AHLAN WASAHLAN

Thursday, December 4, 2008

CUS 1051

Perbincangan untuk Program Qurban di IKM Lumut

PENGENALAN

Subjek Pengajian Islam disediakan untuk melahirkan warganegara khususnya pelajar Islam yang faham tasawwur Islam sebagai satu cara hidup yang bersepadu dan seimbang serta mampu menyelesaikan sebarang masalah dan cabaran. Peringkat pengajian semester ini pelatih akan belajar mengenai Islam dan konsep-konsep asas yang merangkumi pengertian Islam, iman dan ihsan, konsep Islam sebagai ad-din, asas-asas syariat Islam, maqasid syariah, tasawwur Islam, pandangan semesta Islam, konsep jihad dalam Islam serta Islam dan cabaran semasa.

OBJEKTIF PEMBELAJARAN

1. Mamahami pengertian Islam, iman dan ihsan serta beberapa konsep asas yang berkaitan.

2. Mempunyai tasawwur Islam yang jelas dan menghayati pandangan semesta Islam serta konsep-konsep yang terkandung di dalamnya.

3. Mempunyai kesedaran untuk melengkapkan diri bagi menghadapi dan menangani pelbagai cabaran kehidupan yang semasa.

HASIL PEMBELAJARAN

1. Menyatakan pengertian Islam, iman dan ihsan beserta dalil..

2. Menyatakan rukun Islam dan iman serta perkara-perkara yang membatalkan iman.

3. Menjelaskan konsep Islam sebagai ad-din.

4. Menjelaskan asas-asas syariat Islam yang merangkumi aspek akidah, syariah dan akhlak.

5. Menghuraikan prinsip-prinsip maqasid syariah.

6. Menjelaskan keistimewaan dan ciri-ciri utama Islam.

7. Menerangkan beberapa konsep yang terkandung dalam pandangan semesta Islam.

8. Menerangkan konsep jihad dalam Islam.

9. Menjelaskan isu keruntuhan akhlak sebagai cabaran semasa Islam.

BAB 1: PENGERTIAN ISLAM, IMAN DAN IHSAN

HASIL PEMBELAJARAN

Di akhir sesi pengajaran dan pembelajaran pelatih seharusnya dapat:

1. Menyatakan pengertian Islam.

2. Menyenaraikan dan menjelaskan rukun-rukun Islam.

3. Menyatakan pengertian iman.

4. Menyenaraikan dan menjelaskan rukun-rukun iman.

5. Menerangkan tahap-tahap iman.

6. Menjelaskan sebab-sebab yang membatalkan iman berserta contoh.

7. Menyatakan pengertian ihsan.

1.1 ISLAM

1.1.1 PENGERTIAN ISLAM

Dari segi bahasa, perkataan ‘Islam’ berasal daripada kata kerja ‘Salam’ yang mengandungi empat makna iaitu:[1]

i. Tunduk dan berserah

ii. Selamat

iii. Damai, aman atau sejahtera

iv. Taat dan menyerah

Namun dari segi istilah syarak pula, ia membawa maksud mentauhidkan Allah s.w.t, patuh, tunduk dan jujur hati kepada Nya serta beriman dengan ajaran Allah s.w.t yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w dengan perintah Allah s.w.t.[2]

1.1.2 DALIL

Firman Allah s.w.t yang berbunyi:

وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam.”

Fussilat (41):33

1.1.3 RUKUN ISLAM

Rukun Islam ada lima iaitu:

Pertama: Mengucap Dua Kalimah Syahadah

Mengucap dua kalimah syahadah merupakan syarat penerimaan seseorang itu memeluk Islam. Tanpa mengucap dua kalimah syahadah seseorang itu belum diterima keislamannya dan segala amal perbuatannya tidak diterima dan tidak dianggap sebagai ibadah.

Berikut adalah lafaz syahadah serta pengertiannya:

Maksudnya:

“Aku bersaksi bahawasanya tidak ada tuhan yang disembah melainkan Allah dan aku bersaksi bahawasanya Nabi Muhammad s.a.w. itu pesuruh Allah.”

