AHLAN WASAHLAN

Monday, January 12, 2009

E/TUS 2151



BAB 5

SENI DAN KEINDAHAN

5.1 Konsep Seni

5.1.1 Definisi Seni

Eugene Johnson di dalam ‘The Encylopedia Americana’ menjelaskan seni sebagai kemahiran, misalnya seni pertukangan yang membawa erti sebagai kemahiran ukiran dan pertukangan. Dari segi istilah ilmu berkebudayaan ia membawa erti sebagai segala sesuatu yang indah, iaitu keindahan yang dapat menggerakkan jiwa, kemesraan, menimbulkan keharuan, ketakjuban, kesenangan atau sebaliknya iaitu dendam, benci, cemas dan sebagainya.[1]

Drs. Sidi Gazalba di dalam bukunya ‘Pandangan Islam Tentang Kesenian’ menjelaskan bahawa kesenian adalah sebahagian daripada kebudayaan yang dicetuskan oleh sesuatu kelompok manusia kerana setiap kelompok masyarakat mempunyai fitrah semula jadi yang cinta kepada seni yang menyenangkan hati melalui pancaindera rasa yang lima. Justeru itu, manusia dikatakan sebagai makhluk seni yang cinta kepada sesuatu yang selamat, memuaskan dan memberi kepuasan hati melalui pancaindera rasa.[2]

5.1.2 Pembahagian seni

Seni secara ringkas dapat dibahagikan kepada empat bahagian utama:

i. Seni melalui pendengaran seperti muzik, deklamasi puisi, prosa, seni suara dan sebagainya.

ii. Seni yang diperolehi melalui penglihatan mata seperti seni lukis, seni hias, seni bina, seni pakaian dan sebagainya.

iii. Seni yang dapat diperolehi melalui pendengaran dan penglihatan seperti drama, tablo, teater, filem dan sebagainya.

iv. Seni yang dinikmati melalui bacaan seperti hasil karya sastera yang berbentuk puisi dan prosa.

5.1.3 Seni Menurut Islam

Keindahan merupakan salah satu ciri keesaan, kebesaran dan kesempurnaan Allah s.w.t. Ia merupakan salah satu sifat kesempurnaan-Nya dan Allah menyintai keindahan. Manusia dijadikan sebagai makhluk-Nya yang paling indah dan paling sempurna. Bumi yang merupakan tempat manusia itu ditempatkan juga dihiasi dengan segala keindahan.[3] Perkara ini dijelaskan melalui firman Allah s.w.t:

Maksudnya: “Allah (Pemberi) cahaya (kepada) langit dan bumi”.

Al-Nur (24): 35

Allah s.w.t. bukan sekadar menjadikan manusia sebagai makhluk terindah yang mengatasi segala makhluk yang lain, malah Allah s.w.t. juga menjadikan naluri cinta kepada keindahan di dalam diri manusia. Di sinilah letaknya salah satu keistimewaan manusia, iaitu makhluk yang cinta kepada keindahan atau kesenian yang tidak dimiliki oleh makhluk yang lain samada malaikat, jin atau haiwan. Manusia menyenangi segala keindahan terhadap sesuatu yang berkaitan dengan hidup di dalam segala bidang kesenian.

Islam sebagai al-Deen yang serba-serbi lengkap juga mengambilkira hal kesenian di dalam perundangannya. Justeru itu Islam telah datang untuk menyempurnakan fitrah semula jadi manusia yang cinta kepada kesenian dengan menentukan garis panduan seni yang diredai oleh Allah s.w.t iaitu segala kesenian yang tidak bercanggah dengan akidah, syarak dan akhlak.

Seni yang diterima oleh Islam dapat dibezakan daripada seni yang bertentangan dengannya dengan berdasarkan kepada niat penciptaan dan nilai akidah, syarak dan akhlak yang dijelmakan oleh kesenian tersebut. Kesenian Islam dicetuskan dengan niat untuk mendapatkan keredaan Allah s.w.t. Sedangkan kesenian yang tidak berbentuk Islam diciptakan untuk tujuan takbur, riak, menaikkan nafsu syahwat, merosakkan akidah, syarak dan akhlak. Hal ini dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. di dalam hadith yang bermaksud:

“Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tidak masuk syurga sesiapa yang di hatinya mempunyai perasaan takbur dan tidak masuk neraka sesiapa yang di hatinya mempunyai sebesar atom daripada iman“. Maka berkata seorang lelaki: “Sesungguhnya saya sukakan pakaian saya indah dan saya perindahkan apakah itu takbur” Rasulullab s.a.w. menjawab: “Sesungguhnya Allah itu Maha Indah. Dia suka kepada keindahan. Takbur ialah sombong tidak mahu menerima yang hak dan memandang hina kepada manusia.”

(Riwayat Muslim)

Dalam pengertian yang lain, seni Islam ialah seni yang mementingkan nilai-nilai akidah, syarak dan akhlak. Sedangkan seni yang tidak mempunyai nilai-nilai ini dikatakan sebagai seni yang tidak digalakkan oleh Allah s.w.t, contohnya ialah seni ukir patung, ia bukanlah hasil seni yang diharuskan oleh Islam kerana konsep pengukiran patung itu sendiri bercanggahan dengan akidah Islamiah dan sebagainya.

Untuk membicarakan sejauh mana kepentingan dan tuntutan berseni dari kaca mata Islam, maka kita tidak dapat lari daripada membicarakan tentang kepentingan unsur kebendaan secara keseluruhannya iaitu daripada faktor kerohanian dan faktor keduniaan. Malah kedua-duanya dihubungkan menjadi satu dan padu. Justeru itu, seni adalah sesuatu yang sememangnya mempunyai kepentingan dan merupakan tuntutan Islam kerana seni yang dapat menambahkan keimanan, ketakwaan dan amal soleh adalah sesuatu yang mendatang kebajikan bukan sahaja memperolehi ganjaran pahala dan syurga di akhirat kelak, malah kenikmatan hidup di atas dunia ini lagi. Bertepatan dengan tuntutan ini, Allah s.w.t. telah menegaskan melalui firman-Nya:

Maksudnya:

“Dan tuntutlah akan negeri akhirat dan jangan lupa habuan engkau di dunia.”

Al-Qasas (28): 77

Justeru itu, sebagai kesimpulan sebarang bentuk kesenian yang empat seperti yang dihuraikan di peringkat awal adalah dihalalkan oleh Allah s.w.t. seandainya ia dapat menyemai dan mempertingkatkan cita-cita beriman, bertakwa dan beramal soleh. Sebaliknya menjadi haram apabila ianya dapat menyebabkan berlakunya maksiat, kemungkaran, merosakkan akhlak, menimbulkan perasaan putus asa, menyedihkan dan sebagainya

5.2 Prinsip Kesenian Islam

Antara prinsip-prinsip kesenian yang digariskan oleh Islam ialah:

i. Mengangkat martabat insan dengan tidak meninggalkan nilai-nilai kemanusiaan, nilai-nilai persekitaran dan sejagat. Alam sekitar sebagai galerinya, manakala manusia menjadi seniman yang menggarap segala unsur kesenian untuk tunduk serta patuh kepada keredaan Allah s.w.t.

ii. Mementingkan persoalan akhlak dan kebenaran yang menyentuh aspek-aspek kemanusiaan, moral dan lain-lain lagi.

iii. Kesenian Islam menghubungkan keindahan sebagai nilai yang tergantung keseluruhan kesahihan Islam itu sendiri. Menurut Islam, kesenian yang mempunyai nilai tertinggi ialah yang mendorong ke arah ketakwaan, kesahihan dan budi yang mantap.

iv. Kesenian Islam terpancar daripada wahyu Allah, sama seperti undang-undang Allah dan syariatnya. Maknanya ia harus berada di bawah lingkungan dan peraturan wahyu. Ini yang membezakan kesenian Islam dengan kesenian bukan Islam.

v. Kesenian Islam menghubungkan manusia dengan Tuhan, alam sekitar dan sesama manusia dan juga makhluk.[4]

5.3 Seni Dan Menifestasi Budaya

5.3.1 Seni Bina Dan Rekabentuk

a. Pengenalan

Seni bina memberi erti sebagai keindahan yang dicetuskan dan kemahiran di dalam binaan dan pertukangan. Ia mempunyai ruang lingkup yang amat luas yang merangkumi segala reka bentuk yang berupa bangunan yang tidak kira samada diperbuat daripada kayu, batu, marmar, dan sebagainya.[5]

Seperti bidang seni yang lain, seni bina tetap merupakan sebahagian daripada bidang seni yang sekaligus merupakan sebahagian daripada kebudayaan dan tamadun yang dihasilkan oleh sesuatu kelompok manusia. Setiap kelompok masyarakat mempunyai fitrah semula jadi yang cinta akan keindahan atau kesenian yang menggerakkan jiwa, kemesraan, menimbulkan keharuan, takjub, kesenangan atau sebaliknya, cemas, dendam, benci, dan sebagainya. Samada seni bina atau sebagainya tetap disanjung oleh Islam selagi ia dapat diperalatkan untuk meningkatkan keimanan, ketakwaan dan amal soleh. Sebaliknya ia pasti merupakan sesuatu yang diharamkan, jika boleh menimbulkan kesesatan, takbur, kerosakan akhlak, dan sebagainya.

Allah s.w.t sendiri menitikberatkan tentang kepentingan kepakaran seni bina, seni khat dan seni ukir ini sehingga seni bina dijadikan salah satu ciri ketinggian tamadun yang dicapai oleh sesuatu bangsa. Dijelaskan oleh Allah s.w.t di dalam al-Quran bahawa setiap tamadun yang dicapai oleh manusia hanya dapat diabadikan dan terkenal hingga hari ini melalui pencapaian kepakaran seni bina.

Oleh kerana prestasi mutu seni bina ini tidak diseimbangkan dengan pembangunan akidah, syarak dan akhlak, akhirnya ia menjadi punca kehancuran tamadun itu sendiri. Sebab itulah Allah s.w.t.menekankan keseimbangan pembangunan fizikal dengan pembangunan kerohanian. Betapa pentingnya seni bina dan kaca mata Allah s.w.t dapat dilihat dalam kisah kerajaan Iram yang dicatatkan di dalam al-Quran semata-mata kerana pencapaiannya di dalam seni bina. Hal ini di jelaskan di dalam firman Allah s.w.t:

Maksudnya:

“Apakah kamu tidak memperhatikan bagaimana Tuhanmu berbuat terhadap kaum ‘Ad? Iaitu penduduk Iram yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi.”

Al-Fajr (89): 6-7

Keagungan seni bina yang dicapai oleh Kerajaan Iram tidak dapat dirakamkan oleh ahli sejarah kerana ia telah dilanda kemusnahan. Hal ini disebabkan kejayaan rajanya iaitu Raja Syadad yang mahu mendirikan syurga di dunia. Ia mengambil masa 100 tahun untuk membina istana dan bangunan yang besar-besar dan indah di Aden. Tetapi Allah s.w.t. telah menunjukkan kudratnya, apabila siap sahaja projek pembangunan syurga itu secara tiba-tiba disambar petir dan musnah.

Kepentingan seni bina dan kaca mata Islam adalah dapat diukur dengan kepentingan pembinaan masjid itu sendiri. Selagi masjid diutamakan, selagi itulah kita tidak dapat lari daripada kenyataan bahawa umat Islam memerlukan kepakaran dalam seni bina. Bagaimana umat Islam dapat membina masjid, jika sekiranya mereka tidak mengetahui seni bina? Lebih-lebih lagi kini dengan perkembangan umat Islam dan tamadunnya, masjid yang besar dan indah serta banyak pula jumlahnya mesti didirikan. Kesemuanya ini hanya dapat dilaksanakan setelah seni bina dikuasai oleh mereka sendiri. Betapa besar pahala kepada orang yang berjaya mendirikan masjid dan memperindahkannya untuk mendapat keredaan Allah s.w.t. Ini telah dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. di dalam hadis yang bermaksud:

“Sesiapa yang membina sesebuah masjid kerana mengharapkan keredhaan Allah s.w.t, nescaya Allah membangunkan untuknya sebuah rumah di dalam syurga Firdaus.”

(Riwayat Bukhari)

b. Seni Bina Masjid

Aspek seni bina Islam terpenting yang harus dilihat ialah seni bina masjid. Ini adalah kerana Islam telah meletakkan tempat ibadah sebagai ciri penting sesebuah bandar. Ini dapat diperhatikan daripada sirah Rasulullah s.a.w. semasa berhijrah ke Madinah, perkara pertama yang baginda lakukan ialah mencari tapak yang sesuai untuk membina masjid. Masjid menjadi lambang kekuatan aqidah kesatuan dan perpaduan umat Islam. Masjid pertama yang didirikan di Madinah ialah al-Masjid al-Nabawi yang digunakan oleh Rasulullah s.a.w. sebagai pusat tarbiyah dan pentadbiran dalam menyusun strategi ekonomi, peradaban, perang dan sebagainya.[6]

Selari dengan perkembangan masa dan kepentingannya, masjid kemudiannya dikembang dan diperindahkan dengan pelbagai unsur dekoratif berdasarkan latar belakang budaya persekitaran umat Islam. Seni bina masjid menjadi lambang keagungan tamadun berbanding dengan Barat kerana unsur-unsur ketamadunan yang dlkembangkan di kota raya Islam mementingkan nilai kerohanian dan pada masa yang sama pembangunan fizikal dan kebendaan tidak dipinggirkan.

Konsep penting dalam seni bina Islam ialah pencapaian iman dan amal, takwa dan tawadhuk, aman dan damai serta merendah hati kepada keagungan Allah s.w.t. Pengagungan dan perhiasan bukanlah menjadi matlamat seni bina Islam tetapi kerana kreativiti dan inovasi umat, artis, seniman dan arkitek Muslim. Ianya menjadi suatu seni yang bernilai tinggi yang disepadukan bersama penggunaan corak, warna dan reka bentuk yang dibuat berdasarkan ajaran al-Quran.

Pembinaan masjid di beberapa bandaraya Islam pada zaman silam boleh dibahagikan kepada empat peringkat:

Pertama: Sebelum tahun 650 Masehi, tempat terbuka yang terletak di tengah-tengah bandar dijadikan sebagai tempat ibadat.

Kedua: Tahun 650-750 M terdapat bangunan dibina di tempat terbuka tadi. Pada masa ini juga binaan-binaan seperti menara dan kubah sudah dapat dilihat.

Ketiga: Abad ke-8 hingga abad ke-lO M ciri-ciri binaan kiasik Islam mendominasi pembinaan masjid.

Keempat: Bermula abad ke 12M, unsur-unsur setempat mempengaruhi pembinaan masjid di Asia Barat, Asia Kecil dan Asia Tenggara.

Kepentingan seni bina masjid di zaman silam Islam digambarkan dengan bilangannya yang agak banyak. Umpamanya di Damsyik pada abad ke 12M, terdapat 241 buah masjid. Di Kaherah pada abad ke 15M, terdapat 88 buah masjid jamek (masjid utama) dan 19 buah masjid kecil.

Dari segi struktur dalaman dan luaran masjid, beberapa perkara dapat dilihat khususnya dari aspek mimbar, arah kiblat, tempat kedudukan imam, ruang berkumpul, tiang dan pilar utama, anjung dan serambi, mihrab, tempat berwudhuk, menara tempat muazzin melaungkan azan, kubah dan sebagainya. Perkara-perkara ini merupakan karekteristik seni bina masjid yang memperlihatkan keunikannya yang tersendiri berbanding dengan seni-seni bina yang lain.

5.3.2 Kaligrafi

a. Pengenalan

Salah satu daripada bidang kesenian Islam paling diminati oleh umat Islam ialah seni khat. Ia diminati oleh setiap lapisan umat Islam daripada peringkat raja sampailah kepada masyarakat bawahan. Keindahannya diabadikan pada bangunan, seramik, kaca, ukiran kayu, ukiran logam dan lain-lain lagi. Seni ini juga merupakan satu bidang yang paling tinggi pencapaiannnya di dalam kesenian Islam.[7]

Seni khat lahir serentak dengan kelahiran Islam. Wahyu yang diterima oleh Rasulullah s.a.w. sejak awal lagi telah dicatatkan oleh para sahabat pada daun-daun kayu, tulang-tulang dan sebagainya, sehinggalah al-Quran sempurna diturunkan (23 tahun). Ini bererti seni khat diperlukan untuk mengabadikan al-Quran dalam bentuk tulisan. Justeru itu, peranan seni khat di dalam sejarah perkembangan Islam paling utama dan mengatasi bidang-bidang seni yang lain.

Dari semasa ke semasa sejak zaman Rasulullah s.a.w hingga hari ini seni khat terus berkembang dan meningkat pencapaiannya dan kecemerlangannya. Lahirlah banyak ahli khat Islam yang telah menghasilkan pelbagai jenis rekabentuk khat. Selepas 100 tahun kewafatan Rasulullah s.a.w. seni khat Islam telah berada di puncak kegemilangannya. Ahli khat Islam dihormati dan dimuliakan dan memperolehi ganjaran kewangan yang lumayan di seluruh dunia Islam.

Seni khat bukan sahaja berperanan untuk mengabadikan al-Quran dalam bentuk tulisan, tetapi juga mengabadikan sebahagian daripada ayat al-Quran pada bangunan masjid rumah dan sebagainya. Ahli khat bukan sahaja terdiri daripada bangsa Arab tetapi juga terdiri daripada pelbagai keturunan umat Islam di seluruh dunia seperti Paris, Turki, India, Afrika, Melayu dan lain-lain lagi. Mereka telah memperkayakan lagi khat dengan memperkenalkan pelbagai gaya dan reka bentuk baru terutama dalam abad ke 7 hingga abad ke 10M. Perkembangan seni khat di seluruh dunia pesat sekali, seiring dan sejalan dengan perkembangan dakwah Islamiah dan ilmu-ilmu Islam. Kemasukan perkataan Arab dalam bahasa dunia mempercepatkan lagi perkembangan seni khat.[8]

b. Kepentingan Seni Khat

i. Ia mempunyai kaitan dengan peningkatan tahap tamadun itu sendiri. Sebab itu ia merupakan hasil aktiviti masyarakat maju dan bertamadun.

ii. Salah satu maksud dalam saranan Nabi s.a.w. agar umat Islam membaca dan menulis supaya mereka dapat menulis ayat-ayat al-Quran dengan baik dan dengan cara ini difikirkan memudahkan lagi mereka mempelajari dan menghafalnya.

iii. Keindahan tulisan merupakan kelembutan jari dan kehalusan pemikiran serta cita rasa penulisnya.

iv. Rasulullah s.a.w. menggalakkan penulisan khat, sabdanya: “Hendaklah kamu mengindahkan seni khat kerana antara kunci sumber rezeki”.

v. Saidina Ali bin Abi Talib pernah berkata: “Serikan anak-anakmu dengan ilmu seni tulis kerana tulisan merupakan perkara yang paling mustahak dan menyeronokkan”.[9]

c. Jenis-jenis Khat

Tamadun Islam kaya dengan seni-seni tulisan tangannya yang juga dikenali sebagai seni khat. Khatnya mengandungi lapan model utama dan selain itu merupakan cabang dari kelapan-lapan model ini. Di antara khat utama ialah Kufi, Thuluth, Nasakh, Farisi, Riq’ah, Diwani dan Diwani Jali.[10]

JENIS KHAT

CONTOH

Khat Thuluth

Khat Nasakh

Khat Farisi

Khat Riq’ah

Khat Kufi

Khat Diwani

Khat Diwani Jali

5.3.3 Kesusasteraan Dan Persuratan

Pada zaman awal Islam, orang-orang Islam tidak sahaja menerima serangan pada orang Musyrikin yang berbentuk fizikal, malahan mereka turut dihujani dengan serangan melalui pengucapan seni yang berbentuk puisi. Di antara para sasterawan muslim yang bertindak sebagai benteng untuk menangkis serangan tersebut adalah seperti Hassan ibn Thabit, Ka’ab ibn Mãlik dan ‘Abdulläh ibn Rawahah. Manakala karya sastera Islam yang berbentuk prosa berkembang dalam peradaban Islam sesuai dengan proses penurunan al-Quran dan menjadi semakin matang dengan lengkapnya keseluruhan al-Quran. Penggunaan cerita-cerita dalam al-Quran turut dijadikan media dakwah sejak zaman Umayyah. Antara mereka yang berdakwah menggunakan cerita seperti Hasan al-Basri, Tamim al-Dari, Thawus ibn Kaisan dan lain-lain lagi.

a. Zaman Sebelum Islam (Pra-Islam)

Puisi Arab sebelum Islam merupakan satu seni yang berkembang maju. Puisi terawal dalam bentuk yang dinamakan sebagai Razaj terakam pada tarikh seawal kurun ke-6 Masehi lagi. Puisi pada zaman ini bukanlah pengucapan peribadi atau individu, tetapi ia merupakan ucapan bersama masyarakat atau ucapan kepercayaan agama. Ia juga memerlukan peranan kemasyarakatan dan ucapan keagamaan. Hasil-hasil karya perseorangan atau karangan yang mungkin mewakili ideologi dinamakan Diwan.[11]

Kekayaan bahasa Arab dan keadaan penyair-penyair Arab yang berbakat tinggi memungkinkan penggubahan syair dan satu topik yang sama menjadi ucapan puisi berbagai-bagai. Hanya mereka yang memahami bahasa Arab dapat menikmatinya.

i. Qasidah

Qasidah asalnya dalam bentuk puisi Arab yang telah mencapai kematangannya pada zaman pra-Islam. Puisi jenis ini mengandungi 50 hingga 100 baris. Pada zaman pra Islam ia dituturkan dengan diiringi muzik. Dalam qasidah biasanya, penyair Arab ini membicarakan pelbagai persoalan tentang kehidupan mereka di padang pasir sebelum dinyatakan persoalan pokok. Ia merupakan suatu bentuk puisi Arab yang diwarnai hingga sekarang.

ii. Prosa

Cerita-ceritanya adalah tentang perhubungan antara suku kaum Arab, persahabatan atau permusuhan antara mereka. Perjalanan cerita teratur dalam skima yang tetap.

b. Zaman Islam

i. Puisi Sufi

Puisi-puisi Sufi merupakan suatu bentuk sastera Islam yang menggambarkan pengertian tentang kebenaran kerohanian melalui cinta kepada Tuhan dan rasa hati.

ii. Syair

Ia menjadi salah satu cabang seni bangsa Arab. Syair atau dalam bahasa Arabnya, sy’ir bererti puisi. Tiap-tiap karya puisi mempunyai sistem meter atau timbangan yang tertentu dipanggil ‘arud. Syair juga mempunyai persamaan irama pada hujung tiap-tiap baris yang dipanggil qafiah. Puisi atau syair Melayu, jika dibandingkan dengan syair Arab mempunyai banyak perbezaan Walau bagaimanapun sedikit banyak syair Melavu tetap menerima pengaruh daripada syair Arab. Bentuk puisi Arab dan Parsi telah diperkenalkan ke alam Melayu melalui kesusasteraan Sufi pada abad ke-l6M ketika Aceh menjadi pusat pengajian Islam di alam Melayu.

iii. Al-Quran

Al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. bukanlah sebuah buku sastera kerana sastera itu merupakan konsep karya yang indah hasil ciptaan manusia. Namun begitu al-Quran sukar ditandingi atau ditiru bahasanya. sementara unsur-unsur keindahannya mudah menarik perhatian dan dapat dinikmati. Bahkan al-Quran mengatasi segala keindahan hasil-hasil sastera Arab Jahiliyyah dan menjadi inspirasi bagi penciptaan hasil-hasil sastera Islam buat beberapa zaman terkemudian.[12]

Keindahan tertinggi aI-Quran terletak pada kebenaran amanat Allah s.w.t.. Al-Quran menggambarkan amanat tentang kehidupan manusia atau tentang manusia itu sendiri. Al-Quran memberi petunjuk tentang dunia dan alam yang bersifat sementara ini, amalan-amalan soleh dan mereka yang mentaati Allah dan Rasul-Nya.

Al-Quran juga menceritakan umat-umat terdahulu, Nabi-nabi, hal-hal kerajaan dan peribadi-peribadi tertentu. Kisah ini adalah untuk menegaskan kebenaran amanat, amaran atau ajaran yang disampaikan sebagai iktibar dan panduan bagi umat masakini.

Al-Quran disampaikan dalam bahasa Arab yang amat halus, mempunyai kelembutan puisi dan bahasa prosa bersajak yang dapat dirasakan oleh jiwa yang suci bersih dan penuh khusyuk dan tawadhuk. Ia menggerakkan jiwa untuk mengenali rahsia-rahsia kewujudan diri dan membawa akal merenung taraf kesucian alam rohaniah. Dalam al-Quran terdapat rentak dan mama indah yang dapat memberi kesan yang harmoni bagi jiwa manusia yang membacanya akan memikat dan mengagumkan kerana kebenaran yang disampaikan pada isinya.

Dalam suasana demikianlah sering dikatakan manusia menenima berbagai-bagai kesan kekudusan iaitu kesedaran terhadap kefanaan diri atau kelemahannya, kerendahan nafsu dan kealpaan lalu mengenal makna tentang kebesaran Allah, harapan kepada-Nya, keampunan dan kasih sayang daripada-Nya.

Para pengkaji bahasa dan kesusateraan dalam al-Quran seharusnya mencapai penerimaan kalimah shahadah dan penyerahan diri yang total terhadap Allah s.w.t Daripada mereka inilah lahirnya karya-karya Islam yang berasaskan pegangan tauhidnya dengan perasaan kekudusan dan takwa kepada Allah s.w.t.

5.3.4 Seni Suara Dan Bunyi

Secara umumnya, tidak ada perkataan Arab yang boleh diistilahkan dengan perkataan muzik dari istilah Inggeris. Perkataan Arab Ghina bermakna menyanyi. Sama’ pula (mendengar) ialah nama yang diberi bagi muzik vokal dan instrumental dalam konteks upacara zikr (mengingat Tuhan) kumpulan tasawuf dan tarekat. Lahw (hiburan melalaikan) satu lagi perkataan yang kadang kala digunakan bagi menterjemahkan muzik. Pengertian luasnya merangkumi semua jenis hiburan dan dalam erti kata yang sempit ia berkaitan hanya dengan muzik sekular. Kesimpulannya ghina, sama’, zikr dan lahw mengandungi pengertian yang lebih menjurus kepada aspek yang melibatkan bukan sahaja instrumen muzik, malahan suara, lagu, bunyi dan apa jua elemen yang menghiburkan hati.

Handasat al-Sawt (kejuruteraan seni bunyi) ialah satu istilah Arab yang bolehlah dianggap merujuk kepada muzik yang dikatakan merangkumi semua elemen di atas bagi kategori seni bunyi bernada musiqa yang mempunyai dua kategori iaiatu sah dan tidak sah dari segi syara’.

Jenis Handasat al-Sawt yang sah mengikut syarak ialah:

i. Pembacaan Berlagu al-Quran

Tilawah al-Quran atau qiraah (membaca al-Quran) telah bermula seninya sejak zaman Rasulullah s.a.w. lagi. Batasa stail telah dikawal ketat agar tidak menyalahi tajwid, fasahah, makhraj dan sebagainya. Nabi pernah mendengar Abu Musa al-Asy’ari r.a. membaca al-Quran, lalu baginda bersabda:

“Aku dianugerahi serunai Nabi Daud”

(Sebagai satu pengiktirafan dan kesukaan mendengar suara dan pembacaan Abu Musa).

ii. Seni Bunyi yang Telah Diterima Mengikut Budaya Islam

Misalnya bang atau azan (panggilan kepada sembahyang) yang dilaungkan lima kali sehari, mempunyai banyak ciri gaya umum membaca al-Quran. Bacaan talbiyah dan puji-pujian ketika menunaikan haji, tahmid, tahlil, na’t dan mad’ merupakan bacaan puisi memuji Tuhan, Nabi Muhammad s.a.w. atau tokoh-tokoh. Malah Syi’ir (puisi yang dideklamasi) dengan tema mulia dan sihat tergolong ke dalam kumpulan bukan musiqa yang diterima.

iii. Jenis-jenis Muzik Keluarga Dan Keramaian

Contohnya seperti nyanyian menidurkan anak, nyanyian lagu isteri, muzik untuk majlis kahwin, keramaian keluarga dan agama.

iv. Jenis-jenis Muzik Seperti Lagu Kafilah (Hida’, Razaj, Rukhban)

Muzik pekerjaan untuk meningkatkan motivasi kerja, minat serta produktiviti dan lagu bekerja khusus untuk pekerjaan yang halal dan tidak syubhah.

v. Tabl Khanah

Muzik-muzik pancaragam tentera dan jenis-jenisnya untuk menuju semangat menuju medan peperangan dan juga upacara-upacara rasmi ketenteraan, ataupun dalam konteks Malaysia sewaktu kembali dari medan peperangan dan kawad diraja, pertandingan kawad dan lain-lain yang seumpamanya dengan menggunakan daff ataupun tamborin. Tetapi pancaragam tentera ataupun tembakan meriam mengiringi jenazah tentera Islam atau sultan adalah haram.

Jenis Handasat al-Sawt yang dilarang oleh syarak ialah:

i. Gubahan instrumental dan vokal berirama bebas.

ii. Lagu bertindih serius seperti bernada keras dan seni kata yang tidak tentu hala.

iii. Muzik-muzik bukan islam seperti idea dan amalan agama mereka.

iv. Muzik hiburan yang memikat pancaindera, melalaikan, membangkitkan perasaan ingin melakukan perkara yang dilarang.

5.3.5 Seni Lakon

Seni lakon iaitu yang melibatkan drama, teater dan filem adalah salah satu amalan rekreasi. Seni Lakon menggabungkan berbagai bentuk seni. Bermula dengan seni sastera dalam penyediaan skrip berpindah kepada seni gerak, seni suara, seni lukis, seni adunan cahaya dan sebagainya.

Filem pula memerlukan seni fotografi dan teknik rakaman. Oleh kerana sifatnya yang menghimpunkan berbagai bentuk seni estetika maka kesannya juga mendalam kepada penggemarnya. Abd. Rahim Anbar dalam bukunya al-Masrahiah Baina al-Nazariah wa al-Tatbiq menyatakan drama lebih hampir dengan kehidupan kerana drama menceritakan tentang kehidupan dari semua bentuk seni; yang dibaca, didengar dan dilihat.

Drama mempunyai nilai estetika, bukan sahaja mempunyai nilai hiburan tetapi juga mempunyai nilai pendidikan. Kesemua cerita-cerita atau kisah-kisah ini dilakonkan semula dan mempunyai kesan yang mendalam kepada penonton.

Begitu juga pengajaran-pengajaran dalam al-Quran yang berbentuk kisah atau cerita yang mempunyai matlamat untuk menerapkan pengajarannya dengan lebih berkesan. Rasyid Reda menyatakan bahawa kisah dalam al-Quran dapat menggerakkan pemikiran dan jiwa untuk mengambil iktibar daripadanya.

Sesungguhnya seni lakon boleh mendatangkan faedah yang banyak kepada manusia kerana ia mempunyai pengaruh yang tinggi dan mendalam kepada masyarakat. Seni lakon boleh dimanfaatkan mengikut kehendak mereka yang menjayakannya. Pelbagai faedah boleh didapati sekiranya itu yang menjadi matlamat kepada mereka yang terlibat dengan sesuatu bentuk seni lakon yang dihasilkan.

Antara peranan dan manfaat yang boleh didapati ialah:

i. Pengkisahan sejarah dengan penghayatan yang tinggi kerana dipersembahkan seolah-olah sedang berlaku.

ii. Perantaraan untuk memberikan keterangan yang lebih jelas.

iii. Salah satu bentuk rekreasi bagi melapangkan pemikiran dan menghiburkan untuk mengembalikan kecergasan.

iv. Menganalisis masalah masyarakat dan mencari jalan penyelesaiannya.

vi. Membina kemampuan penonton untuk memberi kritikan dan pandangan.

vii. Menimbulkan kesedaran dalam diri penonton.

viii. Perantaraan pendidikan khususnya di sekolah-sekolah.

ix. Membantu perubahan sosial yang positif.

x. Menjelaskan balasan baik bagi kebaikan dan balasan buruk bagi setiap keburukan.[13]

Kita menyedari bahawa terdapat banyak perkara yang tidak dapat disampaikan dengan saluran lain tetapi berjaya disampaikan melalui seni lakon. Kesedaran masyarakat untuk meningkatkan ekonomi, pendidikan dan sebagainya dapat dilahirkan dalam drama.

Namun begitu seni lakon juga sering menimbulkan kontroversi kerana wujud disebaliknya kesan negatif. Seni lakon bersifat dwifungsi iaitu boleh digunakan ke arah kebaikan dan sebaliknya lebih mudah untuk digunakan sebaliknya iaitu membawa kesan buruk. Selain daripada itu seni lakon selalunya mencari daya tarikan tersendiri dengan cara yang lebih mudah oleh itu mereka mempersembahkan sesuatu di luar batasan. Antara perkara mudarat yang dibawa oleh seni lakon ialah:

i. Mencemari tatasusila agama. Membangkit dan merangsang ke arah yang tidak baik. Contohnya menunjukkan cara-cara melakukan rompakan, pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan dan sebagainya.

ii. Mencemari sejarah dengan melakonkan sesuatu yang tidak menepati sejarah. Selalunya lakonan seperti ini memang bertujuan untuk menutup apa sebenarnya yang berlaku dalam sejarah.

iii. Melekakan penonton hingga lupa tanggungjawab.

iv. Menimbulkan rasa sombong di kalangan golongan tertentu, seperti orang yang mempunyai kedudukan, kekayaan dan “glamour”, apabila lakonan sering menunjukkan keistimewaan golongan ini.

Yusuf al-Qardawi juga memberikan pandangan yang sama bahawa filem adalah alat untuk memberikan pendidikan di samping memberi hiburan. Beliau juga menjelaskan bahawa ianya adalah perkara yang halal dan baik bahkan kadang-kadang membawa kepada perkara yang dituntut tetapi perlu menjaga daripada perkara yang ditegah oleh syarak. Berdasarkan kepada pandangan-pandangan ulama’ yang masyhur kita boleh membuat beberapa garis panduan mengenai seni lakon antaranya;

i. Seni lakon pada asalnya adalah harus berdasarkan kepada kaedah setiap sesuatu yang tidak disebutkan oleh nas tentang haramnya adalah dianggap harus.

ii. Seni lakon merupakan saluran pendidikan yang berkesan dengan bertindak sebagai contoh dan teladan.

iii. Drama yang melanggar batasan syariat seperti tidak membataskan pergaulan antara wanita dan lelaki, pendedahan aurat dan sebagainya adalah haram di sisi Islam.

iv. Drama mestilah tidak memberi kesan buruk kepada pelakon dan penontonnya. Ini bersesuaian dengan kaedah setiap yang membawa kepada haram adalah haram.

Sebagai kesimpulannya seni lakon adalah suatu amalan rekreasi yang diharuskan oleh Islam selagi mana ianya tidak bercanggah dengan ketetapan syarak.

BAB 6

ISLAM DAN CABARAN SEMASA

6.1 Pembangunan Dan Alam Sekitar

6.1.1 Pencemaran

Pendahuluan

Masalah persekitaran hari ini menjadi masalah yang lebih besar mencakupi ruang lingkup yang lebih luas dan bakal menjejaskan kualiti hidup masyarakat secara keseluruhannya jika tidak ditangani dengan bijak. Malah, kemusnahan persekitaran dan pencemaran hari ini, mangsanya bukan sahaja manusia tetapi flora dan fauna yang akhirnya mempengaruhi ekosistem bumi. Dengan kemusnahan flora dan fauna tersebut bermakna kualiti hidup manusia yang mendiami alam ini juga akan merosot.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Ingatlah, ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, Sesungguhnya Aku akan menciptakan di muka bumi seorang khalifah. Para malaikat serentak berkata, Apakah Engkau hendak menciptakan di muka bumi (makhluk) yang akan melakukan kerusakan dan akan menumpahkan darah di dalamnya, padahal kami senantiasa bertasbih dengan menyanjung-Mu dan mensucikan-Mu ? Seraya Allah menjawab, Sungguh Aku lebih mengetahui apa-apa yang tidak kalian ketahui.”

Al-Baqarah (2): 30

Manusia sebagai khalifah di muka bumi ini bertanggungjawab kepada tuhan dalam segala kegiatan yang bersangkutan saintifik dan teknologinya. Konsep khilafah juga bererti manusia tidak mempunyai mempunyai sebarang hak yang mutlak ke atas alam dan manusia adalah bertanggungjawab untuk mencegah daripada berlakunya pencemaran dan memulihara alam ini dari sebarang kegiatan yang tidak sihat.[14]

a. Jenis-jenis Pencemaran

i. Pencemaran Udara

Pencemaran udara adalah kewujudan bahan kimia yang ada di dalam atmosfera dalam kuantiti dan jangkamasa tertentu. Ini bermakna di dalam udara tersebut mengandungi gas, cecair atau zarah yang boleh menjejaskan dan memberi kesan negatif kepada kehidupan manusia, tumbuh-tumbuhan dan haiwan. Bahan-bahan yang terampai di dalam udara ini akan masuk ke dalam tubuh manusia melalui sistem pernafasan dan berupaya menyekat pengaliran oksigen ke dalam salur-salur darah. Ini boleh menimbulkan pelbagai penyakit seperti penyakit kekejangan, barah, asma dan anemia. Antara punca berlakunya pencemaran udara ialah:

(1) Asap daripada ekzos kenderaan bermotor yang mengandung karbon monoksida yang membahayakan kesihatan;

(2) Asap yang dikeluarkan oleh kilang-kilang;

(3) Debu yang berpunca daripada kilang papan, kawasan pembinaan, dan sebagainya;

(4) Pembakaran sampah sarap secara terbuka;

(5) Asap daripada rokok.

ii. Pencemaran Tanah

Pencemaran tanah bermaksud perbuatan yang berlaku kepada sesuatu kawasan sehingga terjadinya pertukaran warna, kesuburan dan hakisan. Ianya disebabkan oleh bahan buangan dalam bentuk air atau pepejal. Bahan pencemar terdiri daripada pencemar organik, kimia atau fizik. Seriusnya pencemaran tanah bergantung kepada kesuburan tanah. Pencemaran menunjukkan tahap serius apabila kesuburan tanah sudah hilang. Tanah akan bertukar warna menjadi kehitaman dan tumbuh-tumbuhan di kawasan tersebut akan layu. Antara punca berlaku pencemaran tanah ialah:

(1) Pembuangan sisa toksik dan sisa pepejal daripada kilang dan sebagainya;

(2) Pembuangan sampah sarap di merata-rata tempat;

(3) Penggunaan racun serangga secara berlebih.

iii. Pencemaran Air

Pencemaran air bermaksud perubahan yang berlaku pada kandungan, keadaan dan warna air sehingga tidak lagi selamat untuk hidupan air dan kegunaan manusia. Pencemaran air memberikan kesan negatif kepada manusia sekiranya digunakan. Antara punca berlakunya pencemaran air ialah:

(1) Kesan daripada bahan buangan kilang-kilang seperti bahan kimia, cat, sisa-sisa logam, minyak, dan sebagainya yang dibuang ke dalam sungai;

(2) Pembuangan sampah sarap dan sisa kumbahan harian ke dalam air seperti parit dan sungai;

(3) Penerokaan hutan yang berleluasa menyebabkan berlakunya hakisan tanah, tanah runtuh, dan sebagainya.

iv. Pencemaran Bunyi

Pencemaran bunyi boleh didefinisikan sebagai bunyi bising yang keterlaluan di tempat atau kawasan yang tidak bersesuaian sehingga mengganggu keselesaan hidup. Pencemaran bunyi biasanya melebihi 80 desibel (dB). Antara punca berlakunya pencemaran bunyi ialah:

(1) Bunyi kenderaan berenjin seperti kapal terbang, kereta api, dan lori;

(2) Bunyi mesin dan jentera daripada kilang;

(3) Bunyi daripada kuari pemecah batu dan enjin gerudi;

(4) Bunyi radio dan televisyen yang dipasang terlalu kuat;

(5) Bunyi daripada kerja-kerja pembinaan.

b. Sebab Berlaku Pencemaran

Pencemaran sebenarnya berpunca daripada manusia dan memberikan implikasi buruk kepada alam sekitar, manusia dan makhluk-makhluk lain juga. Dalam Islam, telah diperingatkan bahawa malapetaka dan bencana di atas dunia ini adalah akibat daripada tangan-tangan dan perbuatan manusia sendiri. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Telah menjadi nyata kerosakan di darat dan di laut disebabkan oleh perbuatan tangan manusia. Supaya dengan itu Allah menjadikan mereka merasakan sebahagian daripada akibat perbuatan mereka agar mereka kembali (ke jalan yang benar)”.

(Surah Al-Rum: 41)

i. Pengabaian Terhadap Amanah & Tanggungjawab

Manusia bertanggungjawab memikul amanah Allah s.w.t. supaya memulihara alam dan segala isinya daripada kemusnahan seperti mengawal penebangan hutan, memulihara keindahan sungai dan mengawal pencemaran udara. Di samping itu, manusia juga hendaklah melaksanakan tanggungjawab sosialnya terhadap alam yang dirosakkan seperti menanam semula pokok dan membersihkan sungai. Namun kebelakangan ini, banyak kes membabitkan kerosakan dan kemusnahan alam dilaporkan media yang punca utamanya disebabkan sikap manusia yang lupa tanggungjawab serta amanah Allah s.w.t. ke atas mereka.

Pengabaian tanggungjawab dalam memelihara dan memulihara alam sudah dilihat dan dirasai seperti berlaku bencana alam yang menyebabkan kehilangan jiwa, tempat tinggal, harta benda, habitat haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Islam tidak melarang manusia menggunakan segala perkara yang ada di atas dan di dalam perut bumi kerana tujuan Allah s.w.t. menjadikan semua ini adalah untuk kegunaan dan kesenangan manusia sendiri. Bagaimanapun, kita tidak sewajarnya menggunakan alam ciptaan Allah s.w.t. ini dengan tujuan mengejar kemajuan sedangkan kemajuan masih boleh dicapai tanpa mengorbankan keindahan dan keunikan alam semula jadi.

ii. Sifat Tamak & Rakus

Allah s.w.t. menjelaskan bahawa terdapat juga sifat buruk pada manusia iaitu suka melakukan kezaliman dan membuat kerosakan di atas muka bumi ii. Segala kerosakan yang berlaku ke atas sistem alam ini sama ada di darat, di udara dan air adalah disebabkan sifat tamak manusia dalam mencari kekayaan dengan tidak mempedulikan hak orang lain asalkan ianya mendatangkan keuntungan kepada dirinya. Ini dijelaskan oleh Allah s.w.t. dalam surah Al-Takatsur ayai 1 hingga 2:

**********************

Maksudnya: “Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak, pangkat dan pengaruh), sehingga kamu masuk kubur.”

Disebabkan sifat tamak, maka manusia telah memusnahkan ekosistem dan keseimbangan alam ini di atas nama pembangunan dan ekonomi. Bukit-bukau sebagai paksi bumi diratakan, hutan sebagai tadahan air dan pengekal kestabilan bumi ditebang sewenang-wenangnya. Akibat daripada perbuatan tersebut telah menyebabkan hilangnya keselesaan hidup manusia di muka bumi ini dengan berlkunya tanah runtuh, banjir lumpur, pencemaran sumber air minuman, musnahnya kehidupan air sebagai sumber rezeki dan kekurangan bekalan air minuman.

iii. Tidak Bersyukur

Salah satu manifestasi ketidaksyukuran manusia kepada Allah s.w.t. ialah pembaziran dan pemborosan yang telah mengakibatkan pemusnahan sumber dan penghasilan bahan buangan yang bertambah-tambah kuantitinya setiap tahun. Hutan tropika yang penuh dengan khazanah yang tidak ternilai diterokai dan dimusnahkan dengan rakusnya melalui eksploitasi yang tidak berteraskan pengurusan lestari (mapan). Habitat untuk hidupan liar juga dimusnahkan bahkan hidupan itu sendiri dibunuh dengan kejam di mana sebahagian daripada badannya akan dijadikan hiasan. Inilah sifat manusia yang menyamai sifat syaitan yang sentiasa tidak bersyukur kepada Tuhannya.

Allah s.w.t. berfirman:

*******************

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara syaitan dan syaitan itu amat kufur kepada Tuhannya.”

Al-Israk (17): 27

Kesihatan adalah salah satu daripada anugerah Allah yang cukup besar kepada umat manusia. Manusia patut bersyukur terhadap Allah bagi segala anugerah yang dikecapi oleh mereka. Salah satu cara bagaimana bersyukur kepada Allah bagi anugerah kesihatan ini adalah dengan cara memelihara alam sekitar mengikut peraturan yang Allah tetapkan dan sunnah Rasulallah s.a.w.

c. Cara Mengatasi Pencemaran

Oleh kerana punca utama pencemaran adalah akibat daripada perbuatan manusia, maka untuk mengatasi masalah pencemaran ini juga sebenarnya memerlukan kepada perubahan sikap dan penghayatan manusia itu sendiri.

i. Akauntabiliti (Kebertanggungjawaban)

Setiap orang adalah bertanggungjawab ke atas semua tindak-tanduknya dan akan dipanggil untuk dihisab di atas penanggungjawaban ini. Setiap orang dipikulkan dengan sejumlah tanggungjawab yang sesuai dengan kedudukan dan kuasa masing-masing. Konsep tanggungjawab ini jelas daripada sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

“Setiap daripada kamu ialah pemimpin, dan setiap daripada kamu akan disoal tentang orang yang dipimpin.”

(Hadis Sahih Riwayat al-Bukhari)

Kehidupan yang sempurna yang membolehkan manusia beribadah dengan selesa adalah salah satu tujuan agama. Ini tidak dapat dicapai melainkan dalam keadaan persekitaran yang aman, bersih dan terkawal. Tugas menjaga alam sekitar ini tidak terlepas dari tuntutan dan kehendak agama dan menjadi tanggungjawab setiap orang Islam yang memahami agamanya dan berharap bertemu dengan Tuhannya dengan keadaan sejahtera.

ii. Memahami Konsep Ibadah

Ibadah dalam Islam amat luas skopnya merangkumi segala tindak tanduk yang baik yang memberi manfaat kepada manusia dan makhluk lain serta alam sekelilingnya. Ibadah tidak tertakluk hanya kepada perbuatan yang mengatur hubungan manusia dengan Allah s.w.t. sahaja tetapi meliputi perkara-perkara keduniaan yang berguna kepada kehidupan di dunia ini. Kalaulah Islam mengajar kita membuang duri dari atas jalan supaya tidak menyakiti orang yang berjalan itu satu perkara yang mulia apatah lagi bermujahadah melindungi alam sekeliling kita daripada bala bencana. Tidakkah usaha murni menguruskan alam sekitar dan dunia supaya ianya nyaman dan selamat untuk semua jenis kehidupan satu perbuatan baik (amal salih) yang akan diberi ganjaran yang setimpal oleh Allah s.w.t.?

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:

“Tidaklah Aku jadikan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah kepadaKu.”

(Surah Az-Zaariyat: 56)

iii. Memberi Pendidikan & Kefahaman

Berikutan daripada pelbagai masalah yang melanda alam sekitar kita, pendidikan perlu dilihat sebagai salah satu medium yang harus dititikberatkan dan diberi tumpuan. Ini kerana melalui pendidikan, aspek kesedaran dan penghayatan akan kepentingan alam sekitar akan dapat dipertingkatkan. Pendidikan alam sekitar ini haruslah disebarkan melalui buku-buku, pengedaran risalah, iklan di televisyen mahu pun ceramah-ceramah.

Kita juga menyedari bahawa sebarang langkah saintifik dan pengurusan alam sekitar yang dibuat hanya dapat memberi makna setelah masyarakat memahami dan menghayati nilai kualiti umum persekitaran. Oleh itu segala usaha yang dibuat, hendaklah menjurus kepada memberi kefahaman dan kehendak-kehendak sebenar yang dapat melindungi alam sekitar. Adalah menjadi tanggungjawab dan kesedaran kita bersama untuk memastikan alam sekitar Malaysia khususnya dan dunia amnya terpelihara supaya manusia dapat hidup dengan selesa dan sihat.

6.1.2 Ketidakseimbangan Pembangunan

Pengenalan

Pembangunan adalah satu peningkatan daripada keadaan yang kurang baik kepada keadaan yang lebih baik. Ianya adalah satu Sunnah Allah S.W.T yang telah ditentukan ke atas umat manusia. Manusia mengalami perkembangan dan pembangunan dari semasa ke semasa sesuai dengan kemajuan fikiran dan penemuan-penemuan baru. Oleh yang demikian ianya adalah suatu yang normal dan dibenarkan oleh Islam.[15]

Islam bukanlah satu agama anti pembangunan, sebaliknya ia adalah agama pembangunan. Buktinya, agama Islam telah membangunkan tamadun dunia dan bangsa-bangsa didalam dunia. Pembangunan dalam Islam lebih luas maksudnya daripada pembangunan yang difahami oleh kebanyakkan orang. Pembangunan dalam Islam merangkumi pembangunan rohani, jasmani dan kemanusiaan.[16]

Pembangunan dalam Islam adalah untuk mewujudkan negara yang makmur dan juga aman serta tenteram yang dapat memberikan keselesaan sama ada keselesaan jasmani atau keselesaan rohani manusia, atau kesejahteraan hidup zahir dan batin, dan dalam masa yang sama juga diredhai oleh Allah s.w.t. sepertimana firman Allah s.w.t. yang berbunyi:

*************************

Maksudnya: “....negara yang makmur dan diredhai oleh Allah s.w.t.”

(Surah Saba’: 15)

Oleh yang demikian ketidakseimbangan pembangunan berlaku apabila sesuatu atau beberapa aspek tertentu sahaja yang difokuskan manakala aspek-aspek yang lain yang sepatutnya turut diberi penekanan diabai atau dikesampingkan. Kekayaan sesebuah negara dari segi kebendaan atau material tidak akan menjamin keselesaan hidup jika tidak disertai dengan ketinggian akhlak atau moral. Kita tidak akan merasa selesa, sejahtera dan aman meskipun dalam kecukupan kebendaan jika kita hidup dalam masyarakat yang di antara anggota-anggotanya tidak ada perasaan saling hormat-menghormati atau saling tolong-menolong, apatah lagi jika yang subur di kalangan mereka ialah perasaan saling membenci, permusuhan, tamak, dan lain-lain sifat tercela yang merupakan implikasi daripada pengabaian terhadap pembangunan rohani dan kemanusiaan individu itu sendiri.

a. Pembangunan Rohani

Pembangunan rohani bermaksud pembangunan dalaman manusia, iaitu membangun jiwa manusia supaya mengakui kewujudan, keesaan, dan kekuasaan Allah s.w.t. Manusia dididik supaya dapat mewujudkan hubungan dengan Allah s.w.t. pencipta alam dengan melakukan ibadat seperti yang telah disyariatkan. Pembangunan rohani memerlukan ilmu agama yang boleh menenangkan fikiran dan menjadikan manusia yakin kewujudan Allah s.w.t. dan adanya hari akhirat. Pembangunan rohani juga bermaksud perubahan dari syirik kepada tauhid, daripada berpegang kepada nilai-nilai duniawi yang rendah kepada nilai-nilai ukhrawi yang tinggi.[17] Selain itu ia juga merangkumi pembangunan mental, jiwa, sikap dan emosi dalam diri manusia itu sendiri.

Namun terdapat beberapa fahaman tertentu yang tidak menitikberatkan soal pembangunan rohani, malah asas pembangunan mereka adalah dengan mengenepikan nilai-nilai moral dan akhlak yang merupakan antara fokus utama pembangunan rohani. Antara falsafah yang sering dilaungkan adalah:

“Jika kita ingin maju dalam pembangunan, maka kita mesti menyingkirkan nilai-nilai moral dan agama. Selagi kita masih berpegang dengan nilai-nilai moral dan keagamaan, maka selagi itu pula kita tidak akan maju.”

Akibat daripada falsafah atau pandangan hidup yang songsang dan menyimpang tersebut, maka muncullah proses ‘animalisasi’ manusia, iaitu kelahiran masyarakat yang jiwa manusianya menjadi gersang daripada nilai-nilai moral dan keagamaan, yang merupakan asas kemuliaan manusia itu sendiri. Yang subur di dalam jiwa mereka hanyalah sifat-sifat kehaiwanan seperti tamak, buas, kejam dan lain-lain.

Pembangunan yang seperti itu tidak akan mencapaikan manusia kepada matlamat pembangunan itu sendiri iaitu mewujudkan kehidupan yang selesa. Kegersangan manusia daripada sebarang nilai-nilai kerohanian dan kekuatan pengaruh kebendaan ke atasnya telah menjadikan mereka bersedia melakukan sebarang kejahatan, daripada yang sekecil-kecilnya sehingga kepada yang sebesar-besarnya. Ini semua bertujuan untuk mencapai kebendaan yang mereka anggap sebagai asas kemewahan atau kesenangan hidup. Pembangunan yang seperti itu adalah jelas bukan pembangunan, tetapi ia sebenarnya adalah kehancuran.

b. Pembangunan Jasmani (Fizikal)

Pembangunan jasmani adalah merupakan salah satu daripada tanggungjawab manusia sebagai khalifah Allah s.w.t. di muka bumi ini. Antara aspek yang termasuk di dalam pembangunan jasmani ialah pembinaan rumah, sekolah. jalan raya, kenderaan, elektrik, telefon, industri pembuatan dan lain-lain lagi. Agama Islam tidak melarang pembangunan jasmani bahkan menggalakkannya asalkan ianya tidak bertentangan dengan syariat Islam.

Ketidakseimbangan pembangunan dari sudut jasmani boleh berlaku apabila ianya jelas bertentangan dengan syariat Islam. Contohnya rumah-rumah kediaman yang sepatutnya untuk didiami dengan aman dan selesa telah disalahgunakan untuk tujuan maksiat, begitu juga pembinaan kilang dan industri yang bertujuan untuk memproses barang yang diharamkan oleh syarak. Pembinaan jalan raya dan pembuatan kereta motor dan lain-lain kenderaan ialah untuk kemudahan awam, bukannya untuk membuat sesuatu yang merosakkan masyarakat dan menjejaskan kesihatan awam.

Pengabaian terhadap aspek pembangunan jasmani akan menjadikan kehidupan manusia berada dalam keadaan kesempitan dan tidak selesa. Ini kerana manusia selaku makhluk Allah s.w.t. yang terdiri daripada dua unsur iaitu jasad dan roh, maka sudah tentu pembangunan yang merangkumi aspek jasmani (fizikal) dan roh (spiritual) perlu seiring dan seimbang tanpa melebihkan atau mengurangkan salah satu daripadanya. Namun apalah guna sekiranya pembangunan jasmani itu mengenepikan langsung garis panduan yang telah ditetapkan oleh syarak yang walaupun ia kelihatan seakan-akan mampu memenuhi fitrah kejadian manusia, tetapi pada hakikatnya ia membuatkan batin (roh) manusia terseksa dan tidak tenteram.

c. Pembangunan Kebendaan

Sesuatu pembangunan yang ingin dilakukan mestilah bersifat bersepadu dan komprehensif dengan penekanan diberikan lebih kepada aspek kerohanian di samping aspek kebendaan tidak disishkan. Malah untuk mencapai kemakmuran negara sebagaimana yang disebut dalam al-Quran sebagai ‘baldatun toyyibah’, maka pembangunan ke arah kemajuan dalam bidang material atau kebendaan perlulah diusahakan sebaik yang mungkin.

Firman Allah s.w.t.:

*************************

Maksudnya: “Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepada kamu (kebahagiaan) di akhirat dan janganlah kamu melupakan bahagian kamu dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik, kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di mukabumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan.”

(Surah Al-Qasas: 77)

Ini bermakna, dalam konteks pembangunan sesebuah negara maka adalah menjadi tanggungjawab pihak kerajaan atau pemerintah untuk memastikan kesejahteraan hidup (well-being) setiap rakyat dan memastikan tiada di antara mereka yang taraf hidupnya di bawah tahap dhaif. Untuk tujuan ini, kerajaan perlu menyediakan kemudahan di mana setiap rakyat, lelaki dan wanita dapat menikmati sekurang-kurangnya kesejahteraan kebendaan (material well-being) yang minimum untuk membolehkan mereka mengekalkan maruah diri, menikmati kebebasan yang sebenar dan membangunkan kerohanian masing-masing.

Pengabaian terhadap aspek kebendaan boleh mengakibatkan sesuatu pembangunan itu menjadi tidak seimbang. Kegagalan pihak pemerintah menjana pembangunan sektor ekonomi negara secara terurus sebagai contohnya boleh mengakibatkan berlakunya pengagihan kekayaan yang tidak sama rata. Kesannya masih terdapat golongan yang kurang bernasib baik yang lagi masih lagi dibelenggu masalah kemiskinan. Sekiranya masalah ini tidak dapat dikawal dalam tempoh yang tertentu maka tidak mustahil suatu hari nanti golongan ini sanggup melakukan apa sahaja seperti mencuri, merompak dan lain-lain perbuatan jenayah demi memenuhi keperluan asasi mereka.

d. Pembangunan Bandar Dan Luar Bandar

Ibn Khaldun telah menegaskan bahawa bandar merupakan pusat pemerintahan yang juga mempamerkan ciri-ciri ekonomi yang berbeza daripada luar bandar. Struktur kehidupan di bandar Islam lebih menekankan masyarakat yang berasaskan perpaduan, kerjasama dan kejiranan. Struktur jalanraya memaparkan pemakaian konsep ‘jalan mati’ dan jaringan jalan-jalan yang bersambungan. Beliau juga menegaskan bahawa kerajaan yang bertanggungjawab menubuhkan bandar yang maju dan bertamadun. Menurut Ibn Khaldun lagi, bandar mempunyai dua fungsi, iaitu yang pertama bandar diwujudkan dengan tujuan untuk kerehatan dan kenikmatan kehidupan mewah. Yang kedua bandar berfungsi dari segi perlindungan dan pertahanan daripada pihak musuh.

Walaupun bandar merupakan pusat pemerintahan dan pentadbiran sesuatu kerajaan, ini tidaklah bermakna bahawa pembangunan tidak perlu dilakukan di luar bandar. Keseimbangan perlu dicapai antara pembangunan di kawasan bandar dengan luar bandar supaya kualiti hidup dapat dipertingkatkan di kawasan luar bandar serta penyediaan pelbagai kemudahan dan prasarana tidak bertumpu di kawasan tertentu. Ini agar ianya selari dengan falsafah pembangunan Islam yang menuntut supaya keadilan sosial ditegakkan dalam masyarakat.

Firman Allah s.w.t.:

**************************

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman.”

(Surah an-Nahl: 90)

Pembangunan yang hanya tertumpu kepada kawasan bandar sahaja sebenarnya akan memperlahankan proses urbanisasi yang akan hanya membawa kepada peningkatan kos hidup, sekiranya dibiarkan berlaku terlalu pesat tanpa dikaji kesannya terhadap taraf kehidupan dalam masyarakat. Selain itu kegagalan membangunkan kawasan luar bandar sedikit-sebanyak akan merencatkan pertumbuhan ekonomi sesebuah negara. Ini kerana peranan kawasan luar bandar adalah sangat besar sebagai pemacu ekonomi negara terutamanya melalui sektor pertanian, perladangan, perikanan, perusahaan industri kecil dan sebagainya.

Kesimpulan

Agama tidak dapat dipertahan tanpa kekuatan kerohanian, kekuatan kebendaan dan kemajuan ilmu pengetahuan yang melindunginya. Walaubagaimanapun, kekuatan yang dicapai daripada pembangunan dan kemajuan bukanlah untuk bermegah-megah sehingga menjadikan manusia itu bongkak dan angkuh, seperti keangkuhan firaun. Sebaliknya kekuatan daripada kemajuan dan pembangunan itu ialah untuk menegakkan dan memberikan kesejahteraan kepada manusia.

6.2 Sains, Teknologi Dan ICT

6.2.1 Etika Islam

a. Definisi Etika Dan Sains

Etika menurut Kamus Dewan bermaksud prinsip-prinsip moral atau nilai akhlak. Sains pula bermaksud ilmu memahami teknologi dan kemahiran teknikal, iaitu pengetahuan untuk melakukan sesuatu.[18]

Ahmad Fauzi Hj. Morad mendefinisikan sains sebagai satu cabang ilmu yang mengkaji sekumpulan pernyataan yang terbukti atau melalui fakta-fakta yang ditinjau serta dicerapi dan disusun secara sistematik, dan dikumpul dalam bentuk hokum-hukum umum.[19]

Pembahagian Sains Dalam Falsafah Islam

Sains adalah ilmu. Dalam falsafah Islam, sains terbahagi kepada tiga bahagian iaitu :

1. Ulum Naqliyyah (Diniyyah) – Sains Keagamaan

Sains keagamaan ialah ilmu yang berkaitan dengan kefahaman

agama seperti ilmu fekah, usuluddin, tasawwur, faraid dan sebagainya.

2. Ulum Insaniyyah – Sains Kemanusiaan

Sains kemanusiaan ialah ilmu yang berkaitan dengan kajian kemanusiaan seperti

sejarah, sosiologi, psikologi, pendidikan, ekonomi, falsafah, moral, kemahiran, dan lain-lain lagi.

3. Ulum Tabi’iyyah – Sains Tabi’i

Allah Sumber Segala Ilmu

Allah merupakan sumber segala ilmu dan dengan rahmat Allah, dianugerahkan kepada manusia sebahagian daripada ilmuNya untuk membolehkan manusia memakmurkan alam ini. Sebahagian daripada ilmu dianugerahkan kepada manusia untuk membolehkan mereka melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai khalifah Allah.

Firman Allah dalam al-Quran yang bermaksud:

Allah memberikan hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukan).

(Surah Al-Baqarah: 269)

Sains Islam adalah ilmu yang dapat mendekatkan diri kepada Allah. Ia memberi penekanan kepada sesuatu usaha dan kreativiti yang menghasilkan sesuatu sebagai sumbangan kepada manusia dan kemanusiaan.

Dalam Islam, segala ilmu hendaklah tunduk kepada syariat Allah dan berpaksikan Iman kepada Allah. Ilmu haruslah memberi kemudahan kepada manusia dan menolong manusia. Ia merupakan satu sumbangan kepada kemajuan manusia untuk mendapat keredhaan Allah dan ganjaranNya. Ilmu yang digunakan untuk menghancurkan manusia dan kemanusiaan adalah jenis ilmu yang tidak tunduk kepada syariat Allah S.W.T. dan tidak layak dikategorikan sebagai ilmu sains Islam.

b. Etika Sains Dalam Islam

Ilmu adalah milik Allah. Sebagai seorang ahli sains Islam, mereka haruslah tunduk dan merendah diri kepadaNya yang mencipta segala sesuatu. Sebagai seorang ahli sains, mereka perlu memahami tanggungjawab sebagai khalifah Allah dengan memenuhi panduan syariat Islam seperti memelihara keindahan dan keaslian dan kerosakkan alam semulajadi. Ahli sains Islam hendaklah memakmurkan bumi dengan hasil kajian yang berlandaskan syarak.

Antara perkara-perkara yang perlu diperhati dan dititikberatkan oleh ahli sains ialah :

1. Ahli sains Islam haruslah tunduk dan merendah diri kepada Allah S.W.T. Mereka harus sedar bahawa semua yang ada ini adalah hak Allah dan hasil ciptaan Allah. Tanpa sifat ini, ahli sains akan terlalu bangga dan sombong dengan ilmu dan penemuan barunya. Orang yang sombong dianggap tidak berakhlak namanya kerana menafikan anugerah Allah.

2. Ahli sains mestilah menjaga nilai-nilai akhlak dalam setiap tindakan untuk melaksana dan menguruskan ujikaji serta hasilnya. Penghasilan baru seperti bioteknologi dan pengklonan manusia adalah antara perkara yang perlu ditimbang mengikut neraca Islam supaya tidak terjerumus kedalam sesuatu yang merosakkan.

3. Ahli sains perlu menjaga alam sekitar. Ahli sains tidak boleh merosakkan alam ciptaan tuhan yang indah dan asli kerana kewujudan alam ini ada hikmah disebaliknya.

4. Ahli sains Islam haruslah memikirkan kepentingan seluruh masyarakat termasuk hidupan di air, darat, dan udara. Adalah menjadi satu kesalahan apabila mengaplikasikan hasilnya sehingga merosakkkan sesuatu dan memusnahkannya.

c. Sifat Dan Peribadi Ahli Sains

1. Ahli sains sentiasa bersyukur di atas kejayaannya kerana ini merupakan kurniaan Allah.

2. Ahli sains hendaklah menyebarkan ilmunya kepada orang lain sebagai tanda kesyukuran kepada pencipta. Nabi Muhammad S.A.W dalam satu hadis baginda telah bersabda yang bermaksud “Orang yang diberi oleh Allah ilmu pengetahuan, hikmat maka diajarkan kepada semua orang.”[20]

3. Ahli sains mestilah mempunyai sifat rasa bersalah apabila menyalahgunakan ilmunya. Ini adalah kerana ilmu itu adalah hak milik Allah dan hendaklah digunakan untuk keredhaan Allah S.W.T.

d. Pandangan Islam Terhadap Sains Dan Teknologi

1. Islam tidak menolak ilmu sains teknologi dan sains sosial kerana ia menyumbang kearah memahami manusia, masyarakat dan kehidupan. Faktor keihsanan sentiasa memandu manusia manusia dengan jiwa keinsanan yang tinggi yang menghubungkan teknologi dan sains sebagai alat dan bukannya matlamat.

2. Sains dan teknologi sentiasa dinamik dan berubah. Islam tidak menolak perubahan daripada bentuk kepada alat selagi mana ianya mamaparkan kebaikkan dan manfaat kepada manusia.

3. Islam tidak menolak kewujudan alat komunikasi dan telekomunikasi bagi memudahkan kehidupan manusia. Faktor keinsanan memandu manusia supaya maklumat yang diterima dan komunikasi yang dilakukan berguna dan merapatkan hubungan baik sesama manusia.

4. Islam menolak kecanggihan teknologi dan alat yang tidak menyumbang ke arah membangunkan adab dan tamadun.

5. Sains dalam Islam mengambil pertimbangan akal untuk mengembangkan ilmu dan memahami maksud perisyaratan bagi membolehkan manusia melakukan kajian dan penyelidikkan mengenai tanda kebesaran Allah. Kajian dan penemuan ini akan mendekatkan lagi manusia kepada Pencipta dengan menginsafi bahawa rahsia Pencipta adalah amat hebat dan luas.

6.2.2 Penyalahgunaan Dan Penyelewengan

a. Islam Dan Teknologi Maklumat

Watson dan Hill mendefinisikan teknologi maklumat sebagai pemerolehan, pemprosesan, penyimpanan dan penyebaran vokal, gambar, teks dan informasi berangka (numeric) oleh alat-alat mikro elektronik iaitu gabungan antara komputer dan telekomunikasi.[21]

Teknologi maklumat membantu pelbagai fungsi kerja iaitu sebagai satu cara memproses kata-kata, mengakses kepada lebuhraya maklumat, memindahkan komunikasi antara individu atau syarikat, menjadi bank informasi yang dapat diperolehi dari seluruh dunia, menjadi pemudah kepada proses industrialisasi, menjadi alat pembudayaan dan pendidikan yang efektif disamping menjadi alat hiburan multimedia yang mengasyikkan dan menyeronokkan.

Teknologi informasi telah mengubah corak kerja dalam bidang perusahaan, perniagaan, perubatan, ketenteraan, pendidikan dan lain-lain. Dalam bidang komunikasi dan penyiaran , teknologi ini juga berkembang dari pelbagai sudut,; baik dari sudut sistem, perisian dan sebagainya. Perkembangan yang begitu pesat dalam hal ini menyebabkan syarikat akhbar besar boleh mencetak akhbar hariannya di pelbagai benua secara serentak.

Kemajuan yang dicapai oleh umat Islam dalam kemahiran, ilmu dan teknologi maklumat merupakan salah satu daripada tanggungjawab sebagai khalifah Allah Umat Islam hendaklah mengambil peluang ini dan memanfaatkannya untuk pengabdian diri kepada Allah, agama dan untuk kesejahteraan masyarakat manusia seluruhnya. Allah berfirman dalam surah Ibrahim ayat 7 yang bermaksud :

“Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu : “ Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahkan nikmatKu kepada Kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur sesungguhnya azabKu amatlah keras”.

“7 Flagship Project” yang digagaskan oleh kerajaan dalam mempercepatkan teknologi maklumat dan aplikasinya juga merupakan cabaran yang tersendiri bagi umat Islam. Projek tersebut ialah adalah seperti sekolah bestari, kad pintar, R&D Cluster, Kerajaan Elektronik, World Wide Manufacturing Web, Pasaran Ekonomi Digital dan Teleperubatan.”

b. Bidang Perubatan

Ilmu Perubatan

Ilmu perubatan ialah ilmu yang berkaitan dengan ubat atau usaha mengubati[22]. Ilmu perubatan dan pembedahan bertunas di Mesir kira-kira tahun 3200 S.M. Tokoh pertama mereka ialah Imhotep, keluarga Raja Firaun Zoser (2800S.M.). Lebih kurang 2,000 tahun sebelum muncul ilmu perubatan Yunani, pusat-pusat pengajian perubatan telah pun ada pada Zaman Firaun. Pembangunan Tamadun Yunani dalam bidang berkenaan yang agak jelas ialah pada zaman Pythagoras (580-489S.M.)

Sejarah Ilmu Perubatan

Ilmu perubatan Eropah pula dikatakan bermula pada zaman Pericles (490-429S.M.) Selepas kejatuhan Empayar Rom , pusat ilmu perubatan yang terkenal ialah di Judishapur, Parsi. Ia telah menjadi pusat pertemuan perubatan berunsur Yunani, Parsi dan India. Ramai tokoh daripada Judishapur berpindah ke pusat Empayar Islam di Baghdad ketika zaman pemerintahan Abbasiyyah. Semenjak itu, bermulalah penyalinan secara besar-besaran buku-buku ilmu kedoktoran daripada bahasa-bahasa Yunani, Iran dan India ke dalam Bahasa Arab.

Tokoh-tokoh Dalam Bidang Perubatan

Selain daripada itu galakan menimba ilmu pengetahuan daripada ayat-al-Quran dan Hadis telah melahirkan ramai tokoh-tokoh ilmuwan Islam termasuklah ilmuwan dalam bidang perubatan. Antara tokoh-tokoh yang banyak memberi sumbangan dalam bidang perubatan ialah :

i. Jabir Ibnu Hayyan (721-776 M) Dikenali sebagai Geber di Eropah.

ii. Hunayn ibnu Ishaq (810-878 M). Dikenali dengan nama Joannitius.

iii. Thabit Ibnu Qurrah (221-288M). Seorang penterjemah terkemuka bidang perubatan.

iv. Al-Kindi (Abu Yusuf Ibnu Ishaq) ( 809-873M). Beliau dilantik sebagai pegawai perubatan dan guru diraja ketika pemerintahan al-Makmum dan al-Muktasim.

v. Al-Razi (Abu Bakar Muhammad ibnu Zakaria Razi) (865-925M). Di Eropah dikenali sebagai Rhazes atau Galen Arab.

vi. Al-Zahrawi (Abu Qassim Khalaf ibnu Abbas) (936-1001M) . Merupakan pakar bedah muslim yang masyhur dan dikenali sebagai Abulcassis di Eropah.

vii. Ibnu Sina (Abu Ali Hussain ibnu Abdullah Ibnu Sina) (980-1037M) Di Eropah beliau dikenali dengan Avicenna.

viii. Ibnu al-Nafis- menemui peredaran darah.

ix. Ibnu al-Haitham (965-1039M) Beliau memberi sumbangan dalam bidang optik iaitu menerangkan struktur dan fungsi mata.

Walaubagaimanapun, selepas keruntuhan kota Baghdad akibat serangan Monggol pada 1258M, ilmu-ilmu dalam peradaban Islam telah banyak yang pupus dan hilang. Sarjana Barat telah menghalang kemajuan Islam dengan pelbagai cara dan tindakan kejam. Kaum orientalis secara halus telah menyebarkan maklumat salah tentang Islam sehingga pengiktirafan terhadap sumbangan Islam dalam apa bidang keilmuan tidak sampai kepada generasi kemudian.

Penyelewengan Dan Penyalahgunaan Dalam Bidang Perubatan

Penyelewengan dalam bidang perubatan sering berlaku dewasa ini terutamanya yang melibatkan hukum halal dan haram. Semua ini boleh memudaratkan umat Islam. Perkara-perkara berikut adalah diharamkan dalam Islam menurut Muzakarah Fatwa Kebangsaan[23]:

i. Pengklonan manusia.

ii. Penyalahgunaan ubat-ubatan seperti dadah.

iii. Bayi tabung uji dimana mencampurkan sperma bukan dari pasangan suami isteri yang sah.

iv. Ibu tumpang sebagai penyelesaian kepada masalah ibu bapa yang tidak mempunyai anak.

v. Pembedahan plastik untuk tujuan yang salah.

vi. Penggunanan ubat-ubatan dari barang yang haram dan najis bukan kerana keperluan darurat.

vii. Pengguguran janin.

viii. Kepercayaan kepada tangkal dan azimat dalam penyembuhan penyakit.

ix. Memandulkan lelaki dan perempuan.

x. Mencegah kehamilan atau menghadkan bilangan anak hukumnya adalah haram melainkan dengan sebab yang diharuskan oleh syarak bagi orang perseorangan.

xi. Mengawet mayat atas sebab-sebab yang tidak mendesak.

xii. Vaksin pelalian meningococcal Miningitis Monumune yang mengandungi unsur daripada babi.

c. Bidang Teknologi Maklumat

Teknologi maklumat telah banyak memberi faedah dan kebaikan kepada umat Islam. Antaranya ialah :

i. Dalam arena pembelajaran dan pendidikan Ia telah membuka kesempatan orang ramai untuk belajar melalui universiti siber yang telah berkembang melalui internet di beberapa buah negara.

ii. Melalui saluran internet sesiapa sahaja boleh membaca akhbar online dari seluruh dunia.

iii. Menyelesaikan masalah faraid menerusi laman web seperti untuk mendapatkan jawapan dengan cepat.[24]

iv. Umat Islam boleh menempah dan membeli pelbagai judul buku dari dalam dan luar negara tanpa perlu pergi ke kedai buku contohnya kedai buku Dar al-Kitab al-Arabi

v. Perbualan secara langsung dengan tokoh ulama terkenal seperti Prof. Dr. Yusuf Al-Qardhawi dengan menghubungi homepage beliau dan lain-lain tokoh ulama.

vi. Maklumat-maklumat tentang Islam yang meliputi organisasi-organisasi Islam, lembaran peribadi muslim, sumber-sumber al-Quran dan Hadis, sumber Bahasa Arab dan masjid-masjid, majalah-majalah Islam dan lembaran berbentuk komersial tentang Islam dapat dicapai melalui pelbagai URL.

Pendek kata teknologi maklumat telah membawa suatu revolusi yang besar dalam ilmu dan maklumat. Kebaikan yang lahir darinya memang banyak asalkan manusia dapat memanfaatkannya dengan baik. Namun begitu apabila manusia dipengaruhi nafsu dan syaitan mereka menyalahgunakan nikmat tuhan sepertimana nikmat-nikmat yang lain.

Penyalahgunaan dan penyelewengan dalam teknologi maklumat adalah seperti berikut :

i. Terdapat berpuluh-puluh laman web yang menyebarkan berbagai jenis kesesatan seperti aqidah, cara berfikir, seks, gambar lucah dan jenayah.

ii. Ajaran Gerbang Syurga atau Heaven’s Gate yang menyebarkan elemen-elemen ajaran sesat yang menyebabkan peristiwa bunuh diri beramai-ramai di Rancho Santa Fe.[25]

iii. Terdapat lebih 290 dokumen mengenai ajaran sesat Qadiani dalam paparan pencari Alta Vista. Begitu juga terdapat ratusan bahkan ribuan rujukan mengenai ajaran Yahudi, Kristian dan sebagainya.

iv. Iklan-iklan filem Hollywood lengkap dengan video klip, poster dan ulasan-ulasan mengenainya dapat ditemui dalam laman web mereka.

v. Propaganda orang bukan Islam yang sangat keras dan zalim kepada umat Islam dengan mengutarakan pelbagai fakta yang penuh dengan kekeliruan dan kesesatan contohnya buku The Islamic Invasion oleh Robert Morey dalam URL

vi. Bahan-bahan seks dan lucah sama ada dalam bentuk imej tetap seperti gambar dan juga imej bergerak seperti video klip, filem-filem dan sebagainya dapat diakses dengan mudah dan setengah-setengahnya boleh didownload dengan percuma.

vii. Dalam jenayah komersial pula, terdapat pihak-pihak tertentu yang mengeksploitasi IT dimana mereka mengiklankan perdagangan porno di tapak-tapak web mereka seperti porno kanak-kanak dan produk-produk berunsur seks untuk mengaut keuntungan.

viii. Tapak-tapak web yang menggunakan transaksi kad kredit seperti skim cepat kaya dan produk komputer yang indah khabar dari rupa.

ix. Terdapat juga yang menjual produk dengan menggunakan nama syarikat besar dalam menjalankan perniagaannya di laman-laman web.

Kesimpulan

Dalam mengejar pembangunan IT umat Islam hendaklah berhati-hati kerana kesannya yang begitu menyeluruh. Monopoli perisian oleh syarikat gergasi mungkin mengakibatkan kerajaan terpaksa berbelanja berbilion-bilion dolar untuk meneruskan operasi tersebut kerana terpaksa tunduk kepada kemahuan mereka. Ia juga terdedah kepada sabotaj korporat atau kerajaan asing. Mereka boleh menguasai sistem perisian kita dan merosakkannya.Penjajahan elektronik yang menyeluruh mungkin akhirnya boleh menyebabkan kita kehilangan kebebasan untuk menentukan hala tuju politik dan ekonomi kita. Aset kerajaan juga boleh hilang melalui transaksi elektronik.


[1] Eugene Johnson, “Art”, The Encylopedia Americana, (Connecticut: Grolier Incorporated, 1987) j.2, hal. 238 dan Zakaria bin Mat, Kesenian Berunsurkan Islam di Kampung Tok Jiring, Kuala Terengganu (Bangi: Jabatan Usuluddin dan falsafah, UKM. Latihan Ilmiyah 1977-78)).

[2] Sidi Gazalba (Drs), Pandangan Islam Tentang Kesenian, (Kuala Lumpur: Pustaka Antara, 1997), hal.10.

[3] Mohd Kamal Hassan (Prof Madya), Konsep Keindahan Dalam Islam dan Hubungannya Dengan Seni dan Sastera: Satu Pandangan Umum “ISLAMIYAT”, j. 3/81, Bangi: Fakulti Pengajian Islam, UKM, 1979, hal. 39.

[4] Ibid, hal.137.

[5] Abdul Manan Hj.Yahaya, Bentuk Seni Islam Khasnya Pada Zaman Bani Abbasiah, (Bangi: Jabatan Bahasa Arab dan Tamadun Islam UKM. Latihan Ilmiah 1978/79).

[6] Ahmad Fauzi bin Hj Morad (Hj) et. al., Op. Cit., hal. 147-148.

[7] Shuib Ahmad, Seni Khat (Bandar Darulaman), Laporan Akademik Kreativiti dan Kemahiran Diri Ko Kurikulum, (1985/86), hal. 9.

[8] Ibid., hal. 13.

[9] Ibid., hal. 139.

[10] Ibid.

[11] Ibid., hal. 142-143.

[12] Ibid., hal. 143-145.

[13] Ibid.

[14] Dewan masyarakat, Februari 1995 m/s 53

[15] Panduan al-quran dan hadis bagi pegawai dan kakitangan perkhidmatan awam, Bah. Hal Ehwal Islam, Jab. Perdana Menteri, 1996, hal.297

[16] Mohd Yusuf Ahmad (2005), Pengajian Islam (Cetakan Kedua), Kuala Lumpur: Universiti Malaya, hal. 179.

[17] Ibid., hal. 181.

[18] Kamus Pelajar, Dewan Bahasa Dan Pustaka, Titiwangsa Sdn. Bhd. Kuala Lumpur,1979, hal. 440

[19] Ahmad Fauzi b. Hj. Morad et.al.,Tamadun Islam, Pustaka Alistra Sdn. Bhd., Batu Caves, Selangor, 1993, h.2

[20] Hadis, Riwayat Al-Bukhari dan Muslim

[21] Watson dan Hill, A Dictionary of Communication and Media Studies, 1992, hal. 92.

[22] Kamus Dewan, Edisi 3, DBP, 2002 hal. 1506.

[23] http://www.jakim.my

[24] Luthfi Assyaukanie, “MBA Bagi Yang Sibuk”, Majalah Ummat, No. 1 thn.III,21 Julai, Jakarta, h.44

[25] Zainal Abidin, Ke Syurg Lewat Internet, Majalah Ummat, No:22 thn. II, April 1997, Jakarta, h.43

No comments: