua manusia di dunia. Kelahiran agama Islam menunjukkan betapa uniknya tamadun Islam. Keunikan tamadun ini dapat dilihat dari segi kelahirannya. Tamadun Islam lahir daripada asas agama yang suci. Kelahiran Islam di semenanjung tanah Arab telah mencetuskan sebuah tamadun yang unggul. Dan jika diteliti tamadun selain Islam, jelas menampakkan kepada kita bahawa lahirnya sesebuah tamadun akan membawa kepada kemunculan sesuatu fahaman atau agama. Tidak ada satu tamadun pun yang boleh dijadikan contoh bagi sesuatu kelahiran yang berteraskan agama, sebagaimana yang dimiliki oleh tamadun Islam.

2.2 Peradaban

Agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w telah berjaya membentuk sebuah peradaban yang tinggi. Dengan ajaran yang datang daripada Allah s.w.t, Islam mampu melahirkan pengikut yang berperadaban tinggi dan berakhlak mulia. Daripada peradaban tersebut terbinalah sebuah tamadun. Ini bermakna tamadun Islam berkembang maju dengan asas peradaban yang telah terbentuk, yang mana ia berbeza dengan tamadun lain yang membina peradabannya daripada hasil perkembangan dan kemajuan tamadun tersebut. Antara aspek yang terkandung dalam peradaban Islam adalah seperti berikut :

a. Pemerintahan dan pentadbiran

- Konsep pemerintahan

- Prinsip-prinsip pemerintahan dan pentadbiran

b. Ekonomi

- Prinsip-prinsip ekonomi

- Matlamat

- Ciri-ciri ekonomi

- Sistem organisasi yang berlandaskan ekonomi Islam

c. Pendidikan

- Prinsip-prinsip pendidikan

- Kaedah pendidikan Islam

d. Ketenteraan

- Organisasi ketenteraan

- Konsep ketenteraan dalam Islam

e. Intelektual (Asas pengetahuan) dan sumber-sumber ilmu dalam islam seperti:

- Al-Quran

- Al-Sunnah

- Sejarah

- Sosial

2.3 Perkembangan

Wahyu pertama yang mencetuskan permulaan sesebuah tamadun berlaku di Mekah, iaitu sebuah kota yang terletak jauh dari persisiran pantai atau muara sungai. Lokasi ini berbeza sekali dengan kebanyakan tamadun yang lain yang pada kebiasaannya lahir di persisiran pantai atau muara sungai. Islam bermula di Mekah, kemudian dibangunkan di Madinah dan di sinilah kebanyakan perubahan dilakukan. Disinilah bermulanya pembinaan sebuah tamadun dengan asas dan panduan yang digariskan oleh agama. Perkembangan tamadun ini tidak hanya berlaku di Mekah dan Madinah, malah tamadun Islam berkembang di segenap pelusuk dunia seperti di Damsyik, Kaherah, Baghdad, Cordova dan Delhi. Fenomena ini berbeza sama sekali dengan sebarang tamadun lain yang mencapai tahap kegemilangannya di tempat ia diasaskan.

2.4 Konsep Ummah

Perkembangan tamadun Islam adalah berasaskan konsep ummah. Ia berbeza dengan tamadun lain yang berasaskan kepada sesuatu bangsa seperti tamadun Cina yang berlandaskan bangsa Cina, tamadun Parsi yang berlandaskan bangsa Parsi dan begitulah juga dengan tamadun-tamadun yang lain. Perkara ini tidak berlaku kepada tamadun Islam yang berpegang kepada konsep ummah. Setiap orang Islam dikira sebagai satu ummah tanpa mengira bangsa, warna kulit mahupun sempadan geografi.

Firman Allah yang berbunyi:

Maksudnya:

“Wahai manusia sesungguhnya kami telah menjadikan kamu lelaki dan perempuan dan kami telah menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan kabilah atau puak untuk kamu berkenal-kenalan antara satu sama lain.”

Al-Hujurat (49):13

Gabungan daripada pelbagai latar belakang budaya mengikut bangsa menghasilkan sebuah tamadun yang kaya dengan pelbagai unsur yang tidak terdapat pada tamadun lain. Jika dilihat sepintas lalu, kita akan mendapati unsur Parsi, India, Greek dan sebagainya diadun menjadi sebuah tamadun yang unggul.

2.5 Asas Pengetahuan

Kelahiran tamadun berlandaskan ilmu pengetahuan yang ditiup daripada konsep iqra’ yang bererti bacalah. Ia merupakan wahyu pertama yang disampaikan kepada Nabi Muhammad s.a.w. Penekanan kepada ilmu pengetahuan yang bermula daripada peringkat awal lagi telah membangkitkan kesedaran tentang betapa pentingnya pembinaan sesebuah tamadun berteraskan pengetahuan. Titik tolak perkembangan dan kegemilangan tamadun Islam adalah daripada ilmu pengetahuan. Ini bermakna tamadun Islam yang lahir daripada ilmu pengetahuan berbeza dengan tamadun lain yang melahirkan pengetahuan daripada perkembangan ketamadunannya.

Kesimpulan

Agama Islam merupakan agama yang paling istimewa dan unik jika dibandingkan dengan agama-agama lain di dunia. Agama Islamlah satu satunya agama yang boleh merubah suasana masyarakat yang penuh kejahilan (jahiliyah) kepada masyarakat yang lebih bertamadun dan maju hingga ke hari ini. Agama Islam juga dapat mempertingkatkan proses pemerintahan, pentadbiran, ekonomi, pendidikan, ketenteraan dan ilmu pengetahuan ke tahap yang lebih tinggi. Keunikannya terserlah dengan kehadiran jutaan manusia ke Mekah, satu-satunya negara yang pertama tempat bermulanya agama Islam. Disulami pula dengan sifat Islam itu sendiri yang tidak mementingkan kasta atau darjat, semua manusia sama sahaja di sisi Allah s.w.t. Keistimewaannya juga Islam lebih mengutamakan ilmu pengetahuan di mana ayat al-Quran yang pertama diturunkan berkaitan dengan ilmu iaitu menyuruh umatnya rajin membaca melalui konsep iqra`.

BAB 3

FAKTOR KEJAYAAN DAN KEMEROSOTAN TAMADUN ISLAM

Kejayaan sesuatu tamadun itu adalah berdasarkan kepada kelahiran dan perkembangan tamadun. Ada ciri-ciri yang berkait rapat dengan faktor kelahiran dan perkembangan sesuatu tamadun itu. Antara faktor yang membawa kepada kejayaan sesuatu tamadun itu adalah berdasarkan kepada aspek politik, ekonomi serta aspek sosial.

3.1 Faktor – Faktor Kejayaan Tamadun Islam12

3.1.1 Ekonomi

Al Quran dan Hadis banyak menyarankan tentang pentingnya ilmu pengetahuan serta menggalakkan agar berusaha gigih para pemimpin, menguasai ilmu juga membawa kesan positif dalam peningkatan ekonomi.

Dengan itu nyatalah bahawa ekonomi dalam Islam adalah selari dengan agama itu sendiri, di mana ekonomi menitik beratkan soal kebendaan dalam kehidupan. Walau bagaimanapun segala kepakaran itu hendaklah digunakan untuk mencari keredhaan Allah s.w.t.

Dengan ini jelas bahawa Islam membangun ekonomi berdasarkan beberapa prinsip:

· Menjamin kepentingan umum

· Islam mengharuskan pemimpin mengambil milik

· Islam mengharuskan pemimpin mengambil tindakan inisiatif melahirkan perimbangan ekonomi

· Menyempitkan bidang hak berkekalan pada milik perseorangan

· Menyempitkan daerah kebebasan mengurus milik perseorangan

3.1.2 Politik

Politik yang kukuh adalah faktor utama dalam menentukan kejayaan tamadun. Politik yang kukuh dan kepimpinan yang berwibawa serta bijaksana akan menjadikan tamadun sesuatu kaum itu berjaya sehingga dijadikan sebagai pegangan untuk masa hadapan.

Kecemerlangan pemerintahan Khalifah Abu Bakar walau pun ia agak singkat iaitu dua tahun enam bulan sahaja. Beliau banyak menerima cabaran dari umat Islam sendiri. Antara cabaran yang besar dihadapi ialah golongan yang ingkar mengeluarkan zakat. Perkara ini adalah merupakan masaalah prinsip ketamadunan dari segi akidah. Kejayaan beliau mengatasi perkara tersebut menjadikan politik semakin stabil. Begitu juga dengan kejayaan beliau dalam memerangi golongan orang-orang yang murtad di bawah kepimpinan Musailamah al-Kazzab yang mengaku sebagai nabi palsu dan ia mati dibunuh di Yammah.

Suasana politik agak berkocak semula apabila Khalifah Abu Bakar gering, akan tetapi kebijaksanaan khalifah dalam mengatasi masalah tentang penggantinya dengan mencadangkan Saidina Umar r.a. mengambil alih tampok pimpinan tersebut. Pada zaman Saidina Umar pula banyak berlaku perubahan yang berkaitan dengan ketamadunan ummah, antaranya ialah:

  • Meneruskan perancangan Saidina Abu Bakar
  • Menyusun pentadbiran Negara
  • Teliti dalam semua urusan
  • Urusan kehakiman
  • Membentuk Diwan/Jabatan-jabatan
  • Mengemaskini Diwan al Jund (Jabatan Ketenteraan)
  • Diwan Kharaj (Jabatan Percukaian)
  • Diwan al Barid (Jabatan Pos)
  • Penubuhan Baitulmal

Faktor sosio politik dalam kecemerlangan tamadun Islam tidak terlepas dari tiga asas panduan pokok iaitu akidah, syariah dan akhlak. Ketiga-tiga asas tersebut adalah sebagai dasar terhadap sistem pemerintahan dalam Islam. Di mana wujudnya interaksi diantara pemimpin dengan rakyat secara bersepadu mengutamakan ajaran berpandukan kepada al-Quran dan al-Hadis, ketua negara dilantik secara bai’ah dan dipersetujui oleh rakyat serta hak dan tanggungjawab sebagai warganegara Islam dititik beratkan.

Dalam kecemerlangan tamadun Islam faktor kestabilan politik amat penting bagi ummah dalam sebuah negara. Ketua negara mempunyai kuasa tertinggi dalam membuat seuatu keputusan. Keputusan tersebut wajib berdasarkan kepada hukum syarak supaya berlaku keadilan yang saksama di kalangan rakyat. Sifat amanah dan sikap sederhana perlu ada pada pemimpin, tidak bangga dengan kepimpinan kerana tanggungjawab yang berat itu akan dipersoalkan di akhirat kelak.

Sehubungan dengan itu rakyat mempunyai kebebasan dalam kehidupan. Kebebasan ini tidak bermakna kebebasan tanpa batasan. Antara kebebasan yang dibenarkan oleh Islam ialah:

· Kebebasan beragama

· Kebebasan mengemukakan pendapat

· Kebebasan mencari nafkah

· Kebebasan tempat tinggal

3.1.3 Sosial

Aspek sosial juga adalah penting dalam mempengaruhi perkembangan tamadun. Antara aspek yang banyak mempengaruhi kecemerlangan tamadun ialah aspek agama. Agama memainkan peranan penting dalam pembentukan tamadun. Di Tanah Arab, agama masyarakat Arab jahiliyah adalah agama yang diwarisi oleh nenek moyang mereka iaitu agama menyembah berhala, namun keadaan telah berubah setelah kedatangan Islam ke Tanah Arab. Beberapa perkara dan nilai penting telah dibina oleh Rasulullah s.a.w. dalam usaha membina tamadun, antara nilai tersebut ialah akidah dan nilai-nilai Islam.

Ketamadunan Islam semakin terserlah apabila munculnya beberapa kerajaan Islam yang kukuh setelah wafat Rasulullah s.a.w. Sebagai contoh zaman khalifah al-Ma’mun di Baghdad, Khalifah al-Hakam di Sepanyol dan Sultan Sulaiman al-Qanuni di Istanbul. Kerajaan-kerajaan ini mempunyai ciri-ciri ketamadunan yang tinggi termasuklah sistem kepercayaan, pentadbiran, politik, ekonomi dan sosial.

Manakala dalam tamadun Melayu pula, Melaka adalah adalah sebagai pusat ketamadunan Melayu-Islam di Asia, ia bermula pesat pada adab ke 15 terutama di rantau Alam Melayu. Perkembangan ini telah dibawa oleh pedagang Tanah Arab, India, Cina dan sebagainya. Banyak dari kalangan masyarakat pada masa itu telah memeluk Islam.Ini menjadikan Melaka semakin kukuh dan menyerlah. Islam telah berkembang dan banyak masjid didirikan untuk menyebarkan segala ilmu pengetahuan kepada masyarakat.

3.2 Faktor-Faktor Kemerosotan Tamadun Islam

Beberapa aspek yang berada di dalam diri masyarakat Islam itu sendiri menjadi penyebab kemunduran tamadun, antaranya ialah ketidakadilan dan unsur-unsur negatif. Ibnu Khaldun mendefinisikan ketidakadilan sebagai penyalahgunaan kuasa, mengambil hak orang lain, kerja bukan sukarela tetapi dengan paksa. Inilah penyebab kepada kemunduran tamadun dan seterusnya akan membinasakan umat manusia.

3.2.1 Ekonomi

Ekonomi boleh membantu dalam menjanakan sesuatu tamadun.Ekonomi juga boleh meruntuhkan ketamadunan manusia. Pengurusan ekonomi oleh kepimpinan yang boros, tidak bijak serta ketidakadilan dalam pengagihan ekonomi kepada rakyat, akhirnya rakyat akan memberontak untuk mencari sedikit habuan untuk hidup walau dalam apa cara sekalipun samada negara itu maju atau mundur. Ekonomi yang tidak stabil akan menjadikan ketamadunan juga akan hilang sedikit demi sedikit dan akhirnya akan membawa kepada kejatuhan. Untuk membina tamadun yang sudah runtuh adalah sukar tanpa ekonomi yang kukuh serta politik yang stabil.

3.2.2 Politik

Faktor kemerosotan tamdun adalah bermula dari suasana tidak ada kestabilan politik. Pergolakan politik adalah disebabkan kepimpinan serta suasana rakyatnya. Perpecahan perpaduan akan menyebabkan wujud beberapa konflik dalaman.

Di samping pergolakan yang berlaku, faktor penyebabnya juga adalah daripada pemimpin yang tidak berakhlak yang menyebabkan rakyatnya juga tidak berakhlak. Nilai-nilai tidak sihat ini akan menyebabkan keadaan politik menjadi tidak stabil kerana tiada pemimpin yang berwibawa, akibat daripada perpecahan dan kepimpinan yang buruk, maka akhirnya kerajaan tersebut akan merosot, lemah dan akhirnya mudah runtuh apabila diserang oleh musuh.

3.2.3 Sosial

Faktor sosial adalah perkara utama dalam perubahan, samada kearah kejayaan atau kearah kemunduran tamadun. Ketamadunan Islam mula menampakkan kemerosotannya. Ini bermula daripada perselisihan, pemimpin yang tidak ikhlas dalam melaksanakan perubahan.

Kemerosotan tamadun jelas dapat dilihat pada zaman hayatnya Firaun, Qarun dan sebagainya. Faktor sosial dan sikap (akidah) menjadikan ia manusia yang dimurkai oleh Allah. Kesemua mereka tidak mengakhiri hayatnya dengan taubat, akan tetapi akhirnya mati dalam kesesatan.

Kesimpulannya kejayaan dan kemerosotan tamadun adalah di sebabkan kepimpinan pada zaman tesebut. Kepimpinan dan ekonomi yang tidak terurus serta tidak mempunyai kecekapan akan menjadi kejayaan tamadun yang dibina akhirnya akan beransur merosot seterusnya menjadikan ia akan hilang. Hanya ketamadunan tersebut ada pada nama sahaja pada masa akan datang.

3.3 Kelemahan Tamadun Barat13

Tamadun barat telah melahirkan pengaruh-pengaruh negatif disamping kesan positifnya yang sekarang ini di alami oleh manusia. Di antara kesan negatifnya ialah keruntuhan akhlak, kemusnahan keluarga, kekacauan jiwa, kecelaruan akal serta jenayah dan ketakutan.

3.3.1 Keruntuhan Akhlak

Kesan yang paling menonjol hari ini ialah terungkainya ikatan akhlak yang dibawa oleh setiap agama samawi. Barat tidak mungkin membuahkan hasil akhlak kemanusiaan yang dapat memperkukuhkan sendi binaan masyarakat. Buah yang dihasilkan adalah sama dengan jenis pokoknya. Ini dapat dilihat dalam firman Allah s.w.t.:

**********************************

Maksudnya :

“Negeri yang baik, keluar tumbuh-tumbuhannya dengan izin Tuhannya. Negeri yang buruk tiada keluar tumbuh-tumbuhannya, melainkan dengan bersusah payah. Demikianlah Kami terangkan ayat-ayat itu bagi kaum yang berterima kasih”.

(Al A’raf:58)

Satu laporan dari pertubuhan perubatan Britain yang dianggotai oleh wakil gereja, penyelidik sosial, ahli psikologi dan para professor universiti menyebut bahawa rasa takut yang bakal menimpa umat manusia adalah salah satu alasan yang menyebabkan para remaja mengambil prinsip hidup untuk bersenang-senang merasai kenikmatan yang tidak menghormati agama dan ilmu, mengenepikan ikatan keluarga dan tanggungjawab sosial. Para remaja sibuk mengumpul segala macam keseronokan hidup sebelum terlambat. Hubungan seks sebelum kahwin adalah satu perkara biasa.

Pihak pertubuhan menganggap tempat-tempat minum, kelab-kelab malam adalah antara faktor yang membawa kekacauan seks bebas di kalangan remaja. Apa yang lebih teruk lagi dalam perkara ini ada berlaku perkahwinan lelaki dengan lelaki dan wanita dengan wanita.

Dalam satu Seminar Antarabangsa Tentang Penduduk Dan Pembangunan yang diadakan di Kaherah pada 3 September 1994 di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu tersemat agenda telah menimbulkan kemarahan dunia Islam seluruhnya. Pope Vatikan juga mengecam seminar ini yang agendanya membenarkan pencerobohan hak untuk hidup dan memperakui seks bebas dan penguguran anak atas alasan ledakan penduduk.

Roger Garaudy, seorang pemikir Islam Perancis menyatakan bahawa istilah ‘bom demografi’ atau ledakan penduduk hanyalah tipu helah semata-mata untuk mengukuhkan eksploitasi. Ancaman terhadap bumi sebenarnya bukanlah meningkatnya angka kelahiran bayi di dunia ketiga. Ancaman sebenar adalah eksploitasi negara-negara maju semenjak lima abad dan mereka cuba memaksa dunia melalui penjajahan dan berakhir dengan Tabung Kewangan Dunia (IMF).

Dokumen pengisytiharan seminar tersebut akan menghancurkan semua bentuk institusi keluarga yang menjadikan masyarakat tidak lebih dari individu -individu yang tidak mempunyai sebarang ikatan akhlak

3.3.2 Kemusnahan Keluarga

Masalah-masalah dalam tamadun tidak terhad kepada keruntuhan akhlak sahaja, bahkan ia meluas kepada perkara yang ada kaitan dengannya iaitu merosotkan perasaan manusia yang luhur. Sumbernya telah rosak atau hampir rosak, airnya yang bersih tercemar oleh kuman-kuman materialisme yang membunuh yang individualisme yang menghancurkan.

Antara suami dan isteri tidak ada lagi perasaan kasih yang pernah dikenali oleh sebuah keluarga Islam yang disebut oleh Al Quran sebagai sakinah, mawaddah dan rahmat. Begitu juga perhubungan antara saudara kandung, anak dengan ibubapa mulai pudar apatah lagi hubungan dengan mereka yang di luar ikatan keluarga.

Pertukaran timbal-balik manfaat, kesenangan dan kepentinganlah yang menjadi pengikat utama yang menghubungkan antara satu dengan yang lain. Hal ini didapati dalam kata-kata seorang ahli politik barat:

“Kita tidak memiliki teman yang tetap, tidak pula musuh yang tetap,

yang ada hanyalah kepentingan yang tetap”14

Di Britain telah muncul fenomena bahawa ibubapa menjual anak-anak kecil agar mereka dapat membeli pelbagai barangan seperti rumah kecil, televisyen atau peti sejuk elektrik. Mereka telah menjual anak-anak kecil mereka pada tahun 1959 dan telah mencapai angka tiga ribu orang. Ibubapa yang menjual anak-anak kecil mereka ini adalah pasangan suami isteri yang sah.

Dalam masyarakat barat muncul masalah anak-anak yang tidak mendapat kasih sayang keluarga atau ibubapa disebabkan kedua-dua mereka sibuk bekerja. Di sana juga ada fenomena dinamakan ‘rumah roboh’ (broken house) yang berpunca dari kebebasan pergaulan antara lelaki dan wanita sehingga banyak berlaku kes perceraian. Anak-anak dalam rumah ini tidak mendapat didikan dan penjagaan secara fitrah dari kedua ibubapa mereka. Mereka mengalami masalah kejiwaan dan memberontak termasuk lari dari rumah dan sekolah. Usaha ahli psikologi dalam menangani penyakit sosial ini gagal sehingga ke hari ini.

Perkembangan paling baru yang terjadi di Amerika sekarang mengenai tuntutan kaum lelaki ke atas wanita bila terjadi perceraian antara seorang suami miskin atau kelas pertengahan dengan isteri yang kaya atas dakwaan persamaan hak. Nisbah wanita yang berpendapatan besar meningkat jumlahnya secara mendadak. Mereka menghadapi masalah besar sekiranya kehidupan rumahtangga mereka berakhir atas apa sebab sekalipun sekiranya suami mereka mempunyai pendapatan yang lebih kecil. Pihak suami biasanya akan menuntut pihak isteri menyara hidup mereka. Masalah ini telah ditulis oleh wartawan Mesir, Maha Abdul Fatah yang dikirimnya dari Amerika kepada akhbar harian Akhbar Al Youm dalam edisinya pada 6 Ogos 1994.

Di antara perkara pelik yang direka oleh tamadun barat adalah apa yang dikenali sebagai ibu sewaan atau ibu yang diwakilkan.Orang barat telah mempermainkan makna keibuan yang mulia. Mereka mahu menjadikan makna keibuan sekadar menghasilkan sel telur. Apabila sel telur itu bersenyawa dengan benih suani atau mana-mana lelaki, dia berhak menjadi ibu walaupun dia tidak pernah hamil atau melahirkan. Apa yang perlu dilakukan hanyalah menyewa rahim seorang wanita lain dengan upah atau bayaran dengan tujuan mendapat zuriat sedangkan siibu tidak pernah merasai kesulitan hamil, kepayahan mengandung, kesakitan melahirkan dan kesusahan menyusu. Bahkan lebih jauh dari itu mereka telah lari dari pemikiran untuk melahirkan. Ia telah menjadi fenomena umum yang tersebar di negara-negara barat secara keseluruhan.

Apa yang lebih parah dan meluas di barat ialah sikap menentang pembentukan keluarga melalui perkahwinan. Kebebasan seksual yang terdapat di barat adalah ajakan kepada kebebasan dari ikatan tradisi. Dunia barat telah membebaskan diri dari ajaran Kristian yang melarang perceraian sama sekali. Ramai lelaki lebih menyukai hidup bersama wanita yang dicintai tanpa adanya sebarang ikatan. Mereka hidup bersama selama mereka masih suka dan berpisah bila kehidupan mereka sudah bergoncang tanpa adanya sebarang komitmen pada undang-undang dan akhlak.

Di antara perkara yang diajukan dalam Seminar di Kaherah adanya ‘keluarga terdiri dari satu kelamin’ yang terdiri dari pasangan lelaki dengan lelaki dan wanita dengan wanita. Sudah tentu ia mendapat kecaman yang hebat dari negara-negara Islam. Dalam Islam, Allah telah mencipta manusia berpasang-pasangan sebagaimana yang termaktub dalam Al Quran seperti surah An Naba :8, Yasin:36, Al Zariyat:49 dan Al Syu’ara: 165-166.

Inilah tamadun barat pada hari ini yang cuba menjadikan amalan kaum Nabi Luth sah di sisi undang-undang dan mahu menjadikan ia suatu amalan yang dibenarkan di peringkat antarabangsa. Selain itu ada juga di barat keluarga yang dikenali sebagai keluarga tanpa bapa. Ada kedapatan wanita-wanita yang inginkan keturunan dan mendapat anak yang cerdas. Wanita seperti ini biasanya meminta bantuan dari bank sperma. Diantara wanita ini ialah Dr. Aveton Black dari California yang usianya telah mencapai 44 tahun. Beliau menghubungi bank sperma ini untuk mendapatkan cairan kod 28 sesuai dengan bentuk keinginan yang dia dan bentuk bayi yang diharapkan lahir kelak. Sperma yang disimpan di dalam bank tersebut tidak diketahui pemiliknya. Ia hanya mempunyai nombor kod masing-masing.

Dengan sperma tersebut Dr. Black mengalami kehamilan dan melahirkan seorang bayi yang diberi nama Duron. Wartawan akhbar harian The Daily Telegraph yang terbit di London bernama Ian Broady telah menemui ibu anak ini di kediamannya di los Angeles. Menurut wartawan tersebut, dikatakan kebahagiaan yang sebelumnya mewarnai Dr. Black mulai berubah sedikit demi sedikit menjadi kesedihan. Masalah yang paling banyak dihadapi oleh Dr Black ialah anak yang dilahirkan itu kini telah pandai bercakap dan selalu bertanya berulangkali “Di mana bapa saya?

Dr. Black meyatakan kepada wartawan bahawa Duron pernah membuatnya kebingungan dan berkata bahawa dia akan meninggalkan rumah untuk menemui bapanya.

3.3.3 Kegelisahan Jiwa

Tidak menghairankan setelah tersebarnya dalam masyarakat bekunya rasa kemanusiaan, terungkainya hubungan kekeluargaan dan runtuhnya akhlak, manusia selepas itu akan mengeluh gelisah dan pesimis memandang kehidupan serta sulit menghadapi kehidupan. Mereka akan membenci segala yang ada, khususnya masyarakat yang menganut fahaman materialisme, hilang jiwa keimanan kepada Allah, hari kiamat serta nilai-nilai tinggi.

Seorang wartawan Mesir- Anis Mansur telah menulis tentang apa yang beliau saksikan sendiri di Hollywood, sebuah kota para bintang filem Amerika di bawah jodol ‘orang-orang putus asa di sini’ beliau menulis:15

“Manusia di Amerika menyembah sistem, bukan kerana manfaat yang didatangkan oleh sistem itu, tetapi sekadar mentaati peraturan, taat kepada kumpulan dan institusi sebab kehidupan individu dalam masyarakat tidak mempunyai erti tersendiri, yang ada hanyalah erti secara keseluruhan dengan orang lain. Rasa kekosongan adalah perasaan yang paling menonjol bagi remaja di Amerika. Mereka kosong, rasa kehilangan dan tidak peduli kepada apapun. Mereka sebenarnya ingin hidup damai bersama diri mereka sendiri dan orang lain. Tetapi saraf manusia di Amerika tanpa ragu lagi telah rosak”

Natijah dari rasa kegelisahan dan kekosongan jiwa yang dialami oleh manusia di barat ialah munculnya kelompok-kelompok yang dikenali dengan nama Hippies dan Vagabond dan lain-lain hasil dari tamadun realistik barat. Golongan ini merupakan contoh pemberontakan terhadap tamadun barat yang bersifat materialistik yang mengalami kehausan jiwa, yang kekosongan pemikiran mereka tidak diisi, tidak memberi jawapan kepada kebingungan yang di alami dan tidak memberi penjelasan tentang tujuan hidup dan wujudnya mereka di bumi. Oleh itu mereka tenggelam dalam lumpur minuman keras dan dadah sehingga mereka tidak dapat mengenali diri dan alam persekitaran mereka lagi. Kemudian mulalah mereka mencari sesuatu yang lain yang tidak bersifat material lalu menggantungkan diri mereka apa yang disebut sebagai “menghadirkan ruh” nampaknya pengaruh dadah ini membuat mereka berasa bahawa rohnya benar-benar datang dan mereka dapat melihatnya dengan mata kepala mereka sendiri.

Golongan Hippies tidak memiliki garis panduan yang jelas, tujuan yang terarah lalu mereka jatuh ke jurang yang memisahkan antara perilaku dan pemikiran mereka. Istilah Hippies akhirnya mengingatkan kita kepada perilaku yang tidak bertanggungjawab, tiada kesedaran, tidak terarah seperti cecair raksa tanpa bekasnya.

Di antara fenomena kegelisahan yang paling menonjol dalam tamadun moden ialah meluasnya penyakit kegelisahan jiwa yang membuat manusia menjadi tawanan dirinya di tengah kedamaian masyarakat. Hidupnya berubah menjadi neraka sedangkan di tangannya ada kekayaan dan di kelilingnya ada peralatan untuk bersenang lenang.

Di antara wanita yang mengalami nasib seperti ini ialah Garetta Garbo yang pernah menjadi bintang filem terulung di Amerika, namun setelah usianya lanjut dia tidak lagi menjadi barang dagangan yang laris di Hollywood sehingga sampai ke tahap dia kehilangan teman-temannya. Tidak seorangpun yang menziarahi rumahnya. Dia menjalani usia tuanya dalam keadaan keseorangan hingga ketika merayakan ulang tahunnya yang ke-75 pada 18 September 1980 dia sendirian tanpa didampingi oleh sesiapapun. Ketika ditanya oleh penulis biografinya apakah dia berasa menyesal tidak berkahwin? Beliau menjawab dengan penuh penyesalan: “saya yakin bahawa saya telah melakukan kesalahan yang besar dengan tidak berkahwin”.

Kisah Marlyn Monroe16 yang dipandang artis paling terkenal di Amerika Syarikat kerana kecantikan dan daya tarikannya, walaupun dengan populariti serta kemewahan duniawinya, ternyata dia hidup dengan kesedihan dan kekosongan jiwa di tengah keramaian manusia. Meskipun gambarnya dengan senyuman yang ceria dan menghiasi halaman akhbar dan majalah, ternyata di sebalik itu dia menyembunyikan penderitaan batin yang amat mendalam dan berpanjangan. Akhirnya dia memutuskan untuk mengakhiri hidupnya dengan menelan ubat tidur dengan jumlah yang banyak melebihi dos yang dibenarkan walaupun usianya belum melebihi 36 tahun pada saat dia membunuh diri pada 5 Ogos 1962.

3.3.4 Kecelaruan Akal

Krisis tamadun barat tidak hanya pada pengaruh-pengaruh yang mengerikan seperti keruntuhan akhlak, keretakan keluarga, kecemasan bahkan terus bertambah berdasarkan apa yang kita baca daripada pertambahan berterusan jumlah yang menderita kerana gangguan mental dan saraf.

Di seluruh Amerika Syarikat, jumlah orang yang mengalami cacat akal lapan kali lebih banyak dari jumlah pesakit-pesakit lain. Pada setiap tahun orang yang masuk ke klinik-klinik kesihatan bagi penyakit cacat akal sekitar 86,000 kes baru. Pada tahun 1992 jumlah orang gila yang menghuni rumah sakit jiwa milik kerajaan mencapai jumlah 340,000 orang gila dan yang mendaftar di klinik-klinik swasta mencapai angka 81,850 orang. Jumlah yang keluar setelah sembuh sekitar 10,931 orang. Diperkirakan bahawa ada lagi ratusan ribu orang yang tidak masuk bancian rasmi yang mengalami gangguan jiwa17.

3.3.5 Jenayah Dan Ketakutan

Berikut adalah petikan dari sebuah rencana terbitan Majalah Kuwait Al-Arabi yang berjudul ‘Amerika Hidup Dalam Ketakutan’:

“Jenayah menyerbu Amerika”. Tindakan jenayah dalam berbagai bentuknya ada di setiap tempat di kota, di desa, di perlembahan yang tenang, di sejumlah besar negara Amerika Syarikat di utara dan selatannya, timur dan baratnya, jenayah dengan segala jenisnya….pembunuhan dan rompakan, penyerangan dan samun, peras ugut dan mengacukan senjata”

Di sana terdapat jenayah pembunuhan yang terjadi pada setiap 24 minit, kecurian pecah rumah setiap 10 saat dan wanita diperkosa setiap 7 minit.

Dalam satu kajian baru yang berjudul ‘Laporan Fiji’ tentang pengaruh jenayah terhadap keadan psikologi masyarakat Amerika yang dilakukan terhadap lebih dari 1000 orang di seluruh Amerika Syarikat para pengkaji membuat kesimpulan di antaranya ialah:18

(a) 4 dari 10 penduduk merasa bahawa mereka menjadi sasaran penjenayah.

(b) rasa takut mencapai 52% dari warga bandar besar, 41% di bandar-bandar kecil dan 31% di wilayah pinggiran bandar serta desa.

(c) 52% mengaku memiliki senjata untuk tujuan membela diri.

(d) 9 dari 10 warga Amerika mengunci rumah mereka dengan selak kunci dan mengenalpasti setiap tetamu yang datang sebelum membuka pintu.

(e) 7 dari 10 mengunci pintu kereta mereka ketika memandu.

(f) 6 dari 10 menghubungi tetamu atau sanak saudara yang mengunjungi rumah mereka melalui telefon untuk memastikan mereka selamat pulang ke rumah.

(g) 50% lebih suka keluar dengan berpakaian biasa dan sederhana yang tidak menarik perhatian jenayah.

(h) 63% menyokong supaya pihak polis diberi kuasa lebih yang mempunyai kuasa bertindak terhadap orang yang dicurigai.

(i) Lebih 50% bersetuju membayar cukai tambahan dengan syarat wang itu digunakan untuk mendokong perlindungan polis terhadap mereka.

(j) Majoriti besar menuntut supaya dijatuhkan hukuman berat dan penjara dalam tempoh yang lama bagi mereka yang melakukan jenayah berat.

(k) 2 dari 3 orang menuntut agar dijalankan hukuman bunuh terhadap penjenayah kejam.

Laporan itu di dalam penutupnya menyatakan:19

“Amerika sekarang hidup dalam cengkaman rasa takut yang baru dan terus bertambah dari hari ke hari. Rasa takut menjadi korban jenayah, rasa takut dari korban kekerasan terhadap fzikal dan rasa takut dari kehilangan harta kekayaan. Amerika sekarang hidup dalam rasa ketakutan antara sesama mereka

Kesimpulannya, dari fakta-fakta yang dipaparkan, jelas bahawa budaya dan tamadun barat berada dalam keadaan yang amat parah. Ditakuti cara hidup mereka menjadi ikutan oleh generasi muda dunia Islam yang akan merobohkan institusi umat Islam secara keseluruhan. Pohon yang kuat dan besar sekalipun tidak boleh hidup di atas tanah yang lembut dan tidak akan mampu bertahan lama. Oleh itu umat Islam amnya dan generasi muda khususnya hendaklah kembali kepada sistem serta institusi umat Islam yang sedia ada yang telah terbukti mampu membawa kebahagiaan kepada manusia sejagat.

BAB 4

SUMBANGAN TAMADUN ISLAM

DALAM PELBAGAI BIDANG

4.1 Sains Dan Teknologi

4.1.1 Ibnu Sina[2]

a. Pengenalan dan Latarbelakang

Ibnu Sina merupakan doktor Islam yang terulung. Sumbangannya dalam bidang perubatan bukan sahaja diperakui oleh dunia Islam tetapi juga oleh para sarjana Barat. Nama sebenar Ibnu Sina ialah Abu Ali al-Hussain Ibnu Abdullah. Tetapi di Barat, beliau lebih dikenali sebagai Avicenna.

Ibnu Sina dilahirkan pada tahun 370 Hijrah bersamaan dengan 980 Masihi. Pengajian peringkat awalnya bermula di Bukhara dalam bidang bahasa dan sastera. Selain itu, beliau turut mempelajari ilmu-ilmu lain seperti geometri, logik, matematik, sains, fiqh, dan perubatan.

Walaupun Ibnu Sina menguasai pelbagai ilmu pengetahuan termasuk falsafah tetapi beliau lebih menonjol dalam bidang perubatan samada sebagai seorang doktor ataupun mahaguru ilmu tersebut.

Ibnu Sina mula menjadi terkenal selepas berjaya menyembuhkan penyakit Putera Nub Ibn Nas al-Samani yang gagal diubati oleh doktor yang lain. Kehebatan dan kepakaran dalam bidang perubatan tiada tolok bandingnya sehingga beliau diberikan gelaran al-Syeikh al-Rais (Mahaguru Pertama).

b. Sumbangan

Kemasyhurannya melangkaui wilayah dan negara Islam. Bukunya Al Qanun fil Tabib telah diterbitkan di Rom pada tahun 1593 sebelum dialihbahasakan ke dalam bahasa Inggeris dengan judul Precepts of Medicine. Dalam jangka masa tidak sampai 100 tahun, buku itu telah dicetak ke dalam 15 buah bahasa. Pada abad ke-17, buku tersebut telah dijadikan sebagai bahan rujukan asas diuniversiti-universiti Itali dan Perancis. Malahan sehingga abad ke-19, bukunya masih diulang cetak dan digunakan oleh para pelajar perubatan

Ibnu Sina juga telah menghasilkan sebuah buku yang diberi judul Remedies for The Heart yang mengandungi sajak-sajak perubatan. Dalam buku itu, beliau telah menceritakan dan menghuraikan 760 jenis penyakit bersama dengan cara untuk mengubatinya. Hasil tulisan Ibnu Sina sebenarnya tidak terbatas kepada ilmu perubatan sahaja. Tetapi turut merangkumi bidang dan ilmu lain seperti metafizik, muzik, astronomi, philologi (ilmu bahasa), syair, prosa, dan agama.

Penguasaannya dalam pelbagai bidang ilmu itu telah menjadikannya seorang tokoh sarjana yang serba boleh. Beliau tidak sekadar menguasainya tetapi berjaya mencapai tahap zenith iaitu puncak kecemerlangan tertinggi dalam bidang yang diceburinya.

Di samping menjadi zenith dalam bidang perubatan, Ibnu Sina juga menduduki ranking yang tinggi dalam bidang ilmu logik sehingga digelar guru ketiga. Dalam bidang penulisan, Ibnu Sina telah menghasilkan ratusan karya termasuk kumpulan risalah yang mengandungi hasil sastera kreatif.

Perkara yang lebih menakjubkan pada Ibnu Sina ialah beliau juga merupakan seorang ahli falsafah yang terkenal. Beliau pernah menulis sebuah buku berjudul al-Najah yang membicarakan persoalan falsafah. Pemikiran falsafah Ibnu Sina banyak dipengaruhi oleh aliran falsafah al-Farabi yang telah menghidupkan pemikiran Aristotle. Oleh sebab itu, pandangan perubatan Ibnu Sina turut dipengaruhi oleh asas dan teori perubatan Yunani khususnya Hippocrates.

Pengaruh pemikiran Yunani bukan sahaja dapat dilihat dalam pandangan Ibnu Sina mengenai kesihatan dan perubatan, tetapi juga bidang falsafah. Ibnu Sina berpendapat bahawa matematik boleh digunakan untuk mengenal Tuhan.

Sumbangan Ibnu Sina dalam perkembangan falsafah Islam tidak mungkin dapat dinafikan. Bahkan beliau boleh dianggap sebagai orang yang bertanggungjawab menyusun ilmu falsafah dan sains dalam Islam. Sesungguhnya, Ibnu Sina tidak sahaja unggul dalam bidang perubatan tetapi kehebatan dalam bidang falsafah mengatasi gurunya sendiri iaitu al-Farabi.

4.1.2 Ibnu Rusyd “Averroes”[3]

a. Pengenalan dan Latarbelakang

Ibnu Rusyd atau nama lengkapnya Abu Walid Muhammad Ibnu Ahmad lahir di Kardova pada tahun 1126 Masihi. Beliau ahli falsafah yang paling agung pernah dilahirkan dalam sejarah Islam. Pengaruhnya bukan sahaja berkembang luas di dunia Islam, tetapi juga di kalangan masyarakat di Eropah. Di Barat, beliau dikenal sebagai Averroes.

Keturunannya terdiri daripada golongan yang berilmu dan ternama. Bapanya dan datuknya merupakan kadi di Kardova. Oleh itu, beliau telah dihantar untuk berguru dengan Ibnu Zuhr yang kemudiannya menjadi rakan karibnya.

Ibnu Rusyd mempelajari ilmu fiqh dan perubatan daripada rakannya yang juga merupakan tokoh perubatan yang terkenal di Sepanyol, Ibnu Zuhr yang pernah bertugas di sebagai doktor istana di Andalusia.

b. Sumbangan

Sebelum meninggal dunia, beliau telah menghasilkan bukunya yang terkenal Al Taysir. Buku itu telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin dan bahasa Inggeris dengan judul Faclititation of Treatment.

Selain menjalin perhubungan yang akrab dengan Ibnu Zuhr, Ibnu Rusyd juga mempunyai hubungan yang baik dengan kerajaan Islam Muwahidin. Hubungan ini telah membolehkan Ibnu Rusyd dilantik sebagai hakim di Sevilla pada tahun 1169. Dua tahun kemudian, beliau dilantik menjadi hakim di Kardova.

Selepas beberapa waktu menjadi hakim, beliau dilantik sebagai doktor istana pada tahun 1182 berikutan persaraan Ibn Tufail. Ramai yang berasa cemburu dan dengki dengan kedudukan Ibnu Rusyd. Kerana desakan dan tekanan pihak tertentu yang menganggapnya sebagai mulhid, beliau dibuang ke daerah Alaisano.

Setelah selesai menjalani tempoh pembuangannya, beliau pulang semula Kardova. Kehadirannya di Kardova bukan sahaja tidak diterima, tetapi beliau telah disisihkan oleh orang ramai serta menerima pelbagai penghinaan daripada masyarakatnya.

Pada lewat penghujung usianya, kedudukan Ibnu Rusyd dipulihkan semula apabila Khalifah Al-Mansor Al-Muwahhidi menyedari kesilapan yang dilakukannya. Namun, segala kurniaan dan penghormatan yang diberikan kepadanya tidak sempat dikecapi kerana beliau menghembuskan nafas terakhirnya pada tahun 1198.

Kematiannya merupakan kehilangan yang cukup besar kepada kerajaan dan umat Islam di Sepanyol. Beliau tidak meninggalkan sebarang harta benda melainkan ilmu dan tulisan dalam pelbagai bidang seperti falsafah, perubatan, ilmu kalam, falak, fiqh, muzik, kaji bintang, tatabahasa, dan nahu.

Antara karya besar yang pernah dihasilkan oleh Ibnu Rusyd termasuklah "Kulliyah fit-Thibb" yang mengandungi 16 jilid, mengenai perubatan secara umum, Mabadil Falsafah (Pengantar Ilmu Falsafah), Tafsir Urjuza yang membicarakan perubatan dan tauhid, Taslul, buku mengenai ilmu kalam, Kasyful Adillah, yang mengungkap persoalan falsafah dan agama, Tahafatul Tahafut, ulasannya terhadap buku Imam Al-Ghazali yang berjudul Tahafatul Falaisafah, dan Muwafaqatil Hikmah Wal Syari'a yang menyentuh persamaan antara falsafah dengan agama.

Siri karya tulisan tersebut menunjukkan betapa penguasaan Ibnu Rusyd dalam pelbagai bidang dan cabang ilmu begitu ketara sekali sehingga usaha untuk menterjemahkan tulisan beliau telah dilakukan ke dalam bahasa lain. Buku "Kulliyah fit-Thibb" telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin pada tahun 1255 oleh Bonacosa, orang Yahudi dari Padua.

Pembaharuan ini dapat dilihat juga dalam bidang perubatan apabila Ibnu Rusyd memberi penekanan tentang kepentingan menjaga kesihatan.Beberapa pandangan yang dikemukakan dalam bidang perubatan juga didapati mendahului zamannya. Beliau pernah menyatakan bahawa demam campak hanya akan dialami oleh setiap orang sekali sahaja.

Kehebatannya dalam bidang perubatan tidak berlegar di sekitar perubatan umum, tetapi juga merangkum pembedahan dan fungsi organ di dalam tubuh manusia. Ilmu pengetahuan yang dimiliki oleh Ibnu Rusyd turut menjangkau bidang yang berkaitan dengan kemasyarakatan apabila beliau cuba membuat pembahagian masyarakat itu kepada dua golongan iaitu golongan elit yang terdiri daripada ahli falsafah dan masyarakat awam.

Apabila melihat keterampilan Ibnu Rusyd dalam pelbagai bidang ini, maka tidak syak lagi beliau merupakan tokoh ilmuwan Islam yang tiada tolok bandingannya. Malahan dalam banyak perkara, pemikiran Ibnu Rusyd jauh lebih besar dan berpengaruh jika dibandingkan dengan ahli falsafah yang pernah hidup sebelum zamannya ataupun selepas kematiannya

4.1.3 Jabir Ibnu Hayyan[4]

a. Pengenalan dan Latarbelakang

Jabir Ibn Haiyan (750-803 Masihi), yang lebih akrab dipanggil "Si Geber dari Abad Pertengahan" juga dikenali sebagai "Bapa Ilmu Kimia Dunia". Beliau yang nama penuhnya Abu Musa Jabir Ibn Hayyan, telah berhasil menempatkan dirinya sebagai ilmuwan terkemuka sejak dia mengamalkan bidang perubatan dan alkimia di Kufah (sekarang Iraq) di sekitar tahun 776 Masihi yang silam. Pada peringkat awal kerjaya Abu Musa Jabir Ibn Hayyan, beliau pernah berguru pada Barmaki Vizier iaitu semasa zaman Khalifah Abbasiah pimpinan Harun Ar-Rasyid.

b. Sumbangan

Sumbangan terbesar beliau ialah dalam lapangan ilmu kimia. Beliau cukup terkenal kerana hasil penulisan yang melebihi daripada seratus risalah yang telah diabadikan sehingga kini. Terdapat sebanyak 22 risalah yang antaranya berkaitan dengan alkimia (Al-Kimiya dari bahasa Arab) dan ilmu kimia.

Beliaulah yang memperkenalkan model penelitian dengan cara eksperimen didunia alkimia. Maknanya, beliau yang menjana momentum bagi perkembangan ilmu kimia moden.

Jabir banyak mengabdikan dirinya dengan melakukan eksperimen dan pengembangan kaedah untuk mencapai kemajuan dalam bidang penyelidikan. Beliau mencurahkan daya upayanya pada proses pengembangan kaedah asas ilmu kimia dan kajian terhadap pelbagai mekanisme tindak balas kimia. Jadi, beliau mengembangkan ilmu kimia sebagai cabang ilmu alkimia.

Beliau menegaskan bahawa kuantiti yang tepat daripada bahan kimia saling berhubungan dengan wujudnya tindak balas kimia yang akan berlaku. Oleh sebab itu, bolehlah dikatakan bahawa Jabir telah meletakkan dasar ke atas hukum nisbah tetap.

Sumbangan yang paling asas oleh Jabir dalam bidang ilmu kimia termasuk juga dalam bidang penyempurnaan pendekatan saintifik, seperti pada proses penghabluran, penyulingan, kalsinasi (penukaran logam kepada oksidanya dengan cara pembakaran), pejalwap dan penyejatan serta pengembangan terhadap beberapa peralatan untuk menjalankan eksperimen itu.

Pencapaian praktis utama yang disumbangkan oleh beliau ialah penemuan bahan mineral dan asid, yang telah pun dipersiapkan pertama kali dalam penelitian tentang alembik (Anbique). Rekaannya terhadap alembik membuatkan proses penyulingan menjadi lebih mudah dan sistematik.

Antara beberapa kejayaannya yang lain dalam bidang kimia, salah satunya ialah dalam penyediaan asid nitrik, hidroklorik, sitrik, dan tartarik. Penekanan Jabir dalam bidang eksperimen sistematik ini diketahui umum tidak ada duanya didunia.

Tegasnya, Jabir merupakan seorang pelopor dalam beberapa bidang pengembangan ilmu kimia gunaan. Sumbangan beliau termasuk juga dalam pembangunan keluli, penyediaan bahan-bahan logam, bahan antikarat, tinta emas, penggunaan bijih mangan dioksida untuk pembuatan kaca, bahan pengering pakaian, dan penyamakan kulit.

Sumbangan beliau juga pada menyediakan pelapisan bahan anti air pada pakaian, serta campuran bahan cat, dan gris. Selain itu, beliau juga mengembangkan teknik peleburan emas dengan menggunakan bahan aqua regia.

Idea eksperimen Jabir itu sekarang telah menjadi dasar untuk mengklasifikasikan unsur-unsur kimia, terutamanya pada bahan logam, bukan logam, dan penguraian bahan kimia. Beliau telah merumuskan tiga bentuk berbeza daripada bahan kimia berdasarkan unsur-unsurnya:

(1) Cecair (spirit), yakni yang mempengaruhi pengewapan pada proses pemanasan, seperti pada bahan kapur barus (camphor), arsenik, dan ammonium klorida.

(2) Logam, seperti emas, perak, timah, tembaga, besi.

(3) Bahan campuran, yang boleh ditukar menjadi serbuk.

Pada abad pertengahan, risalah-risalah Jabir dalam bidang ilmu kimia - termasuk kitabnya yang masyhur, Kitab Al-Kimya dan Kitab Al-Sab'een, telah diterjemahkan ke bahasa Latin. Bahkan terjemahan Kitab Al-Kimya telah diterbitkan oleh orang Inggeris yang bernama Robert Chester pada tahun 1444, dengan judul The Book of the Composition of Alchemy.

Buku kedua, Kitab Al-Sab'een diterjemahkan juga oleh Gerard dari Cremona. Berthelot pula menterjemahkan beberapa buku beliau, yang antaranya dikenali dalam judul Book of Kingdom, Book of the Balances, dan Book of Eastern Mercury.

Sungguhpun begitu, daripada semua karyanya, hanya sedikit sahaja yang telah diterjemahkan. Sebahagian besar karyanya tetap kekal dalam bahasa Arab.

4.1.4 Al-Kawarizmi[5]

a. Pengenalan dan Latarbelakang

Al-Khawarimi ataupun Abu Abdullah Muhammad Ibn Musa Al-Khawarizmi, seorang intelektual Islam yang lahir pada tahun 770 Masehi, di sebuah kota bernama Khawarizmi. Walaubagaimanapun tidak ada catatan yang pasti tentang hari dan bila Al-Khawarizmi dilahirkan. Namun, Al-Khawarizmi dilahirkan di sebuah kota kecil sederhana di pinggiran selatan sungai Oxus. Sungai Oxus adalah satu sungai yang mengalir panjang dan membelah negara Uzbekistan.

Uzbekistan, adalah sebuah negara Islam yang besar sebelum tentara Rusia mengambil alih dan menggempur daerah itu pada tahun 1873. Ratusan tahun lebih Uzbekistan berada di bawah pemerintahan Islam dengan penduduk majoriti muslim yang hidup makmur dengan rahmat melimpah.

Dari tempat beliau dilahirkan inilah Al-Khawarizmi mendapat gelarannya. Pada saat Al-Khawarizmi masih kecil, kedua orang tuanya berpindah dari Uzbekistan menuju Baghdad, Iraq. Saat itu Iraq di bawah pemerintahan Khalifah Al Ma'mun yang memerintah sepanjang tahun 813 sampai 833.

Di kota inilah lahir sebuah konsep matematik yang disebut sebagai Algorithma yang jelas ia berasal dari kata Al-Khawarizmi. Mungkin orang-orang Barat dengan lidahnya terlalu sulit menyebutkan dengan fasih kata Al-Khawarizmi sehingga menjadi Algorithma.

b. Sumbangan

Al-Khawarizmi adalah seorang tokoh matematik besar yang pernah dilahirkan Islam dan disumbangkan pada peradaban dunia. Meskipun beliau masyhur sebagai seorang ahli dalam bidang matematik, sebenarnya beliau juga adalah tokoh dalam berbagai bidang. Al-Khawarizmi juga seorang astronomi, beliau juga seorang pakar dalam ilmu geografi dan geologi.

Salah satu kehebatan Al-Khawarizmi adalah, ia tak hanya pakar di dalam satu-satu bidang sahaja, tetapi beliau juga mampu menyelesaikan masalah yang timbul di dalam bidang-bidang yang lain

A ljabar diambil dari kata depan judul buku yang dikarang oleh Al-Khawarizmi, "Al-Jabr wa Al-Muqabilah". Dalam buku ini ia merumuskan dan menjelaskan secara lengkap berkenaan “table trigonometri”.

Selain menghasilkan karya-karya di bidang matematik, Al-Khawarizmi juga menghasilkan karya dalam bidang astronomi. Ia membuat jadual yang merekodkan ilmu perbintangan ini. Pada awal abad 12, karya-karya Al-Khawarizmi diterjemahkan ke dalam bahasa lain, dan yang pertama kali adalah di dalam bahasa Latin oleh Adelard of bath dan Gerard of Cremona. Kitab-kitab itu adalah, The Treatise of Arithmetic, Al Muqala fi Hisab Al Jabr wa Al Muqabilah.

Di universiti-universiti Eropah, buku-buku karya Al-Khawarizmi masih menjadi rujukan untuk mahasiswa di sana sehinggalah pertengahan abad ke enam belas. Karya-karyanya, setelah di terjemahkan dalam bahasa Latin, kemudian menyusul bahasa-bahasa lain seperti bahasa-bahasa yang digunakan di Eropah dan akhir sekali diterjemahkan dalam bahasa Cina.

Begitu juga dalam bidang geografi, beliau membuat penambahbaikan pada pemikiran ahli falsafah Yunani tentang geografi. Dalam sejarah tercatat tujuh puluh orang pakar dalam bidang geografi bekerja di bawah seliaan Al-Khawarizmi. Kumpulan ini kemudian melahirkan peta bumi yang kita kenali sebagai “globe” sekarang ini. Karya ini menjadi terkenal pada tahun 830 Masihi.

Sepuluh tahun kemudian, iaitu pada tahun 840 hijrah, Al-Khawarizmi meninggal dunia dengan warisannya khazanah dalam ilmu pengetahuan dunia. Kita yang masih hidup saat ini, nama Al-Khawarizmi memang sinonim dengan ilmu matematik. Jelasnya, Al-Khawarizmi banyak memberi sumbangan kepada kita dalam bidang matematik, geografi dan astronomi.

4.1.5 Al-Biruni[6]

a. Pengenalan dan Latarbelakang

Al-Biruni atau nama asalnya Abu al-Raihan Muhammad ibn Ahmad al-Biruni. Beliau dilahirkan pada tahun 362 H (973 M) di Birun, ibu negara Khawarizm atau lebih dikenali sebagai Turkistan. Gurunya yang terawal ialah Abu Nasr Mansur ibn Alt ibn Iraqin yang juga merupakan seorang pakar ilmu matematik dan alam.

Minat dan kecenderungannya untuk mempelajari serta meluaskan dimensi ilmu pengetahuannya telah mendorong Al-Biruni merantau sehingga ke negara India. Tetapi semasa berada di India, Al-Biruni telah ditawan oleh Sultan Mahmood al-Ghaznawi. Setelah menyedari keilmuwannya beliau ditugaskan di istana sebagai salah seorang ulama. Kesempatan itu digunakan sepenuhnya oleh Al-Biruni untuk mempelajari bahasa Sanskrit dan bahasa lain di India.

Di sana beliau mengambil kesempatan untuk mengenali agama Hindu dan falsafah India. Hasilnya beliau telah menulis beberapa buah buku yang mempunyai hubungan dengan masyarakat India dan kebudayaan Hindu. Dalam satu tulisannya, beliau menyatakan bahawa ajaran Hindu berasaskan konsep penjelmaan yang mempunyai persamaan dengan syahadah Tauhid dalam Islam dan triniti dalam agama Kristian.

Tembok penjara tidak menjadi penghalang kepada Al-Biruni untuk terus menuntut dan menghasilkan karya-karya yang besar dalam pelbagai bidang. Sumbangannya kepada ilmu dan peradaban India amat besar. Sumbangannya yang paling penting ialah dalam penciptaan kaedah penggunaan angka-angka India dan kajiannya mencari ukuran bumi menggunakan kiraan matematik. Beliau juga telah berjaya menghasilkan satu daftar yang mengandungi peta dan kedudukan ibu-ibu negara di dunia.

Semasa berada dalam tawanan itu, Al-Biruni juga menggunakan seluruh ruang dan peluang yang ada untuk menjalinkan hubungan antara para ilmuwan sekolah tinggi Baghdad dan para sarjana Islam India yang tinggal dalam istana Mahmud al Ghaznawi.

b. Sumbangan

Selepas dibebaskan, beliau telah menulis sebuah buku yang berjudul Kitab Tahdid al Nih-ayat al Amakin Lita'shih al Masafat al Masakin. Di samping itu, beliau turut mendirikan sebuah pusat kajian astronomi mengenai sistem solar yang telah membantu perkembangan pengajian ilmu falak pada tahun-tahun yang mendatang. Kajiannya dalam bidang sains, matematik, dan geometrik telah menyelesaikan banyak masalah yang tidak dapat diselesaikan sebelum ini.

Penguasaannya terhadap pelbagai ilmu pengetahuan dan bidang telah menyebabkan beliau digelar sebagai "Ustaz fil Ulum" atau guru segala ilmu. Penulisannya tentang sejarah Islam telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris dengan judul "Chronology of Ancient Nation". Banyak lagi buku tulisan Al-Biruni diterbitkan di Eropah dan tersimpan dengan baiknya di Museum Escorial, Sepanyol. Dalam sepanjang hidupnya.

Al-Biruni telah menghasilkan lebih 150 buah buku termasuk satu senarai kajian yang mengandungi 138 tajuk. Antara buku itu ialah Al-Jamahir fi al-Jawahir yakni mengenai batu-batu permata; Al-Athar al-Baqiah berkaitan kesan-kesan lama tinggalan sejarah dan Al-Saidalah fi al-Tibb, tentang ubat-ubatan. Karya ini dikatakan karyanya yang terakhir sebelum meninggal dunia pada 1048 Masihi.

Sebelum ke India, Al-Biruni sering menjalinkan hubungan dengan Ibnu Sina. Keadaan ini menjadi bukti pengiktirafan ilmuwan Islam lain terhadap ketokohan dan kesarjanaannya. Sekali gus menjadikan beliau seorang ahli falsafah Islam yang serba boleh dengan sumbangan yang telah memberikan manfaat yang besar kepada manusia seluruhnya.

Dalam masa yang sama, Al-Biruni juga membuktikan bahawa golongan ahli falsafah bukan merupakan golongan yang sesat dan hidup di awang-awangan. Sebaliknya mereka merupakan golongan ilmuwan yang perlu diberi pengiktirafan. Peranan dan kedudukan mereka amat besar dalam pembinaan tamadun Islam serta peradaban manusia.

Sesungguhnya kemunculan Al-Biruni sebagai tokoh ilmuwan tersohor telah mengangkat martabat ahli falsafah daripada terus diberikan pelbagai stigma dan label yang berbentuk negatif serta merubah peranan yang sepatutnya dimainkan oleh ahli falsafah itu sendiri

4.1.6 Ibnu Battuta[7]

a. Pengenalan dan Latarbelakang

Muhammad bin Abdullah bin Muhammad Al-Lawati Al-Tanji atau dikenali sebagai Abu Abdullah Muhammad ibn Battuta, seorang muslim dalam bidang hukum Islam, beliau lahir pada tahun 1304 Masihi di Tangier, sebuah kota berhampiran Selat Gibraltar, Moroko. Beliau adalah seorang pelopor pengembaraan yang menghasilkan buku karangan mengenai benua Asia dan Afrika berdasarkan pengalaman perjalanan sendiri.

Pengembaraan Ibnu Battuta bermula ketika usianya 21 tahun. Beliau meninggalkan Tanjah pada hari Khamis, 14 Jun 1325 Masihi. Pengembaraan beliau mengambil masa 38 tahun meliputi perjalanan sejauh 120,000 kilometer dan singgah di 44 negara di dua benua Afrika dan Asia. Beliau kembali semula ke Morocco semasa pemerintahan Sultan Abu 'Inan dan kisah pengembaraan beliau ditulis oleh Ibn Juza melalui bukunya Tuhfat al Anzhar fi Ghoraib al Absar wa Ajaib al Asfa. buku tersebut diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa dan diterbitkan dibanyak tempat.

Rute Perjalanan Pertama

Rute Perjalanan Kedua

Kisah pengembaraan Ibnu Battuta terbahagi kepada tiga pusingan. Pusingan pertama bermula dari Tangier, Afrika Utara pada 13 Jun 1325 menuju Iskandariah sebelum meneruskan pengembaraan ke Dimyath dan Kaherah. Selanjutnya Ibnu Battuta merentasi bumi Palastin menuju Damsyik dan berjalan ke Ladzikiyah, seterusnya ke Aleppo. Dalam perjalanan berkenaan, Ibnu Battuta terlihat satu kafilah sedang menuju ke Makkah untuk menunaikan ibadat haji lalu beliau bergabung dengan rombongan itu. Beliau menetap di Makkah selama 2 tahun.

Rute Perjalanan Ketiga

Ibnu Battuta meneruskan pengembaraannya ke Yaman melalui jalan laut dan melawat Aden, Mombosa, Timur Afrika dan menuju ke Kulwa. Beliau kembali ke Oman dan balik semula ke Mekkah untuk menunaikan Haji pada tahun 1332 masihi, melaui Hormuz, Siraf, Bahrin dan Yamama.

Rute Perjalanan Keempat I

Pada pusingan kedua pengembaraanya, Ibnu Battuta ke Syam dan Laut Hitam, Laut yang dihubungkan ke Laut Tengah oleh Selat Bosporus dan Laut Marmara serta Dardanela. Dari Laut Hitam, Ibnu Battuta meneruskan pengembaraannya ke Bulgaria, Rom, Rusia, Turki serta pelabuhan terpenting di Laut Hitam iaitu Odesia kemudian menyusuri sepanjang Sungai Danube.

Rute Perjalanan Kelima

Ibnu Battuta kemudian belayar menyeberangi Laut Hitam ke Semenanjung Crimea di mana beliau mengunjungi Rusia Selatan dan seterusnya ke India. Di India beliau pernah dilantik menjadi kadi dan tinggal selama beberapa tahun dan berkhidmat dengan keluarga seorang sultan. Beliau melanjutkan pengembaraannya hingga ke Sri Langka, Indonesia dan Canton, ibu negara Hong Kong. Kemudian Ibnu Battuta mengembara pula ke Sumatera, Indonesia dan melanjutkan perjalanan melalui laut Amman sebelum meneruskan perjalanan darat ke Iran, Iraq, Palestin dan Mesir. Beliau kembali ke Makkah untuk menunaikan Ibadah Haji yang ke tujuh (terakhir) pada bulan November 1348 mesihi.

Rute Perjalanan Pulang

Perjalanan beliau ketiga bermula pada 753 Hijrah dimana beliau sampai ke Mali di tengah Afrika Barat sebelum kembali semula ke Pas, Maghribi untuk mentafsir hasil pengembaraannya. Salah seorang penulis Dar Ifta' di Pas iaitu Mohad. Ibnu Juza telah menyunting buku beliau dan menyusun dengan gaya bahasa yang teratur. Ibn Juza mengambil masa selama 3 bulan untuk menyelesaikan tugasnya pada 9 Disember 1355 masihi.

b. Sumbangan

Setiap kali mengunjungi sesebuah negeri atau negara, Ibnu Battuta akan membuat catatan terperinci mengenai penduduk, pemerintah, ulamak serta kezaliman yang dilaksanakannya. Beliau turut menceritakan pengalamannya menempuh pelbagai cabaran seperti diserang penjahat, hampir lemas bersama kapal yang karam dan nyaris dihukum penggal oleh pemerintah yang zalim. Tetapi malangnya, pencapaian Ibnu Battuta yang luar biasa itu tidak mendapat penghargaan sewajarnya apabila manuskrip catatannya dirampas dan di sembunyikan kerajaan Perancis yang menjajah kebanyakan negeri di benua Afrika.

Manuskrip catatan beliau dipercayai disimpan di Bibliotheque Nationale, Paris, menyebabkan bangsa Arab sendiri tidak dapat menghargai pencapaiannya sebagai seorang pelayar Islam yang agung. Hakikatnya, Ibnu Battuta adalah perintis pengembaraan dunia yang berjaya menguasai benua Afrika dan Asia serta pengarang yang menghasilkan karya penting dalam dunia Islam.

4.2 Sains Sosial Dan Kemanusiaan

4.2.1 Imam Al-Ghazali[8]

a. Pengenalan dan Latarbelakang

Imam Al-Ghazali lebih dikenali sebagai ulama tasawuf dan akidah. Oleh sebab itu sumbangannya terhadap bidang falsafah dan ilmu pengetahuan lain tidak boleh dinafikan. Al-Ghazali merupakan seorang ahli sufi yang bergelar "hujjatui Islam".

Abu Hamid Ibnu Muhammad al-Tusi al-Ghazali itulah tokoh yang dilahirkan di Tus, Parsi pada tahun 450 Hijrah. Sejak kecil lagi, beliau telah menunjukkan keupayaan yang luar biasa dengan menguasai berbagai-bagai cabang ilmu pengetahuan. Beliau bukan sahaja produktif dari segi menghasilkan buku dan karya tetapi merupakan seorang ahli fikir Islam yang terulung.

Kecintaannya terhadap ilmu pengetahuan begitu mendalam sehingga mendorongnya menggembara dan merantau dari sebuah tempat ke tempat yang lain untuk berguru dengan ulama-ulama yang hidup pada zamannya. Sewaktu berada di Baghdad, Al-Ghazali telah dilantik sebagai Mahaguru Universiti Baghdad.

Walaupun telah bergelar mahaguru tetapi beliau masih merasakan kekurangan pada ilmu pengetahuan yang dimiliki. Lantaran itu, beliau meninggalkan jawatannya dan beralih ke bidang tasawuf dengan merantau ke Mekah sambil berguru dengan ahli-ahli sufi yang terkenal disana

b. Sumbangan

Selain belajar dan mengkaji,. Al-Ghazali juga banyak menulis. Dianggarkan beliau telah menulis 300 buah buku mencakupi pelbagai bidang ilmu pengetahuan seperti mantik, akhlak, tafsir, ulumul Quran, falsafah, dan sebagainya. Walau bagaimanapun, sebahagian besar hasil tulisannya telah hangus dibakar oleh tentera Moghul yang menyerang kota Baghdad.

Antara kitab yang musnah termasuk: 40 Jilid Tafsir, Sirrul Alamain (Rahsia Dua Dunia), dan al Madhnuuna bihi ala Qhairiha (Ilmu Yang Harus Disembunyikan Dari Orang'orang Yang Bukan Ahlinya,). Cuma 84 buah buku tulisan beliau yang berjaya diselamatkan seperti Al Munqiz Mm al Dhalal (Penyelamat Kesesatan), Tahafut al Falsafah (Penghancuran Falsafah), Mizanul Amal (Timbangan Amal), Ihya Ulumuddin (Penghidupan Pengetahuan), Mahkun Nazar (Mengenai Ilmu Logik), Miyarul Ilmu, dan Maqsadil Falsafah (Tujuan Falsafah).

Kalau menyelusuri perjalanan hidup Al-Ghazali maka akan didapati bahawa beliau merupakan ilmuwan Islam pertama yang mendalami falsafah dan kemudian mengambil sikap mengkritiknya. Walaupun Al-Ghazali kurang senang dengan falsafah dan ahli filsafat tetapi dalam buku Maqasid al Falasifah., beliau telah mengemukakan kaedah falsafah untuk menghuraikan persoalan yang berkaitan dengan logik, ketuhanan, dan fizikal.

Menurut Al-Ghazali, falsafah boleh dibahagikan kepada enam ilmu pengetahuan ialah matematik, logik, fizik, metafizik, politik, dan etika. Bidang-bidang ini kadangkala selari dengan , agama dan kadangkala pula sangat berlawanan dengan agama.

Terdapat tiga pemikiran falsafah metafizik yang menurut Al-Ghazali amat bertentangan dengan Islam iaitu qadimnya alam ini, tidak mengetahui Tuhan terhadap perkara dan peristiwa yang kecil, dan pengingkaran terhadap kebangkitan jasad atau jasmani.

Al-Ghazali tidak menolak penggunaan akal dalam pembicaraan falsafah dan penghasilan ilmu pengetahuan yang lain. Sebaliknya beliau berpendapatan bahawa ilmu kalam dan penyelidikan menggunakan fikiran boleh menambahkan keyakinan dan menyalakan apt keimanan pada hati orang bukan Islam terhadap kebenaran ajaran Islam. Jadi, perkembangan sesuatu ilmu pengetahuan bukan sahaja bersandarkan kepuasan akal fikiran tetapi juga perlu mengambil kira aspek perasaan dan hati nurani. Al-Ghazali menganjurkan supaya umat Islam mencari kebenaran dengan menjadikan al-Quran sebagai sumber yang utama bukannya melalui proses pemikiran dan akal semata-mata.

Jadi, apa yang cuba dilakukan oleh Al-Ghazali ialah memaparkan kesalahan dan kepalsuan bidang pengetahuan yang bercanggah dengan agama serta bertentangan dengan pendirian umat Islam. Sekali gus menunjukkan bahawa Al-Ghazali sebenarnya merupakan seorang ahli falssafah Islam yang mencari kebenaran dengan berpandukan al-Quran dan hadis tidak sebagaimana pemikiran serta permainan logik yang lazim digunakan ahli falsafah Yunani. Perkara yang ditentang oleh Al-Ghazali bukan ahli falsafah dan pemikiran yang dibawakan oleh mereka tetapi kesalahan, kesilapan, dan kesesatan yang dilakukan oleh golongan tersebut. Pada Al-Ghazali, tunjang kepada pemikiran falsafah ialah al-Quran itu sendiri

4.2.2 Ibnu Khaldun[9]

a. Pengenalan dan Latarbelakang

Ibn Khaldun atau nama sebenarnya Wali al-Din Abd al-Rahman bin Muhammad bin Abu Bakar Muhammad bin al-Hasan lahir di Tunis pada 1 Ramadan 732H Keluarganya berasal daripada keturunan Arab Hadramaut yang pernah menetap di Serville, Italy, dan SepanyoL Akhirnya berpindah dan menetap di Afrika Utara semasa pemerintahan Hafs Abu Zakariyya, pemerintah Tunis pada waktu itu.

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, Ibn Khaldun mendapat pendidikan dalam pelbagai ilmu Islam seperti al-Quran, al'Hadith, perundangan Islam, kesusasteraan, falsafah, bahasa, dan mantik. Antara gurunya ialah Muhammad Ibrahim al-Abili, Abu Abd Allah al-Jayyani, Abd Allah Muhammad bin Abd al-Salam.

b. Sumbangan

Ibn Khaldun menjadi cendekiawan yang agung sehingga disanjung oleh Barat kerana buah fikirannya, Walau bagaimana pun jarang umat Islam mengkajinya. Sebenarnya, sumbangan pemikiran Ibn Khaldun dalam ekonomi banyak dimuatkan dalam hasil karya agungnya, al Muqaddimah. Antara teori ekonomi yang terdapat dalam karyanya masih lagi relevan dengan masalah ekonomi semasa.

Ibn Khaldun telah membincangkan beberapa prinsip dan falsafah ekonomi seperti al adl (keadilan), hardworking, kerjasama (cooperation), kesederhanaan (moderation), dan fairness.

Berhubung dengan keadilan (Justice), Ibn Khaldun telah menekankan bahawa keadilan merupakan tulang belakang dan asas kekuatan sesebuah ekonom. Apabila keadilan tidak dapat dilaksanakan, sesebuah negara akan hancur dan musnah.

Menurut beliau, ketidakadilan tidak sahaja difahami sebagai merampas wang atau harta orang lain tanpa sebarang sebab yang diharuskan. Malah, mengambil harta orang lain atau menggunakan tenaganya secara paksa atau membuat dakwaan palsu terhadap orang lain. Begitu juga kalau meminta seseorang melakukan sesuatu yang berlawanan dengan Islam.

Beliau mengkategorikan perampas harta orang lain secara tidak sah hingga memberi kesan kepada kehidupan isteri dan keluarga sebagai paling tidak adil. Menurut beliau lagi, seseorang yang membeli harta seseorang dengan harga yang paling murah termasuk dalam kategori memiliki harta cara yang tidak betul.

Ketidakadilan seumpama di atas membawa kepada kejatuhan sesebuah negara dan keruntuhan sesebuah tamadun dengan segera. Menurut Ibn Khaldun, atas sebab sebab tersebutlah semua bentuk ketidakadilan dilarang oleh Islam.

4.2.3 Al-Farabi[10]

a. Pengenalan dan Latarbelakang

Tulisan ahli falsafah Yunani seperti Plato dan Aristotle mempunyai pengaruh yang besar terhadap pemikiran ahli falsafah Islam. Salah seorang ahli falsafah Islam yang terpengaruh dengan pemikiran kedua tokoh tersebut ialah Al-Farabi.

Nama sebenarnya Abu Nasr Muhammad Ibnu Muhammad Ibnu Tarkhan Ibnu Uzlaq Al Farabi. Beliau lahir pada tahun 874M (260H) di Transoxia yang terletak dalam Wilayah Wasij di Turki. Bapanya merupakan seorang anggota tentera yang miskin tetapi semua itu tidak menghalangnya daripada mendapat pendidikan di Baghdad. Beliau telah mempelajari bahasa Arab di bawah pimpinan Ali Abu Bakr Muhammad ibn al-Sariy.

Selepas beberapa waktu, beliau berpindah ke Damsyik sebelum meneruskan perjalanannya ke Halab. Semasa di sana, beliau telah berkhidmat di istana Saif al-Daulah dengan gaji empat dirham sehari. Hal ini menyebabkan dia hidup dalam keadaan yang serba kekurangan.

Al-Farabi terdidik dengan sifat qanaah menjadikan beliau seorang yang amat sederhana, tidak gilakan harta dan cintakan dunia. Beliau lebih menumpukan perhatian untuk mencari ilmu daripada mendapatkan kekayaan duniawi. Sebab itulah Al-Farabi hidup dalam keadaan yang miskin sehingga beliau menghembuskan nafas yang terakhir pada tahun 950M (339H).

Walaupun Al-Farabi merupakan seorang yang zuhud tetapi beliau bukan seorang ahli sufi. Beliau merupakan seorang ilmuwan yang cukup terkenal pada zamannya. Dia berkemampuan menguasai pelbagai bahasa.

b. Sumbangan

Al-Farabi merupakan seorang pemuzik yang handal. Lagu yang dihasilkan meninggalkan kesan secara langsung kepada pendengarnya. Selain mempunyai kemampuan untuk bermain muzik, beliau juga telah mencipta satu jenis alat muzik yang dikenali sebagai gambus.

Kemampuan Al-Farabi bukan sekadar itu, malah beliau juga memiliki ilmu pengetahuan yang mendalam dalam bidang perubatan, sains, matematik, dan sejarah. Namun, keterampilannya sebagai seorang ilmuwan yang terulung lebih dalam bidang falsafah. Bahkan kehebatannya dalam bidang ini mengatasi ahli falsafah Islam yang lain seperti Al-Kindi dan Ibnu Rusyd.

Dalam membicarakan teori politiknya, beliau berpendapat bahawa akal dan wahyu adalah satu hakikat yang padu. Sebarang percubaan dan usaha untuk memisahkan kedua-dua elemen tersebut akan melahirkan sebuah negara yang pincang serta masyarakat yang kacau-bilau. Oleh itu, akal dan wahyu perlu dijadikan sebagai dasar kepada pembinaan sebuah negara yang kuat, stabil serta makmur.

Al-Farabi banyak mengkaji mengenai falsafah dan teori Socrates, Plato, dan Aristotle dalam usahanya untuk menghasilkan teori serta konsep mengenai kebahagiaan. Maka tidak hairanlah, Al-Farabi dikenali sebagai orang yang paling memahami falsafah Aristotle. Dia juga merupakan seorang yang terawal menulis mengenai ilmu logik Yunani secara teratur dalam bahasa Arab.

Meskipun pemikiran falsafahnya banyak dipengaruhi oleh falsafah Yunani tetapi beliau menentang pendapat Plato yang menganjurkan konsep pemisahan dalam kehidupan manusia.

Menurut Al-Farabi, seorang ahli falsafah tidak seharusnya memisahkan dirinya daripada sains dan politlk. Sebaliknya perlu menguasai kedua-duanya untuk menjadi seorang ahli falsafah yang sempurna. Tanpa sains, seorang ahli falsafah tidak mempunyai cukup peralatan untuk diekspolitasikan untuk kepentingan orang lain. Justeru, seorang ahli falsafah yang tulen tidak akan merasai sebarang perbezaan di antaranya dengan pemerintah yang tertinggi kerana keduanya merupakan komponen yang saling lengkap melengkapi. Dalam hal ini beliau mencadangkan agar diwujudkan sebuah negara kebajikan yang diketuai oleh ahli falsafah.

Pandangan falsafahnya yang kritikal telah meletakkannya sebaris dengan ahli falsafah Yunani yang lain. Dalam kalangan ahli falsafah Islam, beliau juga dikenali sebagai Aristotle kedua. Bagi Al-Farabi, ilmu segala-galanya dan para ilmuwan harus diletakkan pada kedudukan yang tertinggi dalam pemerintahan sesebuah negara.

Pandangan Al-Farabi ini sebenarnya mempunyai persamaan dengan falsafah dan ajaran Confucius yang meletakkan golongan ilmuwan pada tingkat hierarki yang tertinggi di dalam sistem sosial sesebuah negara.

Di samping itu, Al-Farabi juga mengemukakan banyak pandangan yang mendahului zamannya. Antaranya beliau menyatakan bahawa keadilan itu merupakan sifat semula jadi manusia, manakala pertarungan yang berlaku antara manusia merupakan gejala sifat semula jadi tersebut.

Pemikiran, idea, dan pandangan Al-Farabi mengenai falsafah politik terkandung dalam karyanya yang berjudul "Madinah al-Fadhilah". Perbicaraan mengenai ilmu falsafah zaman Yunani dan falsafah Plato serta Aristotle telah disentuhnya dalam karya " Ihsa* al-Ulum" dan "Kitab al-Jam".

Terdapat dua buku tidak dapat disiapkan oleh Al-Farabi di zamannya. Buku-buku itu ialah "Kunci Ilmu" yang disiapkan oleh anak muridnya yang bernama Muhammad Al Khawarismi pada tahun 976M dan "Fihrist Al-Ulum" yang diselesaikan oleh Ibnu Al-Nadim pada tahun 988M.

Al-Farabi juga telah menghasilkan sebuah buku yang mengandungi pengajaran dan teori muzik Islam, yang diberikan judul "Al-Musiqa" dan dianggap sebagai sebuah buku yang terpenting dalam bidang berkenaan.

Sebagai seeorang ilmuwan yang tulen, Al-Farabi turut memperlihatkan kecenderungannya menghasilkan beberapa kajian dalam bidang perubatan. Walaupun kajiannya dalam bidang ini tidak menjadikannya masyhur tetapi pandangannya telah memberikan sumbangan yang cukup bermakna terhadap perkembangan ilmu perubatan di zamannya.

Salah satu pandangannya yang menarik ialah mengenai betapa jantung adalah lebih penting berbanding otak dalam kehidupan manusia. Ini disebabkan jantung memberikan kehangatan kepada tubuh sedangkan otak hanya menyelaraskan kehangatan itu menurut keperluan anggota tubuh badan.

Sesungguhnya Al-Farabi merupakan seorang tokoh falsafah yang serba boleh. Banyak daripada pemikirannya masih relevan dengan perkembangan dan kehidupan manusia hari ini. Sementelahan itu, pemikirannya mengenai politik dan negara banyak dikaji serta dibicarakan di peringkat universiti bagi mencari penyelesaian dan sintesis terhadap segala kemelut yang berlaku pada hari ini.



1 CUS 1051 Pendidikan Islam. Bahagian Pendidikan Latihan Kemahiran MARA. hal 53.

2 Mustafa Hj. Daud. Tamadun Islam Edisi Maktab Perguruan. Utusan Publication Sdn Bhd. K.Lumpur 2000. halaman 4

3 Ibid 2 hal. 5

[1] Azhar Hj. Mad Aros. Azharudin Mohd Dali. Arba`iyah Mohd Noor. Salina Hj. Zainal. TITAS 1.

5 Esa Khalid. Konsep Tamadun Islam Sains dan Teknologi. UTM Skudai Johor Bharu 2001. hal. 15

6 Abu `Urwah. Risalah Usrah Jilid 1. Pustaka Salam . Kuala Lumpur 1988. hal. 91

9 Ibid 8. hal. 92

10 Mustafa hj. Daud. Tamadun Islam Edisi Maktab Perguruan. Utusan Publication Sdn. Bhd. Kuala Lumpur 2000. hal. 19

11 Hj Ahmad Fauzi Hj. Morad. Ahmad Tarmizi Talib. Tamadun Islam. UPM. Serdang 1997. hal. 5

12 Azhar Hj. Morad. Azharudin Mohd Dali dll. Titas 1. Fajar Bakti Sdn. Bhd. 2000. hal. 6.

13 Dr Yusuf al-Qardawi. Tamadun Islam Alternatif Masa Depan. Maktabah al-Qardhawi. Selangor. 1999. hal. 34.

14 ibid hal. 48

15 ibid hal. 75

16 ibid hal. 85

17 Ibid., hal. 92

18 Ibid., hal. 98

19 Ibid., hal. 99.

[6] http://alhakelantan.tripod.com/tokoh/pada 7 Jun 2006

[8] http://alhakelantan.tripod.com/tokoh/pada 7 Jun 2006

[9] http://alhakelantan.tripod.com/tokoh/pada 7 Jun 2006

[10] http://alhakelantan.tripod.com/tokoh/pada 7 Jun 2006