Syahadah atau ucapan kepercayaan, adalah pernyataan kepercayaan dalam keesaan Tuhan (Allah) dan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai rasulnya. Mengucap dua kalimah syahadah merupakan salah satu daripada lima Rukun Islam. Apabila dinyatakan dengan kuat secara ikhlas, seseorang itu secara rasmi dianggap mengisytiharkan diri sebagai penganut baru Islam. Dengan syahadah, kita mengabdikan diri dengan hati dan sanubari dan dengan pengakuan lidah bahawa Tuhan yang Maha Esa itu adalah Allah s.w.t dan Nabi Muhammad adalah pesuruh-Nya.

Kedua: Mendirikan Solat

Solat adalah rukun Islam yang kedua yang wajib ditunaikan oleh setiap orang Islam. Solat Fardhu yang wajib didirikan ialah solat ima waktu sehari semalam. Sesiapa yang mendirikan solat akan mendapat pahala dan sesiapa yang meninggalkannya mendapat dosa dan azab yang pedih di akhirat. Dengan sembahyang kita mengabdikan seluruh tubuh badan kita menyembah-Nya. Mulai dari lidah yang membaca, tangan bergerak, mata, telinga dan fikiran terpusat dengan susunan rukun sembahyang yang diajar oleh Nabi Muhammad s.a.w.

Ketiga: Berpuasa sebulan di bulan Ramadhan

Puasa ertinya menahan diri daripada makan dan minum dan dari segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa, mulai dari terbit fajar hinggalah terbenam matahari. Ibadah ini diwajibkan ke atas umat Islam pada bulan Ramadhan. Umat Islam juga dikehendaki menahan diri daripada menipu, berkata-kata yang buruk atau sia-sia, dan daripada bertengkar atau bergaduh. Ini kerana puasa merupakan medan latihan kesabaran, kejujuran dan bertolak ansur sesama sendiri. Ibadah puasa secara tidak langsung menolong menanam sikap yang baik dan berbudi. Dan kesemuanya itu diharapkan berlanjutan ke bulan-bulan berikutnya, dan tidak hanya pada bulan puasa.

Dengan berpuasa, kita mengabdikan hawa nafsu dan segala keinginan kita kepada Allah dengan menahan nafsu makan dan minum serta menjauhkan larangan-Nya. Ini secara langsung akan melahirkan rasa keinsafan serta meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t. Ibadah puasa ini diwajibkan ke atas umat Islam pada bulan Ramadhan.

Keempat: Mengeluarkan Zakat

Zakat dari segi syarak bermaksudmengeluarkan sebahagian harta atau hak milik kepada mereka yang layak menerimanya dengan kadar tertentu setelah mencukupi nisabnya dan sampai masanya satu tahun atau setelah sempurna menuai (bagi tanam-tanaman). Ada pelbagai jenis zakat iaitu zakat fitrah, zakat harta, perniagaan dan beberapa lagi. Zakat ialah lebihan harta yang ada pada setiap individu yang terlibat.

Zakat ini mesti dibayar kerana ia akan digunakan untuk kerja kebajikan seperti memberi bantuan kepada fakir miskin dan golongan yang memerlukan. Pembayaran zakat dibuat oleh seseorang Muslim dari harta/ pendapatan/ perniagaan/ tanaman/ ternakannya sama ada dalam bentuk wang atau bijian atau ternakan, dengan kadar tertentu bergantung kepada jenis harta, yang diserah kepada pihak berkuasa yang mengutip zakat, untuk diagih kepada lapan asnaf iaitu golongan-golongan yang berhak menerima zakat. Dengan zakat, kita mengabdikan kepada Allah dengan menyerahkan sebahagian daripada harta milik kita kepada mereka yang berhak menerimanya.

Kelima: Menunaikan Haji di Baitullah

Haji dalam syarak ialah mengunjungi Baitullah Al-Haram di dalam bulan haji kerana mengerjakan tawaf, sai’e dan wukuf di Arafah dengan menurut syarat-syaratnya serta menunaikan segala yang wajibnya. Haji diwajibkan sekali sahaja seumur hidup ke atas setiap orang Islam yang memenuhi syarat berikut iaitu:

i. Baligh

ii. Berakal

iii. Merdeka

iv. Berkuasa sama ada lelaki atau perempuan

Dengan mengerjakan haji, kita menyembah Allah dengan harta kekayaan milik kita. Ibadah haji adalah puncak pengabdian insan muslim terhadap Allah s.w.t. setelah ia memenuhi tuntutan syahadah, menunaikan ibadah anggota tubuh badan iaitu solat, menundukkan hawa nafsu menerusi puasa dan memenuhi kewajipan ke atas hartanya menerusi amalan berzakat.

1.2 IMAN

1.2.1 PENGERTIAN IMAN

Dari segi bahasa perkataan iman berasal daripada kata dasar bahasa arab ( ﺍﻤﻦ ) yang bermaksud aman atau membentuk keadaan aman dan tenteram.

Dari segi istilah tauhid, iman membawa pengertian membenarkan dengan hati, berikrar dengan lidah dan beramal dengan segala ajaran yang disampaikan oleh baginda Rasulullah s.a.w.

Namun Imam al-Ghazali telah mentakrifkan iman sebagai pengakuan dengan lidah, membenarkan pengakuan itu dengan hati dan mengamalkannya dengan anggota badan.

1.2.2 DALIL

************************

Maksudnya:

Dan mereka berkata: “Kami tidak sekali-kali akan percaya kepadamu (wahai Muhammad).”

Surah al-Isra’( ): 90

1.2.3 RUKUN IMAN

Rukun iman ada enam, iaitu:

Pertama: Beriman Kepada Allah

Mengenai keimanan kepada Allah s.w.t. itu, banyak sekali disentuh di dalam al-Quran yang menjadi sumber asasi ajaran agama Islam. AI-Quran bukan sahaja menegaskan tentang adanya Allah s.w.t. malah menerangkan ajaran Islam mengenai ketuhanan iaitu bagaimana corak dan bentuk kepercayaan kita kepada Allah s.w.t.

Kepercayaan kepada Allah s.w.t. bererti kita mempercayai Allah s.w.t. itu ada dan ia adalah Esa dan tidak ada yang serupa dengan-Nya. Ini dijelaskan dalam ayat berikut:

Maksudnya:

“Katakanlah : Dialah Allah, Yang Maha Esa, Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu. Dia tidak beranak dan tidak pula diperanakkan, dan tidak ada seorang pun yang setara dengan Dia.”

Al-Ikhlas (112): 1-4

Beriman kepada Allah s.w.t. juga bermaksud percaya kepada sifat‑sifat Allah s.w.t., percaya Dialah yang menjadikan alam ini, percaya Dia yang menghidupkan dan mematikan serta pemberi rezeki, percaya bahawa semua makhluk adalah miliknya. Yakin bahawa Dia sahaja yang berhak disembah serta beribadah, dan melakukan kegiatan hidup ini kerana Allah s.w.t. dengan cara yang tidak berlawanan dengan peraturan Allah s.w.t.

Semua makna keimanan ini terkandung dan disimpulkan dalam kalimah syahadah dan pengakuan setiap muslim iaitu:

“Mengenali dan mengakui ketuhanan Allah s.w.t. bukan hanya sekadar mempercayai Allah s.w.t. serta kekuasaan-Nya sahaja, tetapi hendaklah diikuti dengan menyembah Allah s.w.t. dan sekiranya tidak menunaikan kewajipan yang sebenar maka samalah seperti orang-orang jahiliyah.”

Cara mengenali Allah s.w.t. ialah, dengan cara kita meneliti segala kejadian alam di muka bumi ini. Penelitian tersebut mestilah dengan menggunakan akal fikiran kerana Islam melarang tanpa menggunakan akal fikiran. Setelah kita meneliti kejadian di muka bumi ini maka barulah kita mengenali siapa yang menjadikan serta kekuasaan-Nya yang meliputi seluruh sekalian alam.

Kedua: Beriman Kepada Malaikat

a. Pengertian

Beriman kepada malaikat bererti meyakini sepenuhnya bahawa malaikat itu ada dan diciptakan oleh Allah s.w.t. daripada cahaya (nur). Mereka tidak pernah menentang perintah Allah s.w.t., malah sentiasa istiqamah kepada jawatan atau tugas yang telah mereka terima daripada Allah s.w.t. sehingga sikap mereka sesuai dengan apa yang diharapkan oleh-Nya.[3]

AI-Quran telah menerangkan tentang malaikat seperti berikut:

i. Makhluk Allah s.w.t. yang dijadikan daripada nur.

ii. Tidak berbadan seperti manusia-Ielaki dan perempuan.

iii. Tidak makan dan minum.

iv. Tidak pernah membuat sebarang kesalahan atau dosa.

v. Boleh menjelma dengan bermacam rupa.

vi. Mereka dijadikan semata-mata untuk menjalankan perintah Allah s.w.t.

Percaya dengan adanya malaikat tidak dapat dikesan dengan penyelidikan dan permikiran. Sumber pengetahuan tentang malaikat adalah daripada aI-Quran dan hadis. Kedua-duanya adalah benar dan tidak palsu. Manusia tidak dapat menafikan hakikat adanya malaikat itu semata-mata kerana tidak dapat dilihat atau tidak dapat mengkaji. Banyak benda-benda yang terdapat di dunia ini tidak dapat diketahui oleh manusia, tetapi tidak boleh dikatakan benda itu tidak ada. Kelemahan manusia hanyalah malaikat ini tidak dapat dilihat dengan pancaindera atau mengesan dengan percubaan, atau pengkajian tidak boleh menjadi alasan bagi membuktikan bahawa ianya tidak ada. Percaya kepada malaikat adalah percaya kepada perkara-perkara ghaib yang menjadi petanda utama dari orang-orang yang bertakwa.

Malaikat adalah makhluk yang suci daripada syahwat, terhindar daripada keinginan hawa nafsu dan daripada perbuatan dosa. Mereka tidak seperti manusia, bukan lelaki dan perempuan, mereka mempunyai amalan tersendiri dalam bidang-bidangnya dan tidak ada sifat manusia seperti hubungan dengan kebendaan.

Malaikat dijadikan daripada cahaya, jin daripada percikan api dan Adam a.s. daripada tanah sebagaimana yang telah diterangkan. Allah s.w.t. menciptakan malaikat lebih dahulu daripada mencipta manusia, sebelum itu Allah s.w.t. telah memberitahu kepada seluruh malaikat bahawa manusia itu hendak diciptakan sebagai khalifah di atas muka bumi ini. Tempat kediaman malaikat adalah di langit, tetapi ia akan turun apabila mendapat perintah daripada Allah s.w.t.

b. Bilangan Malaikat

Bilangan malaikat adalah banyak, namun yang wajib diketahui ialah sepuluh iaitu:

i. Jibril - Ketua segala malaikat dan menyampaikan wahyu

ii. Mikail - Pemberi rezeki dan menurunkan hujan

iii. Israfil - Meniupkan sangkakala / nafiri kiamat

iv. Izrail - Mengambil nyawa orang yang hendak mati

v. Munkar - Menyoal orang mati

vi. Nakir - Menyoal orang mati

vii. Raqib - Mencatat amalan kebajikan

viii. ‘Atid - Mencatat amalan kejahatan

ix. Malek - Menjaga neraka

x. Redhuan - Menjaga pintu syurga

Ketiga: Beriman Kepada Kitab

a. Pengertian Kitab Dan Jumlahnya

Kitab ialah tulisan yang mengandungi perintah Allah s.w.t. yang menjadi syariat kepada manusia mengikut zamannya yang tertentu. Oleh itu beriman dengan kitab bermaksud kita yakin dan percaya bahawa Allah s.w.t. menurunkan beberapa kitab kepada para Rasul-Nya untuk menjadi panduan hidup manusia dari segi pengajaran, peraturan, undang-undang dan sebagainya. Kitab-kitab yang diturunkan ialah:

i. Taurat yang diturunkan kepada Nabi Musa a.s.

ii. Zabur yang diturunkan kepada Nabi Daud a.s.

iii. Injil yang diturunkan kepada Nabi Isa a.s.

iv. AI-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w.

Selain daripada kitab-kitab tersebut, wahyu Allah juga diturunkan dalam bentuk sahifah atau halaman. Jumlah sahifah yang diturunkan adalah sebanyak 100 dan Nabi-Nabi yang menerimanya adalah seperti berikut:[4]

i. Nabi Syits a.s. - 60 suhuf

ii. Nabi Ibrahim a.s. - 30 suhuf

iii. Nabi Musa a.s. - 10 suhuf

Tetapi yang ada sehingga sekarang hanya al-Quran sahaja kerana Taurat, Zabur dan Injil hanya ada pada nama sahaja. Ini kerana isi kandungannya telah banyak diubah dan diganti oleh penganutnya yang lain sehingga tidak dapat dibezakan antara yang benar dan yang salah. Kitab yang masih ada samada dari segi nama dan hakikatnya hanyalah al-Quran sahaja. Oleh itu beriman kepada al-Quran adalah mempercayai bahawa ia merupakan kitab Allah s.w.t. yang terakhir.

Firman Allah s.w.t.:

Maksudnya:

“Allah tidak ada Tuhan melainkan Dia, Dia yang hidup, yang berdiri, Dia menurunkan kitab kepada engkau dengan sebenarnya serta membenarkan kitab yang sebelumnya, dan dia menurunkan Taurat dan Injil.”

Ali-‘Imran (3):2-3

Keempat: Beriman Kepada Rasul

a. Pengertian Dan Tugas Rasul

Rasul dari segi bahasa bermaksud utusan. Dari segi istilah pula, Rasul bererti lelaki yang diberi wahyu oleh Allah s.w.t. untuk diamalkan dan disampaikan kepada orang lain, dikurniakan mukjizat sebagai tanda kerasulannya dan bersifat dengan sifat ma’sum.”[5]

Orang yang menerima wahyu daripada Allah s.w.t. disebut Nabi. Nabi yang disuruh oleh Allah s.w.t. untuk menyampaikan wahyu dalam bentuk syariat dikenali pula sebagai Rasul. Sebab itulah seorang Rasul itu adalah Nabi tetapi seorang Nabi itu belum tentu menjadi Rasul. Rasul-rasul yang disebutkan di dalam al-Quran adalah sebanyak 25 orang, manakala Nabi pula jumlahnya adalah banyak. Namun, menurut satu riwayat jumlah Nabi itu adalah sebanyak 124,000 orang.

Kepercayaan kepada Rasul-rasul adalah salah satu daripada rukun iman. Setiap orang Islam wajib percaya bahawa Allah s.w.t. telah mengutuskan Rasul-rasul dari kalangan manusia untuk memberi khabar baik terhadap mereka yang melakukan kebaikan dan ancaman bagi mereka yang melakukan kejahatan.

Para Rasul menjalankan tugasnya dengan memperkenalkan Allah s.w.t yang maha esa dan mereka menyampaikan undang-undang serta larangan dan suruhan Allah s.w.t. Untuk menyokong mereka, Allah s.w.t. telah memberikan kepada mereka berbagai-bagai mukjizat supaya manusia membenarkan seruan mereka.

b. Sifat Wajib Rasul

Sifat-sifat yang ada pada Rasul semuanya mengandungi kemuliaan. Namun sifat wajib bagi Rasul hanyalah empat iaitu:

i. Al-Siddiq - Benar

ii. Al-Amanah - Jujur

iii. Al-Tabligh - Menyampaikan

iv. Al-Fathanah - Bijaksana

Kelima: Beriman Kepada Hari Akhirat

a. Pengertian

Dari segi bahasa hari akhirat bermaksud hari akhir. Namun dari segi istilah ia bererti hari penghabisan kepada alam ini di mana segala isi kandungannya akan hancur dan rosak dan digantikan dengan alam baru yang kekal selama-lamanya. Hari akhirat juga dinamakan dengan hari kiamat.[6]

Beriman kepada hari akhirat atau kiamat ini ialah beriktikad dan meyakini sebenar-benarnya bahawa hari tersebut pasti akan terjadi tanpa diragukan kebenarannya. Hanya waktu datangnya sahaja tidak seorang manusia pun yang dapat mengetahuinya, sekalipun Nabi Muhammad s.a.w. sendiri yang merupakan kekasih Allah s.w.t., begitu juga para malaikat. Perkara yang dapat diketahui hanya tanda-tandanya sahaja seperti tanda-tanda kecil (sughra) dan tanda-tanda besar (kubra).[7]

b. Dalil

Firman Allah s.w.t.:

Maksudnya:

“.....dan mereka yakin akan adanya (kehidupan) akhirat.”

Al-Baqarah (2): 4

c. Tanda-Tanda Berlaku Hari Kiamat

Tanda-tanda Awal Atau Kecil

i. Pemerintah-pemerintah terdiri daripada orang yang tidak lagi mementingkan agama dan penyebarannya. Mereka hanya pentingkan harta kekayaan.

ii. Orang jahil bercakap mengenai agama sedangkan orang alim diam membisu.

iii. Manusia tidak segan silu melakukan zina secara terangan.

iv. Kejahatan dilakukan sewenang-wenangnya sedangkan kebaikan dijauhi sekali.

v. Orang keturunan miskin dan hina akan menjadi kaya raya dengan mendirikan bangunan bangunan yang tinggi.

vi. Banyak berlakunya pergaduhan, perkelahian dan peperangan di antara umat manusia di alam ini.

vii. Banyak berlaku bencana alam seperti gempa bumi, tanah runtuh, banjir besar dan sebagainya.

viii. Perempuan lebih ramai daripada lelaki.

ix. Negeri yang kecil dikenali seluruh dunia.

x. Wujudnya bangunan-bangunan pencakar langit.

Tanda-Tanda Akhir Atau Besar

i. Lahirnya Dajjal yang merosakkan agama.

ii. Hapusnya al-Quran daripada mashaf.

iii. Turunnya Imam Mahdi.

iv. Turunnya Nabi Isa a.s. membela kebenaran.

v. Keluarnya binatang yang dapat bercakap seperti manusia.

vi. Keluarnya asap tebal dan menyelubungi bumi ini selama 40 hari.

vii. Runtuhnya kaabah.

viii. Matahari terbit di sebelah barat.

ix. Bulan dan matahari berlanggaran di antara satu sama lain

Keenam: Beriman Kepada Qadha dan Qadar

Beriman dengan qadha’ dan qadar ialah mempercayai bahawa segala sesuatu yang terjadi dan peristiwa yang berlaku adalah menurut ketentuan dan ketetapan Allah s.w.t.[8] Manusia dijadikan oleh Allah s.w.t. dan Dialah yang menentukan perjalanan gerak-geri kelakuan. Segala yang berlaku semuanya ditentukan oleh-Nya.

Firman Allah s.w.t.:

Maksudnya:

“Dan kamu tidak dapat mengkehendakki (menempuh Jalan itu) kecuali apabila dikehendaki Allah.”

Al-Takwir (81): 29

a. Pengertian Qadha’ Dan Qadar Serta Dalil

Qadha ialah perlaksanaan ke atas setiap ketentuan oleh Allah s.w.t. sejak azali lagi. Qadar pula ialah suatu ketentuan dan ketetapan Allah s.w.t. untuk menjadi dasar alam ini di mana terdapat undang-undang atau hubungan antara sebab dan akibat. Contohnya ialah api yang sifatnya membakar dikenali sebagai qadar dan apabila ia didekatkan dengan minyak, kertas dan seumpamanya akan menghasilkan kebakaran dan itu dikatakan sebagai qadha’. Terbakar kertas itu pula dinamakan perlaksanaan qadha’.

Selain itu, qadha’ juga bermaksud perlaksanaan yang pasti berlaku ke atas setiap makhluk sesuai dengan batas-batas yang telah ditentukan oleh Allah s.w.t. sejak azali lagi, samada yang baik ataupun yang buruk. Semua yang berlaku adalah menurut kehendak Allah s.w.t. dan hanya akan diketahui oleh manusia setelah ianya terjadi.

Dalam menentukan ketetapan manusia, Allah s.w.t. membenci sikap dan amalan manusia yang buruk. Ikhtiar dan usahanya merupakan kemampuan-kemampuan yang ada padanya. Oleh itu Allah s.w.t. mewajibkan manusia berusaha ke arah kebaikan dan menetapkan peranan usaha di dalam menentukan nasib mereka. Sekiranya baik yang diusahakan maka baiklah ia, dan begitulah sebaliknya.

Firman Allah s.w.t.:

Maksudnya:

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum itu sehingga mereka sendiri mengubah apa yang ada pada dirinya sendiri”

Al-Ra’du (13):11

Berdasarkan pengertian ayat tersebut maka mustahil sesuatu cita-cita itu berhasil jika seseorang itu hanya berpeluk tubuh sahaja tanpa berusaha.

b. Salah Faham Tentang Konsep Qadha’ Dan Qadar

Antara beberapa bentuk salah faham tentang konsep qadha’ dan qadar yang boleh memundurkan umat Islam ialah:

i. Menyerah bulat-bulat untung nasib kepada Allah s.w.t. tanpa sebarang usaha dan ikhtiar. Mereka mengatakan tidak perlu berusaha kerana rezeki telah ditetapkan oleh Allah s.w.t. semenjak azali lagi, seperti kata pepatah ”kalau rezeki secupak tidak akan jadi segantang”.

ii. Tidak perlu beramal ibadat menunaikan perintah Allah s.w.t. dan menjauhi larangan-Nya. Bagi mereka takdir telah menentukan sejak azali samada ke syurga ataupun ke neraka. Sekiranya sudah ditakdirkan ke neraka maka tiada faedahnya beribadat dan mentaati Allah s.w.t.

iii. Meletakkan kesalahan kepada takdir apabila melakukan sesuatu keburukan atau kejahatan. Contoh seseorang itu berkata: “Apa boleh buat, saya sudah ditakdirkan menjadi kaki judi”, dan sebagainya.

iv. Menggunakan takdir sebagai helah untuk melakukan kejahatan atau mengingkari perintah Allah s.w.t. Mereka menggunakan alasan bahawa Allah s.w.t. telah menetapkan sejak azali lagi kejahatan ke atas diri mereka, dan bukan dengan kehendak mereka.

1.2.4 PEMBAHAGIAN IMAN

Secara umumnya, iman dapat dibahagikan kepada beberapa jenis atau tahap iaitu:

i. Iman yang tetap iaitu iman yang tidak bertambah dan tidak berkurang seperti iman para malaikat.

ii. Iman yang sentiasa bertambah iaitu iman para Nabi dan Rasul.

iii. Iman boleh bertambah dan boleh berkurang iaitu iman semua orang mukmin yang disebabkan mereka taat dan keingkaran kepada perintah Allah s.w.t.

iv. Iman yang sentiasa berkurangan iaitu iman orang-orang fasik.

v. Iman yang ditolak (mardud) iaitu iman orang-orang munafik (yang beriman pada zahir sahaja).

1.2.5 PERKARA YANG MEMBATALKAN IMAN

Perkara yang membatalkan iman dapat dikategorikan kepada tiga sebab utama iaitu melalui iktikad, perbuatan dan perkataan.[9]

a. Iktikad

i. Tidak mengakui bahawa Allah s.w.t. adalah tuhan yang berhak disembah.

ii. Tidak mengakui atau ragu-ragu bahawa Nabi Muhammad s.a.w. adalah utusan Allah s.w.t. atau mengingkari salah seorang daripada Rasul-rasul yang terdahulu daripada baginda.

iii. Tidak mengakui bahawa al-Quran itu diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. dengan perantaraan malaikat Jibrail.

iv. Tidak mempercayai atau meragui hukum-hukum Allah s.w.t. yang disebut dalam al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w.

v. Tidak mengakui adanya malaikat-malaikat dan segala urusan yang diserahkan oleh Allah s.w.t. kepada para malaikat itu.

vi. Tidak mengakui atau ragu-ragu bahawa hari kiamat itu akan datang dan yang berkaitan dengannya seperti syurga, neraka dan lain-lain.

vii. Tidak mempercayai qadha’ dan qadar iaitu buruk dan baik semuanya ditentukan dan datang daripada Allah s.w.t.

viii. Tidak mengakui atau ragu-ragu dalam menerima ijmak para sahabat Nabi s.a.w. dalam perkara yang berkaitan dengan hukum-hukum agama.

ix. Menghalalkan perkara-perkara yang telah diharamkan oleh Allah s.w.t. dengan dalil-dalil qat’ie seperti menghalalkan zina, minum arak, makan riba dan sebagainya.

x. Mengharamkan perkara-perkara yang telah dihalalkan oleh Allah s.w.t. dengan dalil-dalil qat’ie seperti jualbeli, berkahwin, sewa menyewa dan sebagainya.

xi. Mengingkari perkara-perkara yang diketahui oleh semua orang Islam sebagai suatu perkara yang telah ditentu dan ditetapkan dalam agama seperti mengingkari bilangan waktu solat atau bilangan rakaatnya.

xii. Tidak mengakui kewajipan yang telah disabitkan dengan dalil-dalil qat’ie seperti sembahyang lima waktu sehari semalam, puasa sebulan Ramadan, zakat dan haji.

b. Perbuatan

i. Sujud menyembah berhala.

ii. Sujud menyembah matahari dan bulan.

iii. Sujud kepada makhluk-makhluk yang lain seperti sujud kepada manusia, haiwan, kayu dan batu.

iv. Membuang al-Quran atau hadis Nabi s.a.w. ke dalam najis atau memijak-mijaknya untuk tujuan menghinanya.

c. Perkataan

i. Mengatakan Allah s.w.t. bersekutu dan berbilang-bilang atau mengatakan Allah s.w.t. tidak berkuasa apa-apa ke atas alam ini.

ii. Mengatakan syariat Islam yang diturunkan oleh Allah s.w.t. bukan untuk mengatur perhubungan di antara individu dengan masyarakat dan negara.

iii. Mengatakan hukum-hukum Islam tidak wajib dilaksanakan pada masa sekarang kerana tidak sesuai dengan keadaan hidup masyarakat pada hari ini.

iv. Mengatakan sebahagian hukum-hukum Islam tidak sesuai lagi digunapakai pada zaman sekarang.

v. Mengatakan undang-undang ciptaan manusia lebih baik daripada undang-undang Allah s.w.t.

vi. Mengatakan tafsiran ayat-ayat al-Quran oleh para ulama yang terdahulu tidak sesuai lagi digunakan sebagai dasar hukum Islam pada hari ini, dan menganjurkan ulama-ulama hari ini supaya membuat tafsiran semula mengikut keadaan dan suasana kehidupan umat serta kedudukan negara masa kini.

vii. Mengatakan bahawa qadha’ dan qadar (takdir dan ketentuan Allah s.w.t.) bukan datang daripada-Nya, namun ia datang daripada makhluk itu sendiri atau daripada kekuatan alam.

viii. Mengatakan Allah s.w.t. adalah salah satu daripada tiga tuhan iaitu Isa, Maryam dan Ruhul Qudus.

1.3 EHSAN

1.3.1 PENGERTIAN

Dari segi bahasa ia bermaksud berbuat kebaikan kepada orang lain atau mengerjakan dengan sesuatu perbuatan dengan baik dan tekun.[10]

Dari segi istilah pula, perkataan ehsan mempunyai berbagai-bagai takrifan. Antaranya ialah:

i. Mengelokkan perbuatan zahir dengan ibadat dan mengelokkan perbuatan batin dengan ikhlas.

ii. Melakukan ketaatan seolah-olah engkau melihat Allah dan jika engkau tidak melihat Allah, maka Allah tetap melihat engkau.

iii. Mendekatkan diri kepada Allah s.w.t dalam setiap keadaan dan urusan.[11]

1.3.2 DALIL

Firman Allah s.w.t. yang berbunyi:

*************************

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan (ihsan).”



[1] Ab. Latif bin Muda, Pengantar Ilmu Tauhid, Pustaka Salam, Kuala Lumpur, 1998, hal. 58.

[2] Ibid., hal. 60.

Muhammad Na’im Yasin (Dr) (1996), Persoalan Iman Dan Perkara-perkara Yang Merosakkannya (Terjemahan oleh Mohd Sofwan Amrullah), Selangor: Pustaka Ilmi, hal. 63.

[4] Muhammad Isa Selamat, Sifat 20: Sifat-sifat Allah Dan Mentauhidkan Diri Kepada-Nya, Darul Nu’man, Kuala Lumpur, 1995, hal. 212.

[5] Ibid, hal. 139.

[6] Ibid, hal.196.

[7] Muhammad Isa Selamat, Op. Cit., hal. 220.

[8] Abd. Razak Mat Saat (Hj) (1989), Nota-nota Panduan Pengetahua Agama Islam, Jurnamin Enterprise, hal. 141.

[9] Mustafa Abd.Rahman, Hadis Empat Puluh, Dewan Pustaka Fajar, Kuala Lumpur, 2000 , hal.113.

[10] Mustafa Abd.Rahman, Hadis Empat Puluh, Dewan Pustaka Fajar, Kuala Lumpur, 2000 , hal.113.

[11] Sheikh Abdullah Mohd Basmih, Muqaddimah Mastika Hadis, BAHEIS, Kuala Lumpur, 1986, hal. 52.

No comments